Tuesday, April 7, 2020

KONSEP, MATLAMAT DAN DASAR PENDIDIKAN INKLUSIF (Peranan Guru Aliran Perdana)


PENDAHULUAN

Perkataan inklusif ini diambil daripada perkataan inggeris Inklusif yang memberikan maksud “merangumi”. Menurut Zaleha Tambi Adam (1997), maksud inklusif secara umumnya adalah mengintegrasikan murid-murid berkeperluan khas ke dalam bilik darjah biasa, supaya mereka berpeluang menikmati segala kemudahan belajar dalam keadaan normal seperti murid-murid lain tanpa mengira status dan kekurangan. KPM melaksanakan pendidikan khas di Sekolah Khas, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Program Pendidikan Inklusif (PPI) di sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan pada peringkat pra-sekolah, rendah, menengah dan lepas menengah.
Di peringkat pendidikan antarabangsa, konsep pendidikan inklusif telah diletakkan sebagai asas dalam melaksanakan “Pendidikan Untuk Semua”. Aspirasi pendidikan inklusif ini juga telah dikongsi oleh pakar pendidikan dan profesional yang terlibat dalam menyediakan perkhidmatan pendidikan khas seperti mana yang digariskan dalam deklarasi antarabangsa seperti Salamanca Statement (1994), Dakar Wold Education Forum (2000), dan Convention on the Rights of Persons with Disabilities (UN, 2006). Berdasarkan kenyataan di atas, jelas menunjukkan bahawa setiap murid termasuk murid berkeperluan khas (MBK) adalah istimewa, mempunyai kepelbagaian kebolehan dan mempunyai hak yang sama rata bagi mendapatkan akses pendidikan yang berkualiti di semua sekolah. Sehubungan itu, usaha yang komited, terancang dan berterusan perlu dilakukan di semua peringkat KPM.

            Pendidikan Inklusif adalah satu wahana bagi menyedia akses dan peluang pendidikan kepada murid berkeperluan khas. Pada peringkat permulaan, Pendidikan Insklusif ini dilaksanakan mengikut acuan sendiri di sekolah-sekolah tertentu sahaja yang melibatkan murid kurang upaya fizikal dan murid bermasalah penglihatan. Walau bagaimanapun, pada masa kini Pendidikan Inklusif ini diperluas kepada semua kategori murid berkeperluan khas yang mampu mengikuti kurikulum kebangsaan. Pelaksanaan Pendidikan Inklusif mengambil kira dasar dalam dan luar negara, konsep Pendidikan Inklusif, definisi operasi yang digunakan, matlamat, objektif dan pelaksanaan Pendidikan Inklusif secara menyeluruh.



TUGASAN 1: PENULISAN ESEI

Kemukakan Hujah Bagaimana Guru Aliran Perdana Dapat Merealisasikan Konsep, Matlamat dan Dasar Pendidikan Inklusif Di Sekolah.

Pendidikan Inklusif bukanlah satu perkara baru di Malaysia. Yang baru hanyalah istilahnya, dan istilah inilah yang telah mengelirukan kita semua. Pada masa dahulu istilah "Program Percantuman’ atau ‘Integrated’ telah digunakan. Negara Malaysia telahpun mengamalkannya sejak tahun 1962 lagi (Zaleha Tambi Adam, 1997). Murid yang mempunyai masalah penglihatan, masalah pendengaran, kesukaran bertutur, masalah pembelajaran adalah antara mereka yang boleh dikategorikan sebagai murid berkeperluan khas.

            Terdapat dua jenis program inklusif iaitu inklusif penuh dimana murid berkeperluan khasbelajar secara sepenuh masa bersama-sama murid arus perdana. MBK mengikuti pembelajaran bagi semua mata pelajaran akademik berasaskan kurikulum kebangsaan atau kurikulum kebangsaan yang diubahsuai dengan bantuan atau tanpa bantuan perkhidmatan sokongan. Seterusnya adalah program inklusif separa iaitu murid berkeperluan khas belajar bersama-sama murid arus perdana bagi mata pelajaran akademik atau aktiviti koakademik atau aktiviti kokurikulum tertentu sahaja mengikut keupayaan mereka. MBK yang mengikuti inklusif separa bagi mata pelajaran akademik adalah berasaskan kurikulum  kebangsaan  atau  kurikulum kebangsaan yang diubahsuai dengan sedikit atau tanpa bantuan perkhidmatan sokongan. Inklusif separa bagi aktiviti koakademik atau kokurikulum adalah berdasarkan potensi, bakat dan keupayaan mereka.


            Konsep Pendidikan Inklusif adalah dilaksanakan secara menyeluruh dengan penglibatan semua pihak dari peringkat sekolah hingga ke komuniti Abdul Rahim Selamat (2010). Model Pendidikan Inklusif merangkumi bidang akademik dan bukan akademik dengan menyediakan khidmat sokongan di dalam atau di luar bilik darjah. Penekanan ini diberikan bagi membolehkan murid berkeperluan khas mengikuti bidang akademik dan bukan akademik bersama-sama murid arus perdana. Oleh yang demikian, guru aliran perdana perlu menulis Rancangan Pengajaran Harian (RPH) seperti biasa dengan memasukkan keperluan pengajaran khusus murid berkeperluan khas untuk memastikan murid dapat menjalankan pembelajaran dalam bidang akademik. Selain daripada itu, guru aliran perdana juga mesti membuat penulisan Rancangan Pendidikan Individu (RPI) bagi murid berkeperluan khas. Ianya dibuat bagi memastikan keperluan intervensi yang bersesuaian dapat dilaksanakan dalam bilik darjah. Guru aliran perdana perlu bekerjasama dengan guru pendidikan khas untuk merancang pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang sesuai mengikut tahap kognitif murid dan bekerjasama berkaitan dengan masalah tingkah laku murid terlibat.

            Sehubungan dengan itu, menurut Abdul Rahim Selamat (2010), guru aliran perdana juga perlu melibatkan pihak sokongan lain seperti meminta khidmat bimbingan dan kaunseling daripada pakar atau guru kaunseling kepada murid berkeperluan khas dan menyediakan laporan tentang khidmat kaunseling untuk murid berkeperluan khas (jika perlu). Guru juga memerlukan pihak sokogan lain untuk menjayakan program pendidikan inklusif seperti penglibatan ibu bapa. Guru aliran perdana perlu berhubunga dengan ibu bapa bagi melaporkan perkembangan anak mereka sekaligus meminta khidmat ibu bapa bagi memberikan bimbingan yang sewajarnya kepada anak mereka. Guru aliran perdana juga perlu bekerjasama dengan guru disiplin untuk menyediakan laporan dan maklumat mengenai disiplin murid yang terlibat. Hal ini adalah untuk membantu pentadbir melancarkan pelaksanaan Program Pendidikan Inklusif. Kecekapan guru aliran perdana dalam memastikan pihak sokongan ini terlibat sama sememangnya mampu melancarkan kemenjadian murid dibawah satu program pendidikan inklusif.

            Pelaksanaan program inklusif selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, dilihat mampu meningkatkan akses pendidikan bagi murid berkeperluan khas agar mampu bersaing dengan murid lain dalam kelas sama di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan. Ianya juga menjadi platform bagi memastikan hasrat kerajaan itu bukan sekadar direalisasikan malah berterusan dengan jayanya. Sikap guru aliran perdana yang yang tidak jemu mempelbagaikan pendekatan bagi memastikan murid terlibat dapat memahami pembelajaran dengan lebih berkesan khususnya membabitkan murid berkeperluan khas disleksia, sehingga yang mampu membawa diri mereka bergaul bersama pelajar arus perdana di peringkat sekolah menengah tanpa sebarang masalah sesuai dengan matlamat yang diutarakan oleh Pendidikan Inklusif adalah untuk meningkatkan penyertaan dan memberi peluang kepada murid berkeperluan khas mengikuti program akademik dan bukan akademik bersama-sama murid di arus perdana. Pendidikan Inklusif juga memberi kesedaran kepada guru aliran perdana supaya tidak menafikan potensi murid berkeperluan khas dan percaya bahawa ketidakupayaan mereka boleh diminimakan jika diberi peluang yang sama. Dengan ini, motivasi murid berkeperluan khas akan meningkat dan memberi impak kepada proses pembelajaran murid.

            Merujuk kepada dasar program pendidikan inklusif, dalam Pelan Pembangunan Pendidikan (2013-2025) menyatakan bahawa Kementerian beriltizam menggalakkan lebih ramai murid berkeperluan khas ke dalam program pendidikan inklusif dan meningkatkan kualiti penyediaannya secara keseluruhan. Ini menunjukkan komitmen KPM dalam memperkasa pelaksanaan program pendidikan inklusif secara terancang dan berfokus. Manakala, deklarasi antarabangsa juga menyatakan bahawa program pendidikan Inskusif merupakan satu pendekatan pendidikan yang terbaik bagi murid berkeperluan khas. Ini merupakan antara dasar Pendidikan Inklusif. Antara deklarasi tersebut adalah seperti berikut:

Salamanca Statement and Framework for Action on Special Needs Education (UNESCO 1994):
“Regular schools with an inclusive orientation are the most effective means of combating discriminatory attitudes, creating welcoming communities, building an inclusive society and achieving education for all.......”

            Kenyataan Salamanca (1994) di atas mendukung prinsip Pendidikan Untuk Semua (EFA) yang menyokong bahawa kanak-kanak berkeperluan khas mempunyai hak mendapat pendidikan yang sama rata dengan rakan-rakan mereka dalam Pendidikan Inklusif.  Dengan kata lain, semua kanak-kanak,  sama  ada  mempunyai  keperluan  khas  atau  tidak, sepatutnya  belajar  bersama  di  dalam  kelas  yang  sama. Tiada diskriminasi guru dalam sesi pembelajaran melibatkan murid berkeperluan khas, memainkan peranan penting memastikan murid berkenaan tidak merasa wujud perbezaan dengan rakan-rakan sebaya di kelas arus perdana. Berdasarkan kepada dasar ini, pendidikan inklusif juga merupakan kaedah terbaik dalam menentang sikap diskriminasi guru aliran perdana terhadap murid. Guru aliran perdana berusaha mempelbagaikan aktiviti dalam pembelajaran seperti pembelajaran koperatif yang melibatkan aktiviti berkumpulan supaya murid dapat berinteraksi dengan murid lain di dalam kelas aliran perdana.

            Kesimpulannya, terdapat banyak peranan guru aliran perdana untuk merealisasikan konsep, matlamat dan dasar program inklusif. Kelas inklusif yang berjaya adalah apabila guru biasa dan guru Pendidikan Khas perlu memberi penekanan terhadap komunikasi semua guru yang terlibat dalam program ini mesti bersikap jujur dan terbuka dalam menangani segala masalah dan peranan yang timbul. Guru-guru aliran yang terlibat dalam kelas inklusif hendaklah bersedia untuk menghadapi sebarang rintangan dan halangan yang mendatang. Mereka juga perlu belajar untuk berkompromi dan juga membuat sesuatu yang berlainan sama sekali daripada yang dirancangkan. Disamping itu juga guru kelas biasa dan guru kelas Pendidikan Khas perlu bekerjasama dan menerima kanak-kanak berpendidikan khas yang mempunyai berbagai-bagai perbezaan individu. Pelaksanaan Pendidikan Inklusif memerlukan kerjasama semua pihak agar keberkesanan program yang dilaksanakan dapat dihasilkan. Pendidikan Inklusif memberi peluang ke arah pemantapan sistem pendidikan untuk golongan bekeperluan khas di Negara kita sekaligus mengangkat martabat pendidikan Malaysia dipersada dunia.
           













RUJUKAN

Abdul Rahim Selamat. (2010). Strategi-strategi bagi pelaksanaan   Pendidikan Inklusif. Bengkel Kebangsaan Pertama Pendidikan   Inklusif. Seaview Hotel Langkawi.
Dyson, A. & Millward, A. (2000). Schools and Special Need: Issues of        Innovation and Inclusion. London: SAGE Publications Inc.

Kamariah Jalil. ( 2009 ). Ke Arah Peluang Yang Sama Dan Penyertaaan    Sepenuhnya. Kertas Kerja Pendidikan Inklusif: Pendidikan Untuk           Semua. Primula Beach Resort, Terengganu

Nik Khairun Nisa Abu Bakar. (2004). Kelas Inklusif : Kesediaan,      kesesuaian dan keberkesanan program bagi murid PKBK SK Taman Sri Mawar. Prosiding Seminar Kajian Tindakan Guru-guru Negeri Sembilan Darul Khusus kali kedua. m.s 83-86.

Salamanca, R.M. (1994). Special Education on Contemparary Society. (2nd          Ed). USA: Thomson Wadsworth.

Supiah Saad. 2010. Komitmen dan Peranan Guru dalam Pelaksanaan       Pendekatan Pendidikan Inklusif di Malaysia. Jabatan Pendidikan            Khas,   Kementerian Pelajaran Malaysia.

Supiah Saad (2003). Malaysian Preschool Children with ADHD in Inclusive           Settings. PhD thesis. University of Warwick.

UNESCO. (1980). Literacy 1972-1976. Progress achieved in literacy         throughout the world. Paris: UNESCO.

Zaleha Tambi Adam. (1997). Pelaksanaan Program Pendidikan Inklusif     Kanak-kanak Khas Bermasalah Pembelajaran di sebuah sekolah       di Kuala Lumpur. Tesis Masters yang tidak diterbitkan, Kuala             Lumpur: Universiti Malaya.

CABARAN PENUBUHAN PERSEKUTUAN MALAYSIA


1.0  PENGENALAN
1.0.1      GAGASAN MALAYSIA

Setelah Tanah Melayu merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957, secara rasminya Tanah Melayu menjadi sebuah negara yang bakal membangun dengan sendirinya tanpa ada campur tangan lagi dari pihak British, khususnya. Tanah Melayu yang sudah sedia maklumnya stabil dari segi ekonominya mampu untuk bertahan dan membangun.
Malaya today as a nation realises that she cannot stand alone and in isolation. Outside of international politics the national one must be broad-based. Sooner or later she should have an understanding with Britain and the peoples of Singapore , Borneo, Brunei and Sarawak. It is premature for me to say now how this closer understanding can be brought about but is inevitable that we should look ahead to this objective and think of a plan whereby these territories can be brought closer together in a political and economic cooperation’.[1]
Kata-kata di atas diucapkan oleh Perdana Menteri Tanah Melayu yang pertama iaitu, Tunku Abdul Rahman Putra Al- Haj pada 27 Mei 1961. Kata-kata ini memberi bayangan bahawa wujud satu hasrat untuk membawa Singapura, Sarawak, Borneo Utara (Sabah) dan Brunei menjadi satu persekutuan dan menjadi satu negara. Maka muncullah gagasan penubuhan Malaysia. Sebelum ini, idea yang mirip dengan gagasan Malaysia ini sudah dinyatakan sebelum Perang Dunia Kedua lagi. Ibrahim Haji Yaacob yang memimpin Kesatuan Melayu Muda pernah bercita-cita untuk wilayah di kepulauan Melayu dengan konsep Indonesia Raya atau Melayu Raya.[2] Malah pada 30 November 1945 dalam Kongres Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), satu resolusi telah dibangkitkan iaitu “Malaya adalah sebahagian daripada Indonesia Raya dan Merah Putih (Sang Saka Putih bendera Indonesia) adalah bendera PKMM.[3]
Selain cadangan parti-parti berhaluan kiri, pegawai-pegawai British sendiri pernah menyatakan cadangan untuk penyatuan wilayah Tanah Melayu dan juga Borneo. Pada abad ke-19, Lord Brassey yang merupakan pengarah Syarikat Borneo Utara mencadangkan supaya kerajaan British menggabungkan Borneo dan Tanah Melayu untuk membentuk satu tanah jajahan yang besar. Namun begitu, cadangan ini ditolak oleh pemegang saham syarikat tersebut pada tahun 1894.[4] Selain Lord Brassey, Sir Malcom MacDonald juga mencadangkan perkara yang sama.  Di Singapura, Singaproe Progressive Party telah menyatakan idea untuk penyatuan ini pada 1947. Dato’ Onn yang mengetuai Parti Negara pernah mencadangkan nama ‘Malaysia’ sebagai nama bagi Persekutuan Tanah Melayu. [5]

Daripada pernyataan di atas, ternyata bahawa ramai pihak ingin menyatukan Tanah Melayu dengan Singapura, Sarawak, Borneo Utara dan Brunei. Meskipun terdapat tentangan, Tunku Abdul Rahman teguh dengan pendirian beliau untuk merealisasikan cita-cita ini. Di Singapura, People’s Action Party (PAP) yang diketuai oleh seorang peguam bernama Lee Kuan Yew telah memenangi pilihan raya 1959. Daripada kemenangan ini, Lee Kuan Yew memfokuskan kepada dua objektif utama iaitu industrialisasi dan penggabungan dengan Tanah Melayu. [6] Dengan slogan ‘Kemerdekaan melalui Penggabungan’, Lee Kuan Yew membawa impiannya untuk disuntik di dalam jiwa rakyat penyokongnya. Ini agak sukar kerana menurut PAP, Singapura ibarat kepulauan Cina di dalam lautan Islam, di kelilingi oleh bangsa Indonesia dan Melayu yang sangat mencurigai gerakan parti berhaluan kiri Cina seperti mereka.
Di Tanah Melayu, penggabungan tidak disokong oleh UMNO, walaupun Tunku Abdul Rahman menyokongnya. Faktor kebimbangan penduduk Tanah Melayu adalah ketidakseimbangan kaum, di mana apabila Singapura bersatu dengan Tanah Melayu. Apabila berlaku ketidakseimbangan kaum, kemungkinan corak politik akan cenderung kepada majoriti kaum yang ada iaitu Cina. Cina kemungkinan akan dipengaruhi oleh PAP yang corak politiknya berhaluan kiri. [7]
Kajian yang dilakukan oleh Noordin Sopiee menyatakan bahawa ramai pengkaji setuju bahawa faktor utama penubuhan Malaysia adalah kerana ancaman komunis. Dikhuatiri bahawa PAP akan berpecah dan akhirnya dikuasai parti komunis. Pada 29 April 1961, kerajaan PAP yang memerintah telah mengalami kekalahan bagi kawasan Hong Lim yang merupakan kawasan yang penting. Daripada kekalahan tersebut, sokongan terhadap PAP jelas berkurangan. Ahli-ahli PAP yang hilang kepercayaan terhadap parti tersebut berpecah dan membentuk Barisan Sosialis.[8] Ini membimbangkan Tunku Abdul Rahman. Akan tetapi Perdana Menteri Singapura Berjaya memujuk beliau dengan alasan bahawa Singapura mungkin akan lebih merbahaya jika ia berada di luar Malaysia.
Untuk menyelesaikan masalah ketidakseimbangan kaum, idea menggabungkan Sarawak, Borneo Utara dan Brunei adalah jalan terbaik. Dengan kemasukan Sarawak, Borneo Utara dan Brunei ke dalam gagasan Malaysia, kedudukan orang Melayu dari segi kekuatan politik akan meningkat. [9]

2.0  CABARAN PENUBUHAN MALAYSIA
2.0.1 Reaksi Brunei
            Dalam pembentukan Malaysia, Brunei pada peringkat awalnya menerima berita tersebut dengan baik. Sultan Brunei ketika itu iaitu Sultan Omar Ali Saifuddin II sangat teruja dengan berita pembentukan Malaysia. Dikatakan baginda sudah lama ingin mengadakan hubungan pandangan budaya dan adat resam yang sama dengan orang Melayu di Tanah Melayu. Begitu juga penduduk Kuala Lumpur yang menanti-nantikan pertambahan dalam ‘keluarga’ Melayu dengan adanya orang Melayu Brunei. [10]Disini jelas bahawa Sultan Omar memang ingin menyertai gagasan Malaysia. Akan tetapi, penentangan berlaku daripada satu parti iaitu Parti Rakyat Brunei[11] yang diketuai oleh A.M Azahari[12]. Pada awalnya, A.M Azahari pernah mengatakan,
“Kita hendaklah merasa yakin bahawa tidak ada udang di sebalik batu di dalam usul itu (Malaysia). Kita harus diyakinkan bahawa usul-usul itu akan menguntungkan kepentingan negara wilayah-wilayah Borneo.” [13]
            Pendirian A.M Azahari tiba-tiba berubah. Beliau dengan partinya telah menentang gagasan Malaysia. Tunku Abdul Rahman dikritik dan didakwa sebagai orang yang bertanggungjawab menjalankan dasar kolonialisme dan menjadi alat kepada kuasa besar. Beliau tidak berhasrat untuk menyertai Persekutuan Malaysia kerana Brunei mempunyai kekayaannya. Menurut beliau juga, menyertai Malaysia akan menyebabkan mereka hilang kuasa dan pengaruh politik ke atas Brunei. [14] Parti Rakyat Brunei yang telah memenangi pilihan raya umum di Brunei pada 30 Ogos 1962 dengan memenangi 32 kerusi tanpa bertanding dan memenangi 22 daripada baki 23 kawasan. Dalam pilihan raya ini, Parti Rakyat Brunei mengalahkan 2 lagi parti pro-Malaysia iaitu Pertubuhan Nasional Brunei dan Parti Bersatu Brunei. [15] Dengan kemenangan ini, Parti Rakyat Brunei telah mencabar kuasa autokrasi sultan, dengan menuntut satu kerajaan yang bertanggungjawab serta kemerdekaan yang segera sebagai asas kepada penyatuan bersama dengan Borneo Utara dan Sarawak. Beliau ingin menubuhkan satu negara yang Kalimantan Utara yang merdeka. [16]
Permintaan ini ditolak oleh Sultan Omar. Menjelang 24 November, A.M Azahari yang berada di Manila, Filipina ketika itu telah mengugut, mengatakan bahawa rakyat Brunei akan ‘menentang’ sekiranya British memaksa Brunei untuk menerima penubuhan Malaysia. [17] Pada 7 Disember 1962 pemberontakan telah berlaku dibawah pimpinan A.M Azahari dengan sokongan tentera komunis, Tentera Nasional Kalimantan Utara. Dalam pemberontakan ini, Presiden Indonesia ketika itu iaitu Presiden Soekarno juga turut memberi sokongan moral . Apabila tentera pemberontak tersebut berjaya menguasai beberapa kawasan penting termasuklah kawasan Syarikat Minyak Shell, Azahari mengumumkan dirinya sebagai ‘Perdana Menteri’ baru kepada Kerajaan Revolusi Kalimantan Utara. [18] Pemberontakan ini berjaya dihentikan dengan bantuan tentera British (Komanwel) dan Gurkha.[19] Selepas itu, Sultan Omar mengisyhtiharkan darurat di mana Parti Rakyat Brunei akhirnya dibubarkan. A.M Azahari telah melarikan diri ke Jakarta. Daripada pemberontakan ini, ia mencetuskan lagi konfrontasi Indonesia terhadap penubuhan Malaysia.
            Pemberontakan berakhir, rundingan Persekutuan Malaysia masih berjalan. Pada akhir-akhir saat rundingan, Sultan Omar tidak bersetuju dengan tuntutan Kuala Lumpur terhadap pendapat Brunei daripada hasil minyak. Ini dibuktikan dengan pernyataan baginda sultan di dalam radio pada 17 Julai. Baginda mengatakan sebab sebenar Brunei enggan untuk menyertai Malaysia adalah kerana soal hasil minyak.[20] Baginda juga tidak gembira terhadap tuntutan persekutuan tersebut keatas perkara berkenaan dengan soal cukai dan posisi baginda di dalam kalangan pemimpin. Menurut Mohd Abu Bakar di dalam bukunya Politik Brunei Menjelang Penubuhan Malaysia (1990), baginda juga beralasan mengatakan bahawa kerajaan Tanah Melayu gagal mematuhi syarat-syarat perjanjian yang pernah dipersetujui oleh kedua belah pihak. [21] Akhirnya, Sultan Omar bertindak untuk tidak menyertai Malaysia.

2.0.2 Reaksi Indonesia
            Penubuhan Malaysia yang ditujukan kepada beberapa pihak telah mendapat pelbagai reaksi. Sudah sedia maklum bahawa Singapura sangat berminat untuk menyertai penubuhan Malaysia. Akan tetapi, wujud penentangan daripada negara jiran seperti Indonesia. Negara tersebut memberi reaksi negatif terhadap idea Tunku Abdul Rahman ini. Semasa berlakunya Revolusi Brunei, Presiden Soekarno dikatakan memberi sokongan terhadap gerakan yang dilakukan oleh Parti Rakyat Brunei. Oleh sebab itu, Tunku Abdul Rahman telah mengutuk Indonesia kerana memberi sokongan kepada pihak pemberontak. [22] Akan tetapi, Presiden Soekarno menafikan pernyataan ini walaupun beliau mengaku bahawa ‘Indonesia bersimpati ke atas penduduk Kalimantan Utara di dalam perjuangan mereka ke arah kemerdekaan’. Setelah itu, Soekarno mendakwa bahawa Gagasan Malaysia sebenarnya merupakan satu agenda untuk menyekat Indonesia dan mengaut hasil mentah Borneo untuk kepentingan kerajaan berbentuk imperial.
            Parti Komunis Indonesia (PKI) yang menyokong pemerintahan Presiden Soekarno telah mendakwa Persekutuan Malaysia pada Disember 1961 sebagai satu bentuk ‘neo-kolonialism’ yang dibentuk untuk meluaskan pengaruh demokrasi dan gerakan patriotik kepada penduduk di 5 kawasan tersebut. [23] PKI seterusnya mengadakan kempen propaganda yang dipercayai akan menggagalkan misi penyatuan tersebut. Setelah berlakunya pemberontakan di Brunei, Indonesia menjadi semakin terbuka mengatakan bantahannya ke atas idea penubuhan Malaysia. Selepas itu, Soekarno dengan secara rasminya menyatakan sokongan beliau kepada pemberontak-pemberontak di Brunei. Bersama-sama Azahari di Manila ketika itu, pegawai-pegawai tertinggi di Jakarta telah berulang-ulang kali mengatakan bahawa ada 100,000 sukarelawan Indonesia yang bersedia untuk menentang penubuhan Malaysia di dalam revolusi tersebut.
            Tidak lama kemudian, Presiden Soekarno mengumumkan satu dasar baru iaitu dasar Konfrontasi ke atas Tanah Melayu. [24] Dasar ini pada peringkat awalnya adalah untuk memutuskan hubungan diplomasi antara Indonesia dan Tanah Melayu, ugutan menyatakan bahawa ada menghuru-harakan Borneo oleh ‘sukarelawan-sukarelawan’, serangan ke atas bot-bot nelayan orang Tanah Melayu di perairan luar negara, dan juga strategi diplomatik yang rumit dirangka untuk memisahkan Tanah Melayu daripada hubungan antarabangsa. Walaupun wujud ugutan sebegini, serangan ke atas bot-bot dan juga pencabulan ruang angkasa Tanah Melayu, kerajaan Persekutuan Tanah Melayu tidak menganggap ini sebagai satu ancaman yang besar. Ini kerana Tanah Melayu mempunyai perjanjian pertahanan dengan Britain dan Tanah Melayu mampu menghubungi bantuan tentera Komanwel untuk sokongan. [25] Berkenaan dengan ugutan ke atas ancaman ekonomi tidak berjaya kerana ini akan melumpuhkan ekonomi Indonesia dan juga Tanah Melayu.
            Salah satu usaha diplomatik untuk menentang penubuhan Malaysia berlaku di Persidangan Perpaduan Afro-Asia (Afro-Asian Solidarity Conference) di Tanganyika, Afrika Timur pada Ferbruari 1963. Persidangan tersebut dikatakan dipengaruhi oleh pihak yang pro-komunis. [26] Ini menyebabkan usul penyatuan Tanah Melayu dan Singapura tidak dibicarakan di persidangan tersebut. Di pihak lain pula, usul berkenaan dengan kerajaan bayangan A.M Azahari iaitu Kalimantan Utara disidangkan. Dua resolusi anti-Malaysia telah diluluskan tanpa perbahasan, memberi laluan kepada sisa-sisa komunis Cina dan propaganda-propaganda yang hendak disampaikan oleh Indonesia.
            Setelah Malaysia berjaya ditubuhkan pada 16 September 1963, Indonesia sekali lagi menyatakan rasa tidak puas hatinya kepada perkara tersebut. Hal ini kerana, jelas hasrat Presiden Soekarno untuk meluaskan Indonesia dengan menyatukan Sarawak dan Sabah telah gagal. Dengan ini, Indonesia menjalankan kempen ‘Ganyang Malaysia’ dan melakukan gerakan secara radikal dengan menyerang sempadan di Sarawak  dan Sabah melalui laluan di Kalimantan. [27]Serangan seperti pengeboman dan serangan pengganas dilakukan oleh pengkhianat-pengkhianat yang menyelusup masuk secara senyap-senyap ke dalam Malaysia.


[1] Petikan ucapan Tunku Abdul Rahman di Singapura semasa Foreign Correspondents’ Association of South-East Asia. Gullick, J.M. , Malaysia (New York: Frederick A. Praeger, Publishers, 1969) hlm 173
[2] Kassim Thukiman, Malaysia Perspektif Sejarah Dan Politik (Johor Darul Ta’zim: Universiti Teknologi Malaysia, 2002) hlm 173
[3] Ismail Bin Said, Sejarah Malaysia Moden (1945-1969) (Selangor Darul Ehsan: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd. , 2012) hlm 92
[4] Milne, R.S. dan Mauzy, Diane K. , Politik Dan Kerajaan di Malaysia (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982) hlm 71-72
[5] Ismail Bin Said, Sejarah Malaysia Moden (1945-1969) (Selangor Darul Ehsan: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd. , 2012) hlm 92
[6] Tregonning, K.G. , Malaysia (Canberra: F. W. Cheshire Pty. Ltd. , 1964) hlm 39
[7] Milne, R.S. dan Mauzy, Diane K. , Politik Dan Kerajaan di Malaysia (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982) hlm 72
[8] Milne, R.S. dan Mauzy, Diane K. , Politik Dan Kerajaan di Malaysia (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982) hlm 72
[9] Ismail Bin Said, Sejarah Malaysia Moden (1945-1969) (Selangor Darul Ehsan: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd. , 2012) hlm 94
[10] Turnbull, C. Mary, A History of Malaysia, Singapore and Brunei (Sydney: Allen & Unwin Australia Pty Ltd, 1989) hlm 255
[11] Parti Rakyat Brunei ditubuhkan pada 22 Januari 1956 dan dipimpin oleh A.M Azahari sehingga pembubarannya
[12] Sheikh A.M Azahari dikatakan seorang anti-kolonial dan beliau sangat memusuhi pihak British. Beliau pernah terlibat dengan peperangan ke atas pihak Belanda di Indonesia bersama-sama orang Indonesia di penghujung Perang Dunia ke- 2. Edmonds, I.G. , The New Malaysia (New York: The Bobbs-Merrill Company, Inc, 1973) hlm 94
[13] Kassim Thukiman, Malaysia: Perspektif, Sejarah dan Politik (Johor Darul Ta’zim: Universiti Teknologi Malaysia, 2002) hlm 176
[14] Mohamed Noordin Sopiee, From Malayan Union To Singapore Separation – Political Unification In The Malaysia Region 1945- 65 (Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya Sdn. Bhd. , 1974) hlm 172
[15]  Mohamed Noordin Sopiee, From Malayan Union To Singapore Separation – Political Unification In The Malaysia Region 1945- 65 (Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya Sdn. Bhd. , 1974) hlm 173                                           
[16] Bastin, John dan Winks, Robin W. , Malaysia Selected Historical Readings (London: Oxford University Press, 1966) hlm 423
[17] Mohamed Noordin Sopiee, From Malayan Union To Singapore Separation – Political Unification In The Malaysia Region 1945- 65 (Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya Sdn. Bhd. , 1974) hlm 175
[18] Edmonds, I.G. , The New Malaysia (New York: The Bobbs-Merrill Company, Inc. , 1973) hlm 94
[19] Turnbull, C. Mary, A History of Malaysia, Singapore and Brunei (Sydney: Allen & Unwin Australia Pty Ltd, 1989) hlm 256
[20] Mohamed Noordin Sopiee, From Malayan Union To Singapore Separation – Political Unification In The Malaysia Region 1945- 65 (Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya Sdn. Bhd. , 1974) hlm 180
[21] Kassim Thukiman, Malaysia: Perspektif, Sejarah dan Politik (Johor Darul Ta’zim: Universiti Teknologi Malaysia, 2002) hlm 177

[22] Edmonds, I.G. , The New Malaysia (New York: The Bobbs-Merrill Company, Inc. , 1973) hlm 95
[23] Means, Gordon P. , Malaysian Politics (London: Hodder And Stoughton Limited. , 1976) hlm 314
[24] Di dalam sesetengah buku mengatakan dasar ini diumumkan oleh oleh Perdana Menteri Indonesia iaitu Dr Subandrio.
[25] Andaya, Barbara Watson dan Andaya, Leonard Y. , A History of Malaysia Second Edition (Hampshire: Palgrave Publishers Ltd, 2001) hlm 286
[26] Means, Gordon P. , Malaysian Politics (London: Hodder And Stoughton Limited. , 1976) hlm 314

[27] Andaya, Barbara Watson dan Andaya, Leonard Y. , A History of Malaysia Second Edition (Hampshire: Palgrave Publishers Ltd, 2001) hlm 287

KUPASAN ISU DAN CABARAN GAGASAN MALAYSIA 1963


1.0         PENGENALAN


Setelah Tanah Melayu merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957, secara rasminya Tanah Melayu menjadi sebuah negara yang bakal membangun dengan sendirinya tanpa ada campur tangan lagi dari pihak British, khususnya. Tanah Melayu yang sudah sedia maklumnya stabil dari segi ekonominya mampu untuk bertahan dan membangun.
Malaya today as a nation realises that she cannot stand alone and in isolation. Outside of international politics the national one must be broad-based. Sooner or later she should have an understanding with Britain and the peoples of Singapore , Borneo, Brunei and Sarawak. It is premature for me to say now how this closer understanding can be brought about but is inevitable that we should look ahead to this objective and think of a plan whereby these territories can be brought closer together in a political and economic cooperation’.[1]
Kata-kata di atas diucapkan oleh Perdana Menteri Tanah Melayu yang pertama iaitu, Tunku Abdul Rahman Putra Al- Haj pada 27 Mei 1961. Kata-kata ini memberi bayangan bahawa wujud satu hasrat untuk membawa Singapura, Sarawak, Borneo Utara (Sabah) dan Brunei menjadi satu persekutuan dan menjadi satu negara. Maka muncullah gagasan penubuhan Malaysia. Sebelum ini, idea yang mirip dengan gagasan Malaysia ini sudah dinyatakan sebelum Perang Dunia Kedua lagi. Ibrahim Haji Yaacob yang memimpin Kesatuan Melayu Muda pernah bercita-cita untuk wilayah di kepulauan Melayu dengan konsep Indonesia Raya atau Melayu Raya.[2] Malah pada 30 November 1945 dalam Kongres Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), satu resolusi telah dibangkitkan iaitu “Malaya adalah sebahagian daripada Indonesia Raya dan Merah Putih (Sang Saka Putih bendera Indonesia) adalah bendera PKMM.[3]
Selain cadangan parti-parti berhaluan kiri, pegawai-pegawai British sendiri pernah menyatakan cadangan untuk penyatuan wilayah Tanah Melayu dan juga Borneo. Pada abad ke-19, Lord Brassey yang merupakan pengarah Syarikat Borneo Utara mencadangkan supaya kerajaan British menggabungkan Borneo dan Tanah Melayu untuk membentuk satu tanah jajahan yang besar. Namun begitu, cadangan ini ditolak oleh pemegang saham syarikat tersebut pada tahun 1894.[4] Selain Lord Brassey, Sir Malcom MacDonald juga mencadangkan perkara yang sama.  Di Singapura, Singaproe Progressive Party telah menyatakan idea untuk penyatuan ini pada 1947. Dato’ Onn yang mengetuai Parti Negara pernah mencadangkan nama ‘Malaysia’ sebagai nama bagi Persekutuan Tanah Melayu. [5]
Daripada pernyataan di atas, ternyata bahawa ramai pihak ingin menyatukan Tanah Melayu dengan Singapura, Sarawak, Borneo Utara dan Brunei. Meskipun terdapat tentangan, Tunku Abdul Rahman teguh dengan pendirian beliau untuk merealisasikan cita-cita ini. Di Singapura, People’s Action Party (PAP) yang diketuai oleh seorang peguam bernama Lee Kuan Yew telah memenangi pilihan raya 1959. Daripada kemenangan ini, Lee Kuan Yew memfokuskan kepada dua objektif utama iaitu industrialisasi dan penggabungan dengan Tanah Melayu. [6] Dengan slogan ‘Kemerdekaan melalui Penggabungan’, Lee Kuan Yew membawa impiannya untuk disuntik di dalam jiwa rakyat penyokongnya. Ini agak sukar kerana menurut PAP, Singapura ibarat kepulauan Cina di dalam lautan Islam, di kelilingi oleh bangsa Indonesia dan Melayu yang sangat mencurigai gerakan parti berhaluan kiri Cina seperti mereka.
Di Tanah Melayu, penggabungan tidak disokong oleh UMNO, walaupun Tunku Abdul Rahman menyokongnya. Faktor kebimbangan penduduk Tanah Melayu adalah ketidakseimbangan kaum, di mana apabila Singapura bersatu dengan Tanah Melayu. Apabila berlaku ketidakseimbangan kaum, kemungkinan corak politik akan cenderung kepada majoriti kaum yang ada iaitu Cina. Cina kemungkinan akan dipengaruhi oleh PAP yang corak politiknya berhaluan kiri. [7]
Kajian yang dilakukan oleh Noordin Sopiee menyatakan bahawa ramai pengkaji setuju bahawa faktor utama penubuhan Malaysia adalah kerana ancaman komunis. Dikhuatiri bahawa PAP akan berpecah dan akhirnya dikuasai parti komunis. Pada 29 April 1961, kerajaan PAP yang memerintah telah mengalami kekalahan bagi kawasan Hong Lim yang merupakan kawasan yang penting. Daripada kekalahan tersebut, sokongan terhadap PAP jelas berkurangan. Ahli-ahli PAP yang hilang kepercayaan terhadap parti tersebut berpecah dan membentuk Barisan Sosialis.[8] Ini membimbangkan Tunku Abdul Rahman. Akan tetapi Perdana Menteri Singapura Berjaya memujuk beliau dengan alasan bahawa Singapura mungkin akan lebih merbahaya jika ia berada di luar Malaysia.
Untuk menyelesaikan masalah ketidakseimbangan kaum, idea menggabungkan Sarawak, Borneo Utara dan Brunei adalah jalan terbaik. Dengan kemasukan Sarawak, Borneo Utara dan Brunei ke dalam gagasan Malaysia, kedudukan orang Melayu dari segi kekuatan politik akan meningkat.

2.0.      CABARAN


2.1.     Penentangan pemimpin politik tempatan


Gagasan Malaysia telah mendapat beberapa tentangan dari dalam negeri khususnya daripada pemimpin masyarakat dan pemimpin parti politik sama ada dari Tanah Melayu, Sabah dan juga Sarawak. Walaupun banyak sokongan terhadap gagasan Malaysia diterima, namun terdapat juga pihak yang menentang gagasan tersebut. Terdapat sebilangan kecil pemimpin UMNO yang menentang kerana bimbang jika penggabungan tersebut hanya melibatkan Tanah Melayu dan Singapura kerana ianya melibatkan kepentingan orang-orang Melayu[9]. Selain itu, pemimpin-pemimpin Pari Islam Setanah Melayu (PAS) merupakan antara pihak yang lantang menentang penubuhan Malaysia dengan alasan bahawa orang-orang Melayu akan merasa rugi dengan penggabungan tersebut dan mereka lebih berminat kepada konsep MAPHILINDO. Mereka mengkritik soal penggabungan tersebut kerana Tunku tidak berunding dengan pemimpin-pemimpin politik lain sebelum mengemukakan rancangannya[10]. Menurut Mohd. Noor lagi, Parti Buruh juga turut menentang cadangan tersebut dengan alasan Tanah Melayu perlu bercantum dengan Singapura dahulu sebelum membawa wilayah-wilayah di Borneo untuk bergabung.

          Rancangan penubuhan Malaysia juga telah mendapat tentangan yang hebat daripada masyarakat Borneo khususnya di Sabah dan Sarawak. Para pemimpin dan parti-parti politik terkejut dengan cadangan tersebut dan pihak inilah yang dikatakan lantang menentang gagasan penubuhan sekitar tahun 1961 dan 1962[11]. Penentangan ini merupakan satu lagi cabaran yang perlu dihadapi oleh Tunku dan kerajaan Tanah Melayu bagi merealisasikan idea penggabungan tersebut. Menurut daripada Mazlan lagi, penentangan daripada pihak di Sabah dan Sarawak berpunca daripada kurangnya pengalaman masyarakat di kedua-dua wilayah ini dalam arena politik, kebanyakan juga penduduk yang masih buta huruf dan juga sikap para pemimpin yang sudah biasa dengan corak pemerintahan Inggeris. Oleh sebab itulah suara-suara penentangan kedengaran dari Sabah dan juga Sarawak. Rancangan Tunku juga didakwa sebagai satu helah daripada kerajaan Tanah Melayu untuk meluaskan kuasa dan menggantikan penjajah Inggeris[12]. Dakwaan ini dirasakan sebagai sebuah neokolonialisme dalam bentuk baru yang membawa kepada kebimbangan masyarakat di kedua-dua wilayah    ini.
          Para pemimpin dan parti-parti politik di kedua-dua wilayah dan juga dari Brunei telah membentuk satu perikatan yang dinamakan Barisan Bersatu (United Front) pada Julai 1961 untuk mencabar rancangan penubuhan Malaysia (Mohd. Noor, 1979). Perikatan ini berusaha untuk menentang usaha tersebut atas alasan untuk mengelakkan daripada dikuasai oleh sebarang kuasa asing. Jika dilihat dari sudut pengalaman yang kurang dalam diri para pemimpin di Sabah dan Sarawak dalam dunia politik, ini merupakan salah satu kejayaan pihak Inggeris semasa menjajah kedua-dua buah wilayah ini yang telah mengekang sebarang aktiviti yang berunsurkan politik dan juga mengawal sebarang tindak-tanduk masyarakat di bawah jajahan mereka. Oleh itu, adalah tidak menghairankan jika suara lantang datang dari Borneo untuk menentang idea penggabungan tersebut dan ini dianggap sebagai salah satu daripada cabaran yang wujud dalam merialisasikan gagasan Malaysia.

2.1.1.           Usaha mengatasi
2.1.1.1.     Jawatankuasa Perundingan Setiakawan Malaysia (MSCC)
Bagi mengatasi cabaran dalaman yang dihadapi bagi merealisasikan rancangan Malaysia, pada Julai 1961 pihak British telah menghantar beberapa orang wakil dari Sabah dan Sarawak dalam Persidangan Parlimen Komanwel (CPA) yang berlansung di Singapura. Dalam persidangan ini, wakil-wakil dari Borneo dapat bertemu secara lansung dan bertukar-tukar fikiran dengan wakil-wakil dari Tanah Melayu dan Singapura. Pada 23 Julai 1961, persidangan ini telah membawa kepada pembentukan sebuah jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (MSCC) yang bertujuan untuk mengumpul pandangan daripada penduduk  Sabah dan Sarawak tentang gagasan Malaysia. Selain itu, MSCC juga berfungsi untuk menyebarkan maklumat dan menggalakkan perbincangan mengenai Malaysia serta mengadakan kegiatan-kegiatan kesedaran tentang kepentingan penubuhan Malaysia[13].

          Sebenarnya, MSCC telah membuka jalan kepada beberapa siri rundingan seterusnya yang turut melibatkan Brunei walalupun hanya bertindak sebagai pemerhati sahaja. Usaha ini pada akhirnya telah membuahkan hasil dengan berubahnya fikiran beberapa orang pemimpin yang pada awalnya menentang kepada menyokong. Selepas CPA di Singapura, terdapat juga usaha daripada Tanah Melayu membawa rombongan lawatan para pemimpin dari Sabah dan Sarawak untuk melihat kemajuan yang wujud di Tanah Melayu[14]. Cabaran yang datang dari Sabah dan Sarawak ini akhirnya berjaya diatasi berkat usaha yang dilakukan oleh kerajaan Tanah Melayu dan Singapura dengan meyakinkan para pemimpin dari kedua-dua wilayah ini tentang kepentingan rancangan penubuhan Malaysia dari aspek pembangunan ekonomi dan juga kestabilan politik.

Setelah itu, Suruhanjaya Cobbold dibentuk bagi meninjau pandangan penduduk di Sabah dan Sarawak mengenai gagasan Malaysia. Selain itu, suruhanjaya ini juga bertanggungjawab untuk membuat syor atau cadangan yang bersesuaian berkenaan penubuhan Malaysia berdasarkan daripada pandangan-pandangan yang diperoleh.[15] Suruhanjaya ini telah menjalankan tugasnya selama dua bulan dan akhirnya memberikan sokongan ke atas cadangan penubuhan Malaysia. Suruhanjaya ini juga mencadangankan beberapa perkara dan antara cadangan tersebut ialah agar Perlembagaan Tanah Melayu 1957 dijadikan sebagai asas kepada perlembagaan yang baru. Maka dengan itu, Jawatankuasa Antara Kerajaan ditubuhkan untuk merangka perlembagaan persekutuan Malaysia serta bertanggungjawab untuk melindungi hak dan kepentingan rakyat di Sabah dan Sarawak. Menurut daripada Ruslan (2003), hampir semua cadangan Suruhanjaya Cobbold diterima dan semua pihak yang terlibat bersetuju untuk memilih 31 Ogos 1963 sebagai hari penubuhan Malaysia.


2.2.      Rusuhan Kaum 13 Mei 1969


Apabila mempersoalkan isu perpaduan kaum, ianya bukanlah suatu cabaran baru dalam pembentukan Malaysia, juga bukan cabaran terhebat kepada Tunku dalam usaha mewujudkan kompromi antara kaum bagi merealisasikan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 akibat dasar pecah dan perintah sejak awal pemerintahan British yang membawa kepada pengenalan identiti kaum berdasarkan fungsi ekonomi, Melayu sebagai petani di kampung, Cina sebagai peniaga di bandar dan India pula sebagai penoreh getah yang secara tidak langsung telah menyekat kewujudan interaksi mahupun hubungan antara kaum yang difikirkan relevan bagi mencapai tujuan memudahkan British untuk memerintah, menumpukan perhatian kepada pengeksploitasian hasil bumi serta mengelakkan penduduk Tanah Melayu daripada bersatu dan bangkit menentang, ditambah lagi dengan dasar anti-Cina semasa pendudukan Jepun menjadikan hubungan antara kaum menjadi semakin kritikal.[16] Mengapa peristiwa ini menjadi cabaran awal selepas 13 hari 6 bulan 6 tahun Malaysia terbentuk?




Perpaduan kaum menjadi cabaran hebat terhadap cetusan idea pembentukan Malaysia yang turut melibatkan penyertaan Singapura kerana telah menghidupkan kembali ketegangan antara kaum utama tersebut sehingga mengakibatkan satu letupan gempa masyarakat dan politik yang amat mengerikan pada 13 Mei 1969 walaupun dari segi kedudukan geografi, Malaysia sama sekali tidak terletak dalam lingkungan gempa bumi, namun terpaksa berhadapan dengan keadaan darurat sekali lagi akibat peperangan yang wujud dalam kalangan kaum sehingga memaksa Tunku menyerahkan ketokohannya kepada Tun Abdul Razak.[17]

2..2.1.              Faktor pencetus rusuhan kaum 13 Mei 1969
2.2.1.1.            Penyertaan Singapura dalam Malaysia
Adakah semata-mata kerana penyertaan Singapura dalam Malaysia menjadi pemangkin utama kepada permasalahan ini? Kemasukan Singapura dalam gagasan Malaysia nyata telah menyalakan semula api perkauman Melayu-Cina, yang menyimpang dari matlamat asal Tunku pada tahun 1961[18], iaitu kemasukan Singapura penting bagi keselamatan negara berikutan kewujudan pengaruh anasir-anasir Komunis dalam Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura yang akan mengancam keselamatan Tanah Melayu (Jayum, 2003) yang turut mendapat sokongan UMNO walaupun timbul isu keseimbangan kaum namun diimbangi oleh penduduk Sabah, Brunei dan Sarawak yang dianggap sebagai aset kekuatan kedudukan orang-orang Melayu yang merasakan orang-orang Cina tidak memberi tanda mereka berpandangan sebagai penduduk Malaysia yang turut disedari sendiri oleh Tunku Abdul Rahman (2007), berikutan kecenderungan 75 peratus orang-orang Cina di Singapura yang cuba menjadikan Singapura sebagai ‘Negeri Kecil China’ yang secara tidak langsung meminggirkan kepentingan orang Melayu di Singapura akibat sikap berat sebelah kerajaan PAP

“...bagi orang Melayu,tindakan kerajaan tidak seperti yang diharapkan. Ada yang mengatakan ia sekadar melepaskan batok di tangga sahaja,... orang Melayu dapat melihat bertapa bezanya apabila kerajaan menganjurkan dan menggalakkan Kempen Bahasa Mandarin dan Konfusianisme secara besar-besaran, dan membenarkan ramai rakyat Hong Kong berhijrah ke Singapura sebagai usaha untuk mengatasi kejatuhan kadar kelahiran masyarakat Cina. Orang Melayu...memang sukar untuk menerima apa yang dianggap mereka sebagai diskriminasi kaum yang jelas bertentangan dan menyimpang daripada dasar berbilang kaum.

Permasalahaan menjadi semakin tegang apabila Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura bertegas mengambil bahagian kecil dalam pilihan raya Persekutuan pada April 1964 dan bertegas menggantikan tempat MCA dalam Perikatan UMNO-MCA-MIC yang secara tidak langsung telah memberi cabaran terhadap cengkaman kuasa politik UMNO walaupun keputusan pilihan raya tersebut tidak memihak kepada PAP langsung[19], namun ketegasan Lee Kuan Yew memperjuangkan “Malaysia untuk rakyat Malaysia” mengundang syak wasangka dan jelas menentang UMNO sehingga menyentuh isu sensitif berkaitan dengan hak istimewa dan kedudukan orang-orang Melayu sehingga membawa kepada rusuhan orang Melayu-Cina pada Julai 1964 semasa perarakan Maulud Nabi berikutan penyebaran risalah yang mendesak orang-orang Melayu menentang orang-orang Cina serta menyembelih apabila ditemui yang memaksa Singapura mengeluarkan perintah berkurung akibat huru hara yang mengorbankan 22 orang terbunuh dan 500 tercedera, malah sehingga Mei 1965 perhubungan Melayu-Cina menjadi semakin kusut dan dengan terang-terang Lee Kuan Yew telah mencabar hak keistimewaan orang-orang Melayu dengan membangkitkan sejarah penghijrahan orang Melayu ke Malaysia pada 700 tahun yang lalu hanyalah dalam bilangan yang sedikit, malah 1/3 daripada 39 peratus adalah pendatang seperti Setiausaha Agung UMNO, Syed Ja’afar Albar dari Indonesia sebelum perang semasa berusia 30 tahun yang disifatkan salah dan tidak logik adil dipanggil rakyat Malaysia yang akhirnya memaksa Tunku Abdul Rahman secara rasminya pada 9 Ogos 1965 mengumumkan penyingkiran keluar Singapura dari Malaysia.[20]



2.2.1.2.            Pilihan raya 1969
Apabila melihat masa selepas penyingkiran tersebut, PAP walaupun secara rasminya telah dibubarkan namun wujud sebagai parti luar negeri dan kemudiannya bertindak mendaftarkan kembali sebagai Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada Mac 1966, wakil tunggal PAP di Dewan Rakyat yang bertindak menentang perbezaan kaum berdasarkan konsep ‘Malaysia untuk rakyat Malaysia’ yang secara tidak langsung mempengaruhi parti pembangkang lain , iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Gerakan Rakyat Malaysia ( Gerakan ), Parti Progresif Rakyat ( PPR ) dan Pertubuhan Cina Malaysia Bersatu ( UMCO ) untuk menentang dasar kerajaan, yang jelas semasa kempen pilihan raya 1969 sehingga mengundang perbuatan liar dan ucapan yang tidak bertanggungjawab sepanjang tujuh minggu selepas penamaan calon pada 5 April bersamaan hari Sabtu.[21]
“Sejak permulaan kempen, PAS telah menggunakan sentimen perkauman dan keagamaan untuk mendapatkan sokongan daripada orang Melayu...bagi DAP, Gerakan dan PPR pula, mereka mengapikan perasaan dan sentimen orang Cina dengan mengatakan mereka akan merampas hak orang Melayu sebagaimana yang tercatat dalam Perlembagaan; dan menekankan bahawa mereka akan mengamalkan dasar berbilang bahasa di Malaysia...keempat-empat parti ini telah mengeluarkan isu-isu sensitif dan menyentuh perasaan kedua-dua kaum terbesar di Malaysia.[22]

Ungkapan yang mengundang pergeseran ini mencetuskan ucapan berunsur penghinaan dari Dr. Mahathir, calon parti Perikatan yang bertegas memiliki harapan untuk menang sekalipun orang Cina tidak menyokongnya, namun apabila difikirkan memang telah menjadi kelaziman di mana-mana jua dalam dunia yang bebas ini, kempen pilihan raya menjadi medan pengungkapan perkataan yang pedas dan kenyataan yang tidak bijak namun seharusnya tidak dijadikan alasan sehingga melanggar batas dan bukan perkara yang mustahil apabila penyokong sesebuah parti itu berpaling tadah, misalnya walapun calon-calon PAS secara terang-terangan menunjukkan sikap anti-Cina semasa berkempen tetapi semasa mengundi parti tersebut mendapat sokongan orang Cina yang pada masa lepas merupakan penyokong kuat calon-calon UMNO.[23]

Perbuatan liar yang bermula dengan kempen menulis cat merah cogan-cogan kata dan tanda-tanda di atas jalan raya dan tembok yang menggesa pemulauan terhadap pilihan raya oleh ahli Parti Buruh Malaya (LMP) yang memasuki Gerakan serta mempunyai hubungan dengan Komunis menjadi tragis berikutan pembunuhan seorang pekerja UMNO, Kassim Omar di Pulau Pinang pada 24 April jam 8.30 malam kira-kira dua minggu sebelum hari mengundi dan sepuluh hari kemudian, enam hari sebelum hari mengundi pada 4 Mei, salah seorang ahli LMP, Lim Soon Seng ditembak mati oleh Polis kerana melawan ketika ditangkap di Kuala Lumpur yang membawa kepada perarakan mayat besar-besaran dari utara (Jalan Petaling) ke selatan (Jalan Ipoh) yang melalui tengah-tengah kota yang bermula pada jam 9.55 pagi hingga 5.30 petang pada 9 Mei, sehari sebelum pilihan raya melibatkan 10 000 orang sambil melaungkan Moa Tse-tung, Malai si ( Melayu mati ) dan hutang darah dibayar darah yang telah membangkitkan kemarahan orang-orang Melayu namun berjaya diatasi oleh pihak Polis.[24]

Akibat daripada tentangan yang wujud ini secara tidak langsung mengugat kemenangan secara total Perikatan dalam pilihanraya 1969 menyebabkan Perikatan hanya memenangi 66 kerusi daripada 103 yang dipertandingkan dengan jumlah perolehan undi sebanyak 48.41%, DAP memenangi 13 daripada 24 kerusi membawa perolehan undi 13.73%, 8.57% undi dipungut oleh Gerakan hasil kemenangan 8 daripada 14 kerusi yang dipertandingkan dan PPR pula hanya tumbang 2 kerusi dari 6 yang dipertandingkan yang membawa perolehan undi 3.87%.[25]

Walaupun keputusan tidak memberikan kejayaan kepada Pembangkang untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan, namun kekalahan 25.84% Perikatan merupakan kejayaan kepada mereka untuk memberbaiki kedudukan lantas perarakan kemenangan telah diadakan di Kuala Lumpur walaupun tidak mendapat kebenaran pihak Polis sehingga mengundang kesesakan lalulintas di merata-rata tempat malah bertindak mengumpat dan menghina 30 000 orang-orang Melayu di Kampung Baharu, kampung Melayu terbesar di Kuala Lumpur setelah memasuki kawasan tersebut dengan membuat penyataan bahawa Melayu sudah jatuh, Kuala Lumpur kini dimiliki oleh Cina, keinginan menghalau orang Melayu dan seumpama dengannya sehingga memaksa sekumpulan penyokong UMNO pada petang 13 Mei 1969 mengadakan tunjuk perasaan di luar kediaman Menteri Besar Selangor yang akhirnya telah meletuskan huru hara antara Melayu-Cina sehingga membawa kepada rusuhan berterusan akibat tindakan saling bunuh-membunuh yang tidak boleh dikawal lagi oleh Polis dan tentera yang memaksa kerajaan mengeluarkan perintah berkurung 24 jam yang secara tidak langsung membawa kepada keadaan darurat yang telah diisytiharkan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut Fasa 2 Akta 150 Perlembagaan Malaysia pada 14 Mei 1969 dan dalam masa yang sama Perlembagaan dan Parlimen telah digantung serta membawa kepada penangguhan pilihanraya di Malaysia Timur.[26]

2.2.1.3.            Pengaruh fahaman Komunis
Apabila dikaji, nyata sekali peranan yang telah dimainkan oleh Komunis dalam rusuhan 13 Mei sangat besar berikutan kejayaan penyebaran fahaman tersebut dalam kalangan pelampau Cina amnya yang terdiri daripada golongan belia dalam parti pembangkang terutama sekali Parti Buruh Malaya (LMP) yang terang-terangan menjadi alat Komunis melancarkan serangan bagi mencapai matlamat mereka.

Ancaman Komunis telah bergerak secara berselindung dalam mana-mana parti dan dilakukan dengan apa jua cara untuk mencapai tujuan mereka. Keadaan ini sangat berbahaya kerana menggunakan dakyah-dakyah yang baru bagi mendapat sokongan orang Cina, terutama sekali yang enggan menyifatkan Malaysia sebagai negara tanah tumpah mereka sendiri. Mereka menanamkan perasaan perkauman dalam hati dan fikiran orang Cina untuk ditarik masuk ke dalam gerakan Komunis.[27]

Penyerapan masuk fahaman Komunis dalam politik LMP menjadikan ianya memudahkan Komunis melancarkan serangan bagi setiap kejadian yang berlaku di Malaysia dan sememangnya menjadi taktik Komunis menyalakan api pada seberapa banyak cerek yang boleh dengan harapan salah satu daripadanya akan meletup dengan sendirinya, misalnya hukuman gantung yang hampir dijalankan terhadap 11 orang Cina yang menjadi anggota Parti Komunis Malaya (PKM) pada Jun 1968 akibat tindakan membantu pihak Sukarno menyerang selatan Malaysia, namun dikurangkan kepada penjara seumur hidup demi menyelamatkan 1000 jiwa akibat pergaduhan yang timbul di luar pintu Penjara Pudu Kuala Lumpur berikutan tunjuk perasaan secara liar oleh belia-belia Komunis sehingga menghalang lalu lintas yang lahir daripada kempen besar-besaaran memungut tandatangan simpati oleh penyokong Komunis akibat kegagalan Dr.Tan Chee Khoon (anggota Parlimen LMP) membuat rayuan untuk menangguhkan hukuman gantung.[28]

LMP nyata telah menjadi darah daging Komunis berikutan tindakan memulaukan pilihan raya 1969 selepas enam minggu hukuman diringankan pada 13 Oktober yang meniru taktik Barisan Sosialis Singapura yang turut sama menjadi alat Komunis sehingga sanggup menarik keluar serta-merta kesemua ahlinya dari Parlimen atau Dewan Undangan Negeri sehingga menimbulkan kelam-kabut dan perpecahan dalam kalangan ahli mereka sendiri. Walaupun penglibatan Komunis dalam perarakan mayat besar-besaran pada 9 Mei 1969, sehari sebelum pilihanraya yang hampir meletuskan rusuhan kaum melibatkan 10 000 orang kerana telah membangkitkan kemarahan orang-orang Melayu berjaya diatasi oleh pihak Polis [29], namun tiada menyangka dakyah Komunis dalam perarakan kemenangan Dr. Tan Chee Khoon (Gerakan) yang turut disertai oleh DAP, pada 13 Mei bersamaan hari Selasa telah meletuskan rusuhan kaum yang terhebat di Malaysia apabila berjaya membangkitkan kemarahan orang-orang Melayu yang tidak boleh diatas lagi oleh pihak Polis.
“ Dengan itu bolehlah dikatakan bahawa 13 Mei itu sebenarnya telah dicetuskan oleh pemuda-pemuda Cina Komunis, pemuda-pemuda ini boleh jadi orang yang sama yeng telah mengambil bahagian dalam perarakan mayat, ataupun orang yang sejenis dengan mereka. Tulisan “Darah bayar darah” ialah cogan kata yang telah tertulis di atas sepanduk-sepanduk yang diarak dalam perarakan mayat oleh pemuda-pemuda Parti Buruh pada 9 Mei; cogan kata yang dilaungkan oleh mereka di sepanjang perarakan itu.”
2.2.2.                 Usaha mengatasi rusuhan kaum
2.2.2.1.            Pembentukan Majlis Gerakan Negara ( MAGERAN )
Pembentukan MAGERAN bertanggungjawab mentadbir negara mengikut perisytiharan darurat yang berkuatkuasa pada 16 Mei 1969 selama 22 bulan bagi menyelenggara segala perkara bersangkutan darurat [30], terutamanya dalam mengkaji sebab-sebab rusuhan 13 Mei berlaku dan berdasarkan laporan rasminya pada 9 Oktober 1969, 13 Mei disebabkan oleh penglibatan PKM dan kongsi-kongsi gelap Cina, perbezaan tafsiran terhadap Perlembagaan oleh orang-orang Melayu, bukan Melayu dan pendatang tertentu berkaitan Artikel 153 (hak istimewa orang-orang Melayu) dan Artikel 152 (Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan rasmi), kewujudan perkara-perkara yang menyemarakan perasaan perkauman semasa kempen pilihanraya, penghinaan kaum, ancaman DAP, perarakan kemenangan Gerakan di Kuala Lumpur serta sikap permusuhan dan perasaan yang tidak seimbang antara kaum (Comber L, 1985). 

Maka, MAGERAN yang diterajui oleh Tun Abdul Razak sebagai Pengarah yang diisytiharkan secara rasmi pada 17 Mei 1969, berfungsi dalam mengembalikan keamanan dan undang-undang negara, menentukan pentadbiran yang licin dan sempurna serta mengembalikan suasanan keharmonian dan kepercayaan antara kaum di seluruh negara.[31] Langsung dalam menjalin kembali perhubungan kaum yang terputus, MAGERAN telah menubuhkan tiga buah institusi, Jabatan Perpaduan Negara, Majlis Muhibah Negara (18 Julai 1969) dan Majlis Perunding Negara (29 Januari 1970) bagi menyusun dan melaksanakan dasar serta aktiviti yang dapat memupuk perpaduan kaum (Comber L, 1985; INTAN, 1991), disamping penubuhan sebuah pejabat Urusetia Hal-Ehwal Awam yang diketuai oleh seorang Pegawai Perkhidmatan Awam Kanan selaku Ketua Hal-Ehwal Awam yang menjalankan tugas atas arahan Tun Abdul Razak melalui Ketua Pegawai Kerja dalam pembentukan dan penelitian semua dasar dan objektif kerajaan supaya selaras dengan semua agensi atau jawatankuasa kerajaan yang lain serta penubuhan Jawatankuasa Gerakan Negeri dan Daerah bagi memastikan perlaksanaan mencapai sasaran yang disifatkan berjaya membawa keamanan dan pembukaan Parlimen baru pada 23 Februari 1971 dibawah kepimpinan Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri ke-2 Malaysia selepas penyerahan surat peletakan jawatan Tunku Abdul Rahman pada 22 September 1970. [32]


2.2.2.2.            Rukun Negara
Keperluan satu panduan yang boleh dijadikan falsafah atau ideologi bagi membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang baru dan maju yang seterusnya dapat memupuk semangat setiakawan membawa kepada pengisytiharaan Rukun Negara sebagai model asas strategi dalam mewujudkan perpaduan kebangsaan pada 31 Ogos 1970 semasa ulangtahun ke-13 kemerdekaan Tanah Melayu oleh Yang di-Pertuan Agong [33] serta dalam masa yang sama untuk memelihara dan melindungi Perlembagaan Persekutuan supaya bangsa Malaysia tidak menjadikannya sebagai sumber perbalahan dan pertelingkahan kaum sehingga menghasilkan polarisasi, permusuhan dan pertumpahan darah, kerana Rukun Negara adalah blueprint yang dapat menentukan perpaduan, pembangunan, kemajuan dan modenisasi negara pada pandangan golongan pragmatis. [34]
“Bahawasanya negara kita Malaysia, mendukung cita-cita hendak mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya.
v  Memelihara cita-cita hendak mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya.
v  Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dinikmati bersama secara adil dan saksama.
v  Menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak.
v  Membina satu masyarakat progresif yang menggunakan sains dan teknologi moden.
Maka kami rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut :
v  Kepercayaan kepada Tuhan
v  Kesetiaan kepada Raja dan Negara
v  Keluruhan Perlembagaan
v  Kedaulatan Undang-undang
v  Kesopanan dan Kesusilaan”  
Pengisytiharaan tersebut turut mendapat sokongan oleh semua parti politik serta diterima baik oleh orang bukan Melayu kerana memberi jaminan terhadap kebudayaan mereka yang tidak akan terancam disebabkan tiada rakyat yang boleh menyoal taat setia rakyat lain hanya kerana daripada sesuatu kaum tertentu.



2.3.     Ketegangan hubungan kerajaan Persekutuan dan kerajaan Singapura


Di kemuncak pembentukan Malaysia, cabaran besar yang dihadapi dalam tempoh masa pembentukan Malaysia ialah apabila berlakunya ketegangan antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan Singapura. Sejak Singapura menyertai gagasan Malaysia, banyak perselisihan dan ketegangan berlaku antara kerajaan Singapura dan kerajaan persekutuan di Kuala Lumpur. Agenda tersendiri serta pelbagai tuntutan Singapura menunjukkan bahawa ketegangan tersebut seperti tidak ada penghujungnya malah ia semakin rumit. Disebabkan perkara ini, Tunku  telah membuat keputusan secara persendirian dengan memisahkan Singapura dari Malaysia. Beliau telah membuat keputusan tersebut semasa mendapatkan rawatan di London. Keengganan Lee Kuan Yew bertolak ansur terhadap kerajaan Malaysia di bawah pemerintahan Tunku menyebabkan Tunku kecewa dengan sikap para pemimpin Singapura. Setelah memikirkan secara mendalam terhadap situasi ini, maka Tunku telah mengambil keputusan dengan memisahkan Singapura dari Malaysia. Bagi Tunku, jika Singapura terus dikekalkan dalam Malaysia, maka ketegangan akan terus berlaku. Maka atas dasar melihat ke depan dan berfikir demi kestabilan politik, sosial dan ekonomi, adalah menjadi kewajaran untuk memisahkan Singapura dari Malaysia. Secara rasminya, pada 9 Ogos 1965, Singapura berpisah dari Malaysia.

2.3.1.             Faktor ketegangan
Ketegangan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan Singapura ini disebabkan oleh beberapa faktor yang akhirnya menyebabkan berlakunya pemisahan kerajaan Singapura dari Malaysia. Antara faktor ketegangan tersebut ialah seperti faktor politik, ekonomi dan sosial.

2.3.1.1.         Perlembagaan
Isi kandungan perlembagaan juga merupakan salah satu faktor yang mendorong kepada ketegangan antara kerajaan Singapura dan kerajaan Persekutuan.[35] Dalam isi kandungan perlembagaan, banyak isu yang berkaitan dengan soal ekonomi dan kewangan. Menurut perjanjian antara Malaysia dan Singapura, Singapura telah diberi kuasa untuk memunggut cukai kastam, cukai eksais dan cukai pendapatan. Dari segi pembahagian kadar hasil kutipan, Singapura menerima 60% hasil manakala kerajaan persekutuan pula menerima 40%. Namun disebabkan persekutuan menanggung beban yang sangat tinggi berbanding Singapura, maka kerajaan persekutuan bercadang untuk mengkaji semula pengagihan tersebut. Selepas kajian semula, kerajaan persekutuan bercadang supaya Singapura menyerahkan hasilnya sebanyak 60% dan menerima 40% hasil sahaja. Semasa berlakunya konfontasi Indonesia, kerajaan persekutuan telah menanggung beban yang sangat tinggi bagi membiayai perbelanjaan pertahanan. Oleh itu, kerajaan perlu mengkaji semula agihan pendapatan bersama Singapura memandangkan Singapura cuma menanggung beban yang sangat ringan.

          Menurut Perjanjian Malaysia, terdapat satu persetujuan yang termaktub iaitu sehingga bulan Disember 1968, kerajaan persekutuan perlu mendapatkan kebenaran kerajaan Singapura sebelum mengenakan sesuatu cukai import yang baru. Namun kebenaran tersebut boleh ditangguhkan sekiranya ia boleh menjejaskan perdagangan bebas Singapura. Ia juga boleh dikaji semula dalam setiap tempoh 2 tahun. Pada bulan Disember 1964, kerajaan persekutuan telah memperkenalkan cukai-cukai baru semasa membentangkan belanjawan 1965. Pengenalan cukai-cukai baru ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati pemimpin-pemimpin Singapura. Kerajaan Singapura telah membantah pengenalan cukai baru tersebut kerana beranggapan bahawa kerajaan persekutuan telah menggubal cukai tanpa berbincang terlebih dahulu dengan kerajaan Singapura. Bantahan demi bantahan ini menimbulkan perasaan kurang senang pemimpin kerajaan persekutuan. Kerajaan Singapura telah mensensasikan isu ini sehingga merosakkan nama negara.

2.3.1.2.         Persaingan antara PAP dan MCA
Parti PAP merupakan parti kaum Cina di Singapura manakala parti MCA pula merupakan parti kaum Cina di Malaysia. [36] Pada 9 September 1963, Lee Kuan Yew telah menyatakan bahawa kegiatan politik PAP hanya bertumpu di Singapura sahaja dan tidak akan bercadang untuk bergiat di Tanah Melayu dalam tempoh 5 tahun selepas penyatuan dengan Tanah Melayu. Namun, PAP tidak mengotakan janjinya apabila menukar hasratnya dengan menyertai pilihanraya umum pada tahun 1964. Tindakan ini dianggap oleh MCA sebagai satu tindakan yang cuba memecahbelakan kaum Cina di Tanah Melayu. Bagi Tunku, parti PAP tidak diperlukan di Tanah Melayu memandangkan parti ini lebih bersifat perkauman. Kebimbangan ini dianggap oleh Tunku sebagai ancaman kepada perpaduan kaum. Perjuangan parti ini yang dilihat seperti “anti-Melayu” yang sering mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu serta kedudukan kaum Cina di Tanah Melayu menunjukkan bahawa parti ini cuba memecahbelahkan hubungan antara parti UMNO dan MCA. Selain itu, terdapat juga kebimbangan apabila kehadiran PAP ini akan menyingkirkan parti MCA yang menjadi parti yang mewakili kaum Cina di Tanah Melayu. Jika perkara ini berlaku sudah pasti ia juga akan menggugat hubungan antara UMNO dan MCA. (Abdul Rahman, 2007).



2.3.1.3.         Masalah Perkauman
Faktor sosial merupakan antara faktor pemangkin yang menyebabkan berlakunya ketegangan antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Singapura. Sepanjang tempoh masa Singapura menyertai Malaysia, banyak percanggahan berlaku antara UMNO dan PAP terutamanya apabila berlaku beberapa insiden di Singapura yang menyebabkan UMNO kurang senang dengan PAP. Setelah Singapura menyertai Malaysia, kaum Melayu di Singapura merasakan bahawa mereka tidak dilayan baik oleh PAP dan mereka sentiasa diabaikan. Ini menyebabkan penduduk kaum Melayu di Singapura kurang senang dengan tindakan parti ini yang seolah-olah hanya membiarkan kaum Melayu begitu sahaja tanpa adanya tindakan untuk memperbaiki kedudukan kaum Melayu di Singapura. Akibat daripada tindakan pemimpin-pemimpin di Singapura, beberapa pertubuhan kaum Melayu di Singapura telah bertemu dengan Tunku bagi membincangkan kedudukan kaum Melayu di Singapura. Syed Jaafar Albar yang pada masa itu sebagai Setiausaha Agung UMNO menyatakan bahawa Lee Kuan Yew cuba memecah belahkan kaum Melayu di Singapura yang menyebabkan terjadinya rusuhan kaum di Singapura. Keadaan ini menyebabkan keadaan di Singapura tidak berapa stabil yang akhirnya UMNO kurang senang dengan cara pentadbiran PAP di Singapura.

          Selain itu, agenda pemimpin Singapura yang sering melaungkan konsep “Malaysia Malaysian” menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan pemimpin UMNO. [37] Hal ini kerana, tindakan pemimpin Singapura ini dilihat seolah-olah cuba membelakangkan institusi beraja dan mencabar kedudukan istimewa kaum Melayu. Bagi mengukuhkan lagi laungan “Malaysia Malaysian”, menjelang Mei 1965, Lee Kuan Yew telah menubuhkan Malaysian Solidarity Convention yang juga merupakan suatu pakatan pembangkang bagi menandingi Parti Perikatan. Dengan slogan A Democratic Malaysia Malaysian, terlihat bagaimana parti PAP begitu bersungguh-sungguh untuk memperjuangkan konsep “Malaysia Malaysian”. [38] Dalam konsep Malaysia Malaysian ini, Lee Kuan Yew memohon supaya diwujudkan suatu persamaan hak bagi semua melalui satu ideologi politik, sosial dan ekonomi yang sama untuk semua kaum. Ini bermakna, melalui konsep Malaysia Malaysian ini, persamaan hak mutlak semua kaum adalah sama dan inilah konsep yang dianggap oleh pemimpin Melayu sebagai konsep yang benar-benar mencabar kedudukan institusi beraja dan kaum Melayu. (Abdul Rahman, 2007).

          Kerajaan Singapura juga dilihat sebagai satu kerajaan yang cuba memporak-peradakan negara apabila menghasut negeri-negeri seperti Sabah dan Sarawak supaya mempersoalkan kedudukan mereka dalam Persekutuan Tanah Melayu. Kerajaan Singapura cuba menghasut negeri-negeri lain dengan meminta mereka mempersoalkan taraf ekonomi, sosial dan politik setelah menyertai gagasan Malaysia. Tindakan Singapura ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi pemimpin Sabah dan Sarawak sehingga mereka bertindak balas. Tunku melihat bahawa senario politik Malaysia ketika itu berada pada suatu fenomena yang bukan lagi pertarungan antara UMNO dan PAP tetapi lebih kepada pertarungan antara kaum Melayu dan bukan Melayu. Parti pembangkang yang terdiri daripada kaum bukan Melayu seolah-olah cuba menentang kerajaan dan bersungguh-sungguh untuk merampas kerajaan.

2.3.2.             Usaha mengatasi ketegangan
Tunku yang ketika itu menjadi Perdana Menteri Malaysia melihat bahawa ketegangan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Singapura telah mencapai satu tahap yang sangat merisaukan. Ketika itu, Tunku merasakan bahawa ketegangan kerajaan Persekutuan dan kerajaan Singapura tidak akan mampu diselesaikan tanpa adanya suatu strategi yang mampu menjaga kestabilan dan keamanan negara. Tindak-tanduk kerajaan Singapura yang dilihat sebagai satu cabaran besar benar-benar menguji ketokohan Tunku. Kerisauan terhadap tindak tanduk kerajaan Singapura ini akhirnya memaksa Tunku untuk memisahkan Singapura dari Persekutuan Malaysia demi menjaga kestabilan negara. Tunku berpendapat bahawa dengan pemisahan ini sahaja maka ketegangan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Singapura dapat diatasi. Oleh itu, usaha ke arah pemisahan Singapura dari Persekutuan Malaysia telah dilakukan.

2.3.2.1.         Pindaan Perlembagaan Malaysia
Pindaan terhadap Perlembagaan Malaysia bertujuan untuk memisahkan kerajaan Singpura dari Malaysia.[39] Semasa mendapatkan rawatan di London, Tunku telah membuat keputusan secara peribadi untuk memisahkan kerajaan Singapura dari Malaysia memandangkan senario politik ketika itu berada dalam keadaan yang tidak stabil. Tunku telah menghubungi dua orang pemimpin dalam kabinet iaitu Tun Abdul Razak dan Dato’ Dr.Ismail bagi memaklumkan tentang hasrat Tunku untuk memisahkan kerajaan Singapura dari Malaysia. Pindaan ini telah dibuat pada 9 Ogos 1965 iaitu setelah ketibaan Tunku di Tanah Melayu. Beliau telah mengumumkan penyingkiran secara rasmi Singapura di Parlimen dan membentangkan rang undang-undang berkaitan pemisahan Singapura. Rang undang-undang ini telah diluluskan dengan 126 perwakilan telah menyokong dan tidak ada sebarang bantahan ataupun berkecuali. Keputusan pemisahan Singapura dari Malaysia telah dibuat tanpa adanya perwakilan dari Singapura dan dengan pemisahan ini, senario politik yang agak kacau bilau ketika itu mampu diredakan. Berikut merupakan antara isi kandungan pindaan Perlembagaan Malaysia yang berkaitan pemisahan kerajaan Singapura dari Malaysia:
“ADALAH DENGAN INI DIPERBUAT UNDANG-UNDANG oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dengan nasihat dan persetujuan Dewan Negara dan Dewan Rakyat dalam Parlimen yang bersidang, dan dengan kuasanya, seperti berikut:
1.    Akta ini boleh dinamakan sebagai Akta Perlembagaan dan Malaysia (Pindaan Singapura), 1965.
2.    Parlimen boleh, melalui Akta ini, membenarkan Singapura meninggalkan Malaysia dan menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat dan negara yang berasingan dan bebas daripada Malaysia.
(Bagi isi kandungan penuh Pindaan Perlembagaan Malaysia berkenaan pemisahan Singapura, sila rujuk lampiran)


2.4.      Konfrantasi Indonesia Malaysia 1963-1966


Kedudukan kedua-dua negara yang berdekatan ini telah melahirkan satu hubungan antara Malaysia dan Indonesia yang baik sebelum ini. Ikatan persamaan dari segi bahasa dan agama dan kedudukan geopolitik juga adalah satu faktor yang mendorong kepada hubungan yang baik ini. Hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia telah tergugat apabila Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku menggumumkan pembentukan negara Malaysia yang menggabungkan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Walaupun Filipina turut menentang penubuhan Malaysia, namun Filipina tidak menggunakan kekerasan tidak seperti Indonesia. [40]

2.4.1.         Latar Belakang Konfrantasi.
Konfrantasi Indonesia terhadap Malaysia mulai serius apabila pemberontakan daripada Brunei gagal. Konfrantasi ini merupakan satu penentangan yang telah diistiharkan oleh Menteri Luar Indonesia, Dr. Subandrio pada 20 Januari 1963 sebagai bantahan terhadap penubuhan Malaysia (Zulhilmi & Asrar Omar, 2003). Konfrantasi Indonesia mula rancak apabila pemberontakan yang dilakukan oleh A.M Azahari di Brunei gagal ( Zainal et al., 1996 ). Pada mulanya, Konfrantasi ini hanya merupakan penentangan daripada segi ekonomi sahaja. Namum ianya terus berubah kepada penentangan melalui gerakan tentera. Sabah dan Sarawak telah diserang oleh tentera-tentera Indonesia sepanjang Konfrantasi tersebut. Semenanjung Malaysia juga turut diserang oleh Indonesia. Hal ini telah menyebabkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia telah terputus. Filipina juga telah memutuskan hubungan diplomatik antara Malaysia dan negaranya atas dasar tuntutan ke atas Sabah. Dr. Subandrio mengatakan bahawa “Konfrantasi menentang Malaysia kerana Malaysia adalah sebagai ‘pengikut setia’ kepada neokolonisme…”  (Zulhilmi & Asrar, 2003).   

          Alasan utama penentangan Indonesia ialah pembentukan Malaysia yang akan menggabungkan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak dalam satu negara yang baru iaitu Malaysia. Terdapat lagi faktor-faktor lain yang mencetuskan kepada Konfrantasi namum pembentukan Malaysia telah mempercepatkan lagi dasar Indonesia ini. Sebelum tahun 1963 lagi hubungan antara Indonesia dengan Kuala Lumpur memang sudah sedia tegang berikutan tuduhan Indonesia yang mengatakan bahawa Kuala Lumpur cuba campur tangan dalam hal ehwal negara Indonesia. Tunku yang cuba menjadi orang tengah dalam persengketaan Indonesia dengan Belanda dalam hal Irian Jaya kurang disenangi oleh Sukarno.

Indonesia juga menuduh Tunku menggunakan seorang pemimpin PRRI (Pemerintah Revolusioner Republik Indonesia) iaitu Sumitro Djojohadikusumo supaya memusuhi Indonesia. PRRI telah melaksanakan pemberontakan antara tahun 1958-1959 di Sumatera dan Sulawesi (Zulhilmi & Asrar, 2003). Indonesia juga telah mendakwa bahawa Tanah Melayu tidak mahu menyerahkan orang-orang yang dikatakan sebagai anggota PRRI yang ditangkap di perairan Persekutuan Tanah Melayu. Bukan itu sahaja, Indonesia turut menuduh pelabuhan Tanah Melayu digunakan oleh anggota PRRI untuk menyeludup bahan-bahan seperti kelapa kering dan getah yang telah menyebabkan kerugian dari segi tukaran luar negara Indonesia. Negara-negara Barat juga telah dikatakan menggunakan pelabuhan di Tanah Melayu sebagai tempat untuk menyalurkan bantuan kepada PRRI dalam pemberontakan mereka (William Stevenson dalam Zulhilmi & Asrar, 2003). Peristiwa-peristiwa yang telah berlaku antara Tanah Melayu dan Indonesia pada awal tahun 60-an telah menjadi bibit dalam Konfrantasi tersebut. Pembentukan Malaysia telah  menjadi pencetus kepada peristiwa ini pada tahun 1963.
           
Penentangan Indonesia adalah desakan daripada PKI (Parti Komunis Indonesia) yang bimbang bahawa sekiranya Malaysia dibentuk, ini akan menyekat perkembangan ideologi komunis di Borneo. Dengan pembentukan Malaysia juga, Sukarno bimbang bangsa Cina di rantau Asia akan bertambah dengan pesat sekali dan ini boleh menggugat kedudukan bangsa Melayu di rantau itu.[41] Sukarno juga berasa tersinggung apabila Tunku tidak berunding dengan beliau terlebih dahulu. Usaha Soekarno untuk membentuk Indonesia Raya juga telah terkubur dengan pembentukan Malaysia tersebut.


Indonesia telah menghantar tentera-tenteranya di Malaysia. Sepanjang 16 September 1963 hingga 19 Jun 1964, gerila-gerila Indonesia yang menggelar diri mereka sebagai sukarelawan telah menceroboh ke wilayah Sabah sebanyak 116 kali dan 61 kali di Sarawak.[42] Indonesia juga telah menceroboh ruang udara Malaysia sehingga memaksa Malaysia untuk meminta bantuan daripada Britain dan Perancis. Pengintip juga telah dihantar masuk ke dalam Malaysia untuk menghasut penduduk tempatan untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia. Banyak sabotaj telah dilakukan ke atas perahu-perahu nelayan Malaysia di Perairan Selat Melaka. Pada 17 Ogos 1964, tentera Indonesia telah mendarat di di Pontian dan pada 2 September 1964 juga pasukan tentera paying terjun Indonesia telah mendarat di Mersing dan Labis, Johor (Zulhilmi & Asrar, 2003). Misi yang cuba dilaksanakan oleh Sukarno telah menemui kegagalan selepas tentera-tentera Indonesia yang mendarat di Malaysia telah mendapati bahawa penduduk Malaysia tidak berada di bawah pentadbiran penjajah seperti yang didakwa oleh Sukarno. Penduduk Malaysia juga melalui kehidupan yang lebih baik daripada penduduk di Indonesia.


2.4.2.         Usaha Mengatasi Konfrantasi Oleh Malaysia
Sebelum Konfrantasi Indonesia berakhir, banyak usaha yang telah dilakukan untuk memulihkan semula hubungan diplomatik kedua-dua negara. Antara usaha yang telah dilaksanakan ialah Sidang Kemuncak antara Presiden Diosdado Macapagal, Presiden Sukarno dan Tunku Abdul Rahman pada 30 Julai 1963 hingga 5 Ogos 1963. Persidangan tersebut diadakan untuk mencari jalan menyelesaikan masalah berkaitan pembentukan Malaysia dan terhasilnya pertubuhan MAPHILINDO.[43] Salah satu tujuan penubuhan MAPHILINDO ialah untuk mencari satu jalan penyelesaian terhadap bantahan pembentukan Malaysia secara aman namun pertubuhan ini telah terbubar selepas penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.

 Malaysia juga telah meminta bantuan daripada pihak antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyekat pencerobohan Indonesia. Dalam persidangan Afro-Asia pula, Tun Abdul Razak cuba mengikis propaganda yang disebarkan oleh Indonesia ke atas Malaysia. Malaysia telah gagal mendapatkan bantuan daripada Amerika Syarikat namun telah mendapat bantuan ketenteraan daripada Negara-negara Komanwel. Sebelum peristiwa Gestapu, terdapat beberapa usaha-usaha sulit yang telah dijalankan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Pada Ogos 1965, pegawai-pegawai tentera Indonesia dan Malaysia telah berunding secara rahsia. Kolonel Ali, pegawai tentera Indonesia telah melakukan lawatan ke Malaysia manakala Ghazali Shafie juga berunding dengan pegawai-pegawai tentera Indonesia yang diketuai oleh Jeneral Nasution di Jakarta.


          Peristiwa Gestapu adalah titik tolak kepada penamatan Konfrantasi Indonesia terhadap Malaysia. Peristiwa Gestapu telah melemahkan pengaruh komunis di Indonesia yang membolehkan Jeneral Suharto merampas kuasa. Sukarno juga semakin kehilangan pengaruh selepas kejadian tersebut. [44] 11 Mac 1966 merupakan peralihan kuasa daripada Sukarno kepada Suharto yang memegang tampuk pemerintahan yang baru. Namun pada 13 Mac 1966, Sukarno tetap mengisytiharkan bahawa dasar Konfrantasi Indonesia terhadap Malaysia tetap akan diteruskan sehingga Malaysia berjaya dihancurkan. Walaubagaimanapun, dasar tersebut mendapat tentangan dalaman di Indonesia sendiri. PSII dan Kesatuan Aksi Mahasiswa Indonesia (KAMI) penentang utama dasar tersebut. Namun pada 23 Mac, Suharto dengan kabinetnya yang baru telah menggumumkan tiga matlamat utama dan salah satunya ialah sedaya-upaya meneruskan Konfrantasi menentang Malaysia. Pertemuan Adam Malik dengan Marshall Green (Duta Amerika Ke Indonesia) telah membuka pintu perdamaian hasil daripada nasihat yang telah diberikan oleh Marshall Green. Duta British di Indonesia, Andrew Gilchrist menyatakan bahawa perjanjian damai hanya boleh dilaksanakan jika Indonesia menghentikan aktiviti konfrantasi. Perlantikan Adam Malik sebagai Menteri Luar Indonesia yang baru telah membuka kepada penamatan konfrantasi.

Perbincangan akhir pada 30 Julai dalam mesuarat KOGAM telah mengesahkan Perjanjian Bangkok oleh Indonesia yang sebelum ini mendapat tentangan daripada pihak Sukarno dan penyokong-penyokongnya. [45] Pada 11 Ogos 1966, Tun Razak telah mewakili Malaysia dan Adam Malik sebagai wakil Indonesia telah menandatagani perjanjian memulihkan hubungan kedua-dua negara dan mengakhiri Konfrantasi.[46] Perjanjian tersebut mengandungi tiga perkara penting iaitu satu pilihanraya bebas akan diadakan bagi menentukan pendirian penduduk Sabah dan Sarawak terhadap kedudukan mereka dalam Malaysia, kedua-dua negara menyatakan persetujuan memulihkan hubungan diplomatik dan pertukaran diplomat antara kedua-dua negara akan dilaksanakan secepat mungkin dan sebarang bentuk permusuhan antara Malaysia dan Indonesia akan ditamatkan.


2.5.      Tuntutan Filipina


Filipina yang diketuai oleh Presiden Diosdado Macapagal telah menentang keras cadangan penubuhan Malaysia kerana percantuman tersebut melibatkan wilayah Sabah (Borneo Utara). Filipina cuba membuat tuntutan kerana Sabah merupakan sebahagian daripada wilayah Kesultanan Sulu dan kesultanan ini pula merupakan sebahagian daripada Filipina juga. Oleh itu kerajaan Filipina membuat kesimpulan bahawa Sabah merupakan sebahagian daripada Filipina. Tuntutan yang dikemukakan Filipina ini sebenarnya hasil daripada desakan beberapa pihak di Filipina agar menuntut hak ke atas Sabah bagi pihak waris Sultan Sulu. Desakan ini sebenarnya didalangi oleh sekumpulan peniaga dibawah pimpinan Osmena yang telah membuat tuntutan awal atas nama waris Sultan Sulu dan kemudiaannya diteruskan oleh kerajaan Filipina. Tuntutan ini telah dijadikan sebagai cabaran oleh kerajaan Tanah Melayu dan juga Tunku Abdul Rahman dalam merialisasikan pembentukan gagasan Malaysia pada peringkat awal perancangan. Berdasarkan daripada beberapa penulis, cabaran daripada pihak Filipina wujud atas alasan Sabah dimasukkan dalam rancangan untuk menjadikan salah sebuah wilayah dalam gagasan Malaysia dan tuntutan rasmi Filipina terhadap Sabah bermula sejak 22 Jun 1962.
           
Filipina juga pernah mengemukakan tuntutan rasmi agar Britain menyerahkan semula Sabah kepada Filipina berdasarkan daripada teks perjanjian 22 Januari 1878 di antara Sultan Sulu dengan Baron Overbeck dan Alfred Dent sebagai langkah untuk menghalang gagasan Malaysia. Berdasarkan daripada perjanjian tersebut, Filipina mendakwa bahawa Sultan Sulu cuma memajak (lease) wilayah Sabah dan bukannya penyerahan wilayah. Sebagai sokongan tambahan, kerajaan Filipina turut merujuk pengisytiharan waris Sultan Sulu, Sultan Ismail Kiram pada 21 Januari 1958 yang membatalkan perjanjian tersebut dengan alasan pihak Syarikat Berpiagam Borneo Utara (SBBU) gagal menjelaskan bayaran tahunan semasa Perang Dunia Kedua meletus. Namun, dakwaan tersebut dinafikan oleh SBBU dengan menyatakan bahawa bayaran telah dimasukkan setiap tahun ke dalam akaun waris Sultan Sulu di London.[47] Selain daripada itu, terdapat beberapa asas lain yang digunakan oleh kerajaan Filipina dalam usaha untuk menghalang pembentukan persekutuan Malaysia seperti Resolusi Macapagal, surat wakil Sultan Sulu 1962 dan keputusan Mahkamah Tinggi Borneo 1939 (Mohd. Isa, 2002).

Sebenarnya, tuntutan yang dibuat oleh kerajaan Filipina adalah secara diplomasi dan tidak melibatkan sebarang kekerasan seperti yang dilakukan oleh kerajaan Indonesia di bawah pimpinan Sukarno. Walaupun halangan dan protes yang dijalankan oleh Filipina cuma berbentuk diplomasi, namun hubungan antara Malaysia-Filipina pernah terputus buat seketika apabila Malaysia diisytiharkan secara rasmi. Bagi mengatasi masalah ini, beberapa siri rundingan di antara Tanah Melayu dengan Filipina serta Indonesia telah diadakan bagi menyelesaikan masalah pertikaian penubuhan gagasan Malaysia.



2.5.1.         Usaha Mengatasi Tuntutan Filipina
2.5.1.1.    Rundingan London 1963

Bagi mengatasi masalah ini, beberapa usaha telah dijalankan khususnya melalui rundingan meja bulat di antara beberapa pihak yang terlibat termasuklah kerajaan British, Filipina, Tanah Melayu dan juga Indonesia. [48] Usaha ini dijalankan bagi mencari jalan keluar kepada persengketaan khususnya yang bersangkutan dengan tuntutan Filipina ke atas Sabah. Usaha pertama yang dijalankan bagi mengatasi masalah tuntutan Filipina ialah dengan mengadakan rundingan dua hala di antara kerajaan Britain-Filipina di mana masing-masing diwakili oleh Setiausaha Luar kedua-dua negara. British diwakili oleh Lord Home, manakala Filipina pula diwakili oleh Emmanuel Pelaez yang juga merangkap Timbalan Presiden ketika itu. Rundingan ini berlangsung di London bermula pada 28 Januari sehingga 1 Februari 1963 (Nik Anuar, 2001).
          Rundingan ini sebenarnya bertujuan untuk membincangkan soal keselamatan dan juga kestabilan rantau Asia Tenggara. Selain itu, rundingan ini juga diharapkan dapat mengekalkan hubungan baik dengan Filipina dan perkara yang paling penting ialah untuk memastikan rancangan gagasan Malaysia berjalan dengan lancar. Ini merupakan salah satu daripada matlamat utama rundingan Britain-Filipina bagi mengatasi masalah tuntutan tersebut. Sepanjang berlangsungnya rundingan tersebut, kerajaan Filipina telah mengemukakan soal pembentukan Malaysia pada sesi pertama rundingan dan mendakwa idea tersebut menjadi pencetus kepada ketegangan seperti kekacauan yang berlaku di Brunei dan juga perbalahan antara Tanah Melayu dengan Indonesia.[49] Bagi menjawab usul yang dibangkitkan oleh Filipina, Britain mengemukakan beberapa bukti yang menunjukkan bahawa Sabah adalah sah di bawah naungan British. Akhirnya, pada sesi akhir rundingan telah mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan isu tuntutan tersebut dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa kecil yang bertanggungjawab untuk meneliti isu tersebut. Bagi kerajaan Britain, jawatankuasa tersebut ditubuhkan untuk menjaga kepentingan politik khususnya politik Filipina. Rundingan tersebut gagal kerana sejak awal lagi kerajaan British telah menolak tuntutan tersebut.[50] Namun, jika dilihat dari sudut yang positif, rundingan tersebut merupakan satu usaha penyelesaian untuk merealisasikan gagasan Malaysia dan usaha ini juga telah meletakkan batu asas kepada usaha-usaha seterusnya dalam mengatasi cabaran ini.


2.5.1.2.    Persidangan Kemuncak Manila 1961
Bagi menyelesaikan masalah isu tuntutan Filipina ke atas Sabah, rundingan tiga hala telah diadakan antara Tanah Melayu, Filipina dan juga Indonesia. Rundingan awal diadakan pada 9 – 17 April 1963 yang diadakan di Manila dan rundingan ini merupakan di antara peringkat pegawai-pegawai kementerian di mana Tanah Melayu diwakili oleh Mohd Ghazali (Setiausaha Tetap Kementerian Luar), Filipina diwakili oleh Salvador P. Lopez (Setiausaha Rendah Hal Ehwal Luar) dan Dr. Suwito Kusumowidagdo (Timbalan Menteri Luar) mewakili Indonesia. Rundingan pada peringkat ini membincangkan cara untuk menyelesaikan masalah bersama seperti kestabilan politik, keselamatan dan pembangunan ekonomi serantau. Selain itu juga, rundingan ini membincangkan usaha untuk merapatkan hubungan di antara ketiga-tiga negara. Sebenarnya, rundingan ini telah membuka jalan kepada persidangan menteri-menteri luar bagi ketiga-tiga negara  pada bulan Jun 1963.

          Rentetan daripada itu, pada 7 – 11 Jun 1963, satu persidangan peringkat menteri telah diadakan di Manila. Ketiga-tiga perwakilan terdiri daripada Tun Abdul Razak (Timbalan Perdana Menteri Tanah Melayu), Emmanuel Palaez (Naib Presiden Filipina) dan Dr. Subandrio (Timbalan Menteri Pertama Indonesia). Melalui persidangan ini, wujud satu keputusan yang dikenali sebagai Persetujuan Manila (Manila  Accord) yang menunjukkan persetujuan kerajaan Filipina dan Indonesia terhadap pembentukan gagasan Malaysia dengan syarat ianya merupakan kemahuan dan disokong oleh penduduk di wilayah Borneo dan disokong oleh Setiausaha Agung PBB pada ketika itu.[51] Melalui persidangan ini, dapat dilihat bahawa keputusan tersebut menunjukkan kejayaan mengatasi masalah tuntutan Filipina ke atas Sabah walaupun ianya bukanlah dianggap sebagai kejayaan mutlak dalam penubuhan Malaysia.

          Berikutan dengan persetujuan persidangan peringkat menteri tersebut, satu persidangan kemuncak telah diadakan di antara ketua-ketua kerajaan termasuklah Tunku, Macapagal dan Sukarno. Persidangan ini bertujuan untuk menyelesaikan pertikaian yang wujud akibat daripada gagasan Malaysia dan juga untuk menyelesaikan isu tuntutan Filipina ke atas Sabah dan persidangan ini telah diadakan di Manila bermula 30 Julai – 5 Ogos 1963. Persidangan ini telah mencapai kata sepakat untuk menerima dan mengesahkan Persetujuan Manila yang telah dicapai semasa persidangan peringkat menteri sebelum itu.[52] Melalui persidangan itu juga, lahir satu pengisytiharan bersama untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang ekonomi, sosial, kebudayaan dan juga politik. Selain itu, persetujuan juga dicapai bagi membentuk satu perikatan di antara ketiga-tiga negara, iaitu MAPHILINDO.


3.0.      PENILAIAN


Gagasan Malaysia yang dicetuskan oleh Tunku merupakan salah satu idea yang dilihat sukar untuk direalisasikan pada ketika itu jika dilihat daripada situasi politik di rantau Asia Tenggara yang masih bergelut dengan pengaruh penjajahan Barat dan idealogi Komunis. Sejurus sahaja Tunku mengumumkan idea pembentukan gagasan Malaysia, timbul beberapa reaksi daripada banyak pihak termasuklah dari Tanah Melayu sendiri, Singapura, wilayah-wilayah di Borneo serta negara-negara jiran khususnya Filipina, Indonesia dan juga Brunei. Ada pihak yang menyatakan sokongan lansung dan ada juga pihak yang menentang kerana idea tersebut dianggap belum lagi relevan untuk berbuat demikian pada masa itu.[53] Terdapat berbagai-bagai andaian yang mengatakan bahawa idea ini sebenarnya bukanlah dicetuskan oleh Tunku kerana sebelum itu sudah wujud rancangan lain untuk membentuk satu penggabungan atau kesatuan di rantau Nusantara yang meliputi Tanah Melayu, Singapura, Indonesia, Filipina dan juga wilayah-wilayah di Borneo. Tambahan pula, sebelum abad ke-20 lagi sudah timbul idea untuk membentuk penggabungan di gugusan ini, namun akibat kurangnya sambutan dan masa yang tidak sesuai, maka usaha tersebut terkubur begitu sahaja.

          Sebenarnya, idea gagasan Malaysia telah dipengaruhi oleh beberapa faktor dan salah satu sebab yang utama adalah disebabkan oleh faktor keselamatan.[54] Pada masa itu, idealogi Komunis semakin merebak di beberapa buah negara di rantau Asia Tenggara termasuklah Vietnam, Filipina, Indonesia, Singapura dan Tanah Melayu sendiri. Oleh itu, bagi mengatasi masalah ini, Tunku selaku ketua kerajaan Tanah Melayu cuba mengambil inisiatif untuk menubuhkan gagasan Malaysia bagi menghalang perkembangan ideologi tersebut. Apabila Tunku bertindak mengumumkan idea gagasan Malaysia secara rasmi, timbul berbagai-bagai reaksi sama ada yang positif ataupun yang negatif yang dianggap sebagai cabaran dalam penubuhan gagasan Malaysia.[55] Cabaran utama yang dihadapai dalam merialisasikan idea ini datangnya dari negara jiran khususnya Filipina dan Indonesia yang akhirnya membawa kepada penentangan secara terbuka dan kekerasan. Walaupun gagasan Malaysia akhirnya berjaya ditubuhkan dengan rasminya pada 16 September 1963, namun penentangan terhadap Malaysia masih lagi diteruskan sehingga penghujung tahun 1960-an. Dapat dilihat bagaimana wujudnya sentimen perkauman dan terputusnya hubungan politik dengan negara-negara jiran adalah bukti jelas yang menunjukkan bahawa usaha yang dikatakan murni ini tidak semestinya diterima dengan mudah oleh semua pihak.[56] Setelah sekian lama dan beberapa usaha dirangka, akhirnya Malaysia dapat diterima secara terbuka oleh semua pihak.
     

4.0       REAKSI NEGARA JIRAN MENGENAI GAGASAN MALAYSIA


4.1       Reaksi Brunei

Dalam pembentukan Malaysia, Brunei pada peringkat awalnya menerima berita tersebut dengan baik. Sultan Brunei ketika itu iaitu Sultan Omar Ali Saifuddin II sangat teruja dengan berita pembentukan Malaysia. Dikatakan baginda sudah lama ingin mengadakan hubungan pandangan budaya dan adat resam yang sama dengan orang Melayu di Tanah Melayu. Begitu juga penduduk Kuala Lumpur yang menanti-nantikan pertambahan dalam ‘keluarga’ Melayu dengan adanya orang Melayu Brunei. [57]Disini jelas bahawa Sultan Omar memang ingin menyertai gagasan Malaysia. Akan tetapi, penentangan berlaku daripada satu parti iaitu Parti Rakyat Brunei[58] yang diketuai oleh A.M Azahari[59]. Pada awalnya, A.M Azahari pernah mengatakan,
“Kita hendaklah merasa yakin bahawa tidak ada udang di sebalik batu di dalam usul itu (Malaysia). Kita harus diyakinkan bahawa usul-usul itu akan menguntungkan kepentingan negara wilayah-wilayah Borneo.” [60]
            Pendirian A.M Azahari tiba-tiba berubah. Beliau dengan partinya telah menentang gagasan Malaysia. Tunku Abdul Rahman dikritik dan didakwa sebagai orang yang bertanggungjawab menjalankan dasar kolonialisme dan menjadi alat kepada kuasa besar. Beliau tidak berhasrat untuk menyertai Persekutuan Malaysia kerana Brunei mempunyai kekayaannya. Menurut beliau juga, menyertai Malaysia akan menyebabkan mereka hilang kuasa dan pengaruh politik ke atas Brunei. [61] Parti Rakyat Brunei yang telah memenangi pilihan raya umum di Brunei pada 30 Ogos 1962 dengan memenangi 32 kerusi tanpa bertanding dan memenangi 22 daripada baki 23 kawasan. Dalam pilihan raya ini, Parti Rakyat Brunei mengalahkan 2 lagi parti pro-Malaysia iaitu Pertubuhan Nasional Brunei dan Parti Bersatu Brunei. [62] Dengan kemenangan ini, Parti Rakyat Brunei telah mencabar kuasa autokrasi sultan, dengan menuntut satu kerajaan yang bertanggungjawab serta kemerdekaan yang segera sebagai asas kepada penyatuan bersama dengan Borneo Utara dan Sarawak. Beliau ingin menubuhkan satu negara yang Kalimantan Utara yang merdeka. [63]
Permintaan ini ditolak oleh Sultan Omar. Menjelang 24 November, A.M Azahari yang berada di Manila, Filipina ketika itu telah mengugut, mengatakan bahawa rakyat Brunei akan ‘menentang’ sekiranya British memaksa Brunei untuk menerima penubuhan Malaysia. [64] Pada 7 Disember 1962 pemberontakan telah berlaku dibawah pimpinan A.M Azahari dengan sokongan tentera komunis, Tentera Nasional Kalimantan Utara. Dalam pemberontakan ini, Presiden Indonesia ketika itu iaitu Presiden Soekarno juga turut memberi sokongan moral . Apabila tentera pemberontak tersebut berjaya menguasai beberapa kawasan penting termasuklah kawasan Syarikat Minyak Shell, Azahari mengumumkan dirinya sebagai ‘Perdana Menteri’ baru kepada Kerajaan Revolusi Kalimantan Utara. [65] Pemberontakan ini berjaya dihentikan dengan bantuan tentera British (Komanwel) dan Gurkha.[66] Selepas itu, Sultan Omar mengisyhtiharkan darurat di mana Parti Rakyat Brunei akhirnya dibubarkan. A.M Azahari telah melarikan diri ke Jakarta. Daripada pemberontakan ini, ia mencetuskan lagi konfrontasi Indonesia terhadap penubuhan Malaysia.
            Pemberontakan berakhir, rundingan Persekutuan Malaysia masih berjalan. Pada akhir-akhir saat rundingan, Sultan Omar tidak bersetuju dengan tuntutan Kuala Lumpur terhadap pendapat Brunei daripada hasil minyak. Ini dibuktikan dengan pernyataan baginda sultan di dalam radio pada 17 Julai. Baginda mengatakan sebab sebenar Brunei enggan untuk menyertai Malaysia adalah kerana soal hasil minyak.[67] Baginda juga tidak gembira terhadap tuntutan persekutuan tersebut keatas perkara berkenaan dengan soal cukai dan posisi baginda di dalam kalangan pemimpin. Menurut Mohd Abu Bakar di dalam bukunya Politik Brunei Menjelang Penubuhan Malaysia (1990), baginda juga beralasan mengatakan bahawa kerajaan Tanah Melayu gagal mematuhi syarat-syarat perjanjian yang pernah dipersetujui oleh kedua belah pihak. [68] Akhirnya, Sultan Omar bertindak untuk tidak menyertai Malaysia.


4.2       Reaksi Indonesia


Penubuhan Malaysia yang ditujukan kepada beberapa pihak telah mendapat pelbagai reaksi. Sudah sedia maklum bahawa Singapura sangat berminat untuk menyertai penubuhan Malaysia. Akan tetapi, wujud penentangan daripada negara jiran seperti Indonesia. Negara tersebut memberi reaksi negatif terhadap idea Tunku Abdul Rahman ini. Semasa berlakunya Revolusi Brunei, Presiden Soekarno dikatakan memberi sokongan terhadap gerakan yang dilakukan oleh Parti Rakyat Brunei. Oleh sebab itu, Tunku Abdul Rahman telah mengutuk Indonesia kerana memberi sokongan kepada pihak pemberontak. [69] Akan tetapi, Presiden Soekarno menafikan pernyataan ini walaupun beliau mengaku bahawa ‘Indonesia bersimpati ke atas penduduk Kalimantan Utara di dalam perjuangan mereka ke arah kemerdekaan’. Setelah itu, Soekarno mendakwa bahawa Gagasan Malaysia sebenarnya merupakan satu agenda untuk menyekat Indonesia dan mengaut hasil mentah Borneo untuk kepentingan kerajaan berbentuk imperial.
            Parti Komunis Indonesia (PKI) yang menyokong pemerintahan Presiden Soekarno telah mendakwa Persekutuan Malaysia pada Disember 1961 sebagai satu bentuk ‘neo-kolonialism’ yang dibentuk untuk meluaskan pengaruh demokrasi dan gerakan patriotik kepada penduduk di 5 kawasan tersebut. [70] PKI seterusnya mengadakan kempen propaganda yang dipercayai akan menggagalkan misi penyatuan tersebut. Setelah berlakunya pemberontakan di Brunei, Indonesia menjadi semakin terbuka mengatakan bantahannya ke atas idea penubuhan Malaysia. Selepas itu, Soekarno dengan secara rasminya menyatakan sokongan beliau kepada pemberontak-pemberontak di Brunei. Bersama-sama Azahari di Manila ketika itu, pegawai-pegawai tertinggi di Jakarta telah berulang-ulang kali mengatakan bahawa ada 100,000 sukarelawan Indonesia yang bersedia untuk menentang penubuhan Malaysia di dalam revolusi tersebut.
            Tidak lama kemudian, Presiden Soekarno mengumumkan satu dasar baru iaitu dasar Konfrontasi ke atas Tanah Melayu. [71] Dasar ini pada peringkat awalnya adalah untuk memutuskan hubungan diplomasi antara Indonesia dan Tanah Melayu, ugutan menyatakan bahawa ada menghuru-harakan Borneo oleh ‘sukarelawan-sukarelawan’, serangan ke atas bot-bot nelayan orang Tanah Melayu di perairan luar negara, dan juga strategi diplomatik yang rumit dirangka untuk memisahkan Tanah Melayu daripada hubungan antarabangsa. Walaupun wujud ugutan sebegini, serangan ke atas bot-bot dan juga pencabulan ruang angkasa Tanah Melayu, kerajaan Persekutuan Tanah Melayu tidak menganggap ini sebagai satu ancaman yang besar. Ini kerana Tanah Melayu mempunyai perjanjian pertahanan dengan Britain dan Tanah Melayu mampu menghubungi bantuan tentera Komanwel untuk sokongan. [72] Berkenaan dengan ugutan ke atas ancaman ekonomi tidak berjaya kerana ini akan melumpuhkan ekonomi Indonesia dan juga Tanah Melayu.
            Salah satu usaha diplomatik untuk menentang penubuhan Malaysia berlaku di Persidangan Perpaduan Afro-Asia (Afro-Asian Solidarity Conference) di Tanganyika, Afrika Timur pada Ferbruari 1963. Persidangan tersebut dikatakan dipengaruhi oleh pihak yang pro-komunis. [73] Ini menyebabkan usul penyatuan Tanah Melayu dan Singapura tidak dibicarakan di persidangan tersebut. Di pihak lain pula, usul berkenaan dengan kerajaan bayangan A.M Azahari iaitu Kalimantan Utara disidangkan. Dua resolusi anti-Malaysia telah diluluskan tanpa perbahasan, memberi laluan kepada sisa-sisa komunis Cina dan propaganda-propaganda yang hendak disampaikan oleh Indonesia.
            Setelah Malaysia berjaya ditubuhkan pada 16 September 1963, Indonesia sekali lagi menyatakan rasa tidak puas hatinya kepada perkara tersebut. Hal ini kerana, jelas hasrat Presiden Soekarno untuk meluaskan Indonesia dengan menyatukan Sarawak dan Sabah telah gagal. Dengan ini, Indonesia menjalankan kempen ‘Ganyang Malaysia’ dan melakukan gerakan secara radikal dengan menyerang sempadan di Sarawak  dan Sabah melalui laluan di Kalimantan. [74]Serangan seperti pengeboman dan serangan pengganas dilakukan oleh pengkhianat-pengkhianat yang menyelusup masuk secara senyap-senyap ke dalam Malaysia.

4.3       Reaksi Filipina


Isu yang disentuh oleh Presiden Macapagal selaku Presiden Filipina ketika itu ialah pendakwaan bahawa Sabah ialah sebahagian daripada milik negaranya. Sekiranya pembentukan Malaysia diteruskan, maka proses tuntutan hak milik Filipina terhadap Sabah akan terganggu dan lebih sulit. Walaupun setelah pungutan suara telah dibuat oleh Suruhanjaya Cobbold dan ternyata majoriti rakyat wilayah Sabah sendiri memilih untuk menyertai Malaysia, kerajaan Filipina terus membantah keputusan itu. Seterusnya, tindakan drastik yang diambil oleh Filipina sebagai bantahan keputusan tersebut ialah memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Tuntutan ini berdasarkan perjanjian yang ditandatangani pada 22 Januari 1878 antara Sultan Sulu Sultan Jamalul Alam dengan Baron Von Overbeck yang kemudiannya menjual kepada Alfred Dent. Syarikat Alfred kemudiannya mendapat Piagam DiRaja British. Pada tahun 1881 bertukar nama kepada Syarikat Berpiagam Borneo Utara (SBBU-SBUB). Pada tahun 1946 SBBU menyerahkan Sabah kepada kerajaan British dan ditamatkan oleh waris Sultan Sulu iatu Sultan Esmail Kiram pada 22 Januari 1958.

Pada bulan Jun 1966, Kerajaan Filipina telah mengiktiraf penubuhan Malaysia menerusi usaha memulihkan hubungan dalam keanggotaan MAPHILINDO (Malaysia-Filipina-Indonesia). Walau bagaimanapun isu tuntutan Sulu ke atas Sabah muncul kembali pada tahun 2013 apabila berlaku pencerobohan tentera Diraja Sulu atas restu Sultan Esmail Kiram di Kampung Tanduo (Dalam Felda Sahabat 17), Lahad Datu, Sabah. Ertinya biarpun kerajaan Filipina telah mengiktiraf penubuhan Malaysia pada tahun 1966, tetapi Kesultanan Sulu masih menuntut ketuanan mereka ke atas Sabah berdasarkan dokumen 1958.











5.0       RUMUSAN ISU DAN CABARAN GAGASAN MALAYSIA



Tarikh 16 September 1963 adalah detik bersejarah buat negara ini. Ia menjadi realiti kepada gagasan Malaysia yang dicadangkan oleh Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj yang diiktiraf dan diperakukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai sebuah negara berdaulat. Idea gagasan Malaysia ini dilontarkan oleh Tunku Abdul Rahman pada 27 Mei 1961. Gagasan Malaysia berjaya menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak dalam satu unit politik yang dikenali sebagai Persekutuan Malaysia.

Walaupun, idea penggabungan wilayah pernah dikemukakan oleh Lord Brassey, Pengarah Syarikat Borneo Utara pada 1887 yang mencadangkan kepada British untuk menggabungkan Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak dengan negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat tetapi tidak menjadi realiti. Demikian juga cadangan serupa yang pernah disuarakan oleh Tun Ghazali Shafie pada 1954 dan Tan Cheng Lock pada 1955.Tunku sebelum mencadangkan penubuhan yang lebih besar pernah menyuarakan cadangan penggabungan Singapura, Sarawak, Sabah dan Brunei. Cadangan itu dikemukakannya dalam persidangan UMNO 1955. Pada 1959, Lee Kuan Yew pula cuba mempengaruhi pihak British untuk menggabungkan Singapura dengan Tanah Melayu. Namun, cadangan itu ditolak Tunku kerana bimbang berlakunya ketidaksamaan atau ketidakseimbangan penduduk. Gagasan Malaysia yang dicadangkan Tunku pada 1961 itu didorong oleh beberapa faktor merangkumi politik, keselamatan, sosial dan ekonomi.

Faktor politik adalah berkaitan usaha menyekat ideologi komunis di Singapura, Sabah dan Sarawak. Ideologi komunis ini sekali gus membawa ancaman kepada keselamatan wilayah terbabit. Komunis menggunakan pendekatan keganasan untuk mencapai hasrat mereka menguasai negeri-negeri terbabit. Faktor ekonomi pula merujuk kepada tujuan memperluas pasaran serta mewujudkan kerjasama serantau dalam bidang ekonomi.

Sementara itu, faktor sosial adalah untuk mengimbangi komposisi kaum, mewujudkan perpaduan kaum, memajukan negeri yang belum membangun, khususnya Sabah dan Sarawak serta melahirkan satu bangsa yang kaya warisan kebudayaan. Selain faktor tersebut, British pula sedang menjalankan dasar dekolonisasi untuk merdekakan tanah jajahan. Untuk menyegerakan kemerdekaan Singapura, Sabah dan Sarawak, British melihat gagasan yang dikemukakan Tunku itu adalah cara terbaik untuk mencapai hasrat tersebut.

Tunku sendiri memulakan lawatan ke Sabah, Sarawak dan Brunei untuk menerangkan konsep dan tujuan penubuhan Malaysia. Perundingan juga diadakan antara pegawai kanan Persekutuan Tanah Melayu dengan Pegawai-pegawai British dari Sarawak, Sabah dan Singapura yang telah membawa kepada pembentukan Jawatankuasa Perunding Perpaduan Kaum (JPPK) di Singapura pada Jun 1961. Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Donald Stephan dari Sabah dan mengadakan empat kali mesyuarat. Brunei hanya menghantar pemerhatinya menghadiri tiga mesyuarat terakhir. Akhirnya, dalam mesyuarat terakhir di Singapura, ahli-ahli bersepakat mengemukakan satu memorandum kepada Suruhanjaya Cobbold. Suruhanjaya Cobbold ditubuhkan oleh kerajaan British pada 17 Januari 1962 bertujuan meninjau pendapat sebenar penduduk di Sabah dan Sarawak mengenai cadangkan menggabungkan kedua-dua negeri itu ke dalam Malaysia.

Suruhanjaya itu mendapati lebih 80 peratus penduduk Sabah dan Sarawak menyokong gagasan Malaysia. Selain itu, suruhanjaya terbabit turut mencadangkan Perlembagaan Malaysia yang baru mestilah berasaskan Perlembagaan Tanah Melayu 1957. Bahasa Melayu juga dicadangkan menjadi Bahasa Kebangsaan, jaminan terhadap hak dan kedudukan Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kedua-dua negeri itu diberikan kuasa menentukan dasar imigresen masing-masing. Suruhanjaya berkenaan turut mencadangkan pemberian nama ‘Malaysia’ kepada negara baru yang akan dibentuk dan juga penentuan tarikh penubuhan Malaysia. Sebenarnya nama ‘Malaysia’ telah digunakan sejak 1800an lagi dengan merujuk kepada peta yang dibuat oleh Alexander Keith Johnston pada 1845 bertajuk ‘South Eastern Peninsula and Malaysia’.

Penubuhan Malaysia bukanlah sesuatu yang mudah. Ia melalui ranjau dan duri, tumpahan air mata dan darah. Walaupun ramai yang menyokong, namun wujudnya pelbagai anasir yang cuba mempengaruhi rakyat supaya menentang gagasan Malaysia. Cabaran-cabaran getir yang dilalui itu turut melibatkan ancaman terhadap kedaulatan negara yang datang dari dalam dan luar negara.

Di dalam negara, idea pengintegrasian wilayah yang besar mendapat reaksi yang pelbagai daripada parti-parti politik serta penduduk Tanah Melayu dan Singapura. Pas lebih cenderung untuk menerima gagasan Maphilindo dan mendesak supaya isu ini dibincangkan terlebih dahulu. Namun, setelah memahami manfaatnya Pas akhirnya menerima idea gagasan Malaysia. UMNO pula sejak awal-awal lagi bersetuju. Di Singapura, Barisan Sosialis yang berhaluan kiri (dipengaruhi komunis) menentang keras gagasan Malaysia dan menganggapnya sebagai neokolonialisme.

Lee Kuan Yew yang bersetuju dengan idea Tunku itu sangat bimbang dengan pengaruh parti Barisan Sosialis yang semakin berpengaruh di Singapura ketika itu. Jika perjuangan parti sosialis itu berhasil maka ia kejayaan buat komunis. Justeru, untuk mendapatkan reaksi rakyat Singapura maka satu referendum umum rakyat Singapura mengenai penubuhan Malaysia diadakan pada 1 September 1962. Keputusan yang diperoleh ialah majoriti menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan Singapura untuk membuat keputusan mengenai penggabungan itu.

Di Brunei pula tercetus pemberontakan rakyat pada 8 Disember 1962. Mereka membangkitkan isu-isu mengenai kedaulatan Sultan Brunei, isu minyak dan bayaran tahunan. Rakyat Brunei berpendapat penyatuan akan memudaratkan negara dan menggugat kemakmuran Brunei. Cabaran paling getir datang dari Filipina dan Indonesia yang kuat menentang gagasan Malaysia. Presiden Macapagal membuat pengumuman menuntut hak terhadap Sabah (1962) berdasarkan perjanjian Sultan Jamalul Alam dengan Baron Overbeck. Indonesia di bawah kepimpinan Sukarno pula melihat gagasan Malaysia itu sebagai satu bentuk neokolonisme. Indonesia mengisytiharkan Konfrontasi pada 20 Januari 1963. Slogan ‘Ganyang Malaysia’ telah mencabar kedaulatan negara kerana Indonesia berhasrat menakluki Tanah Melayu.

Oleh sebab kerasnya tentangan kedua-dua negara itu mendorong PBB menghantar satu misi ke Borneo untuk meninjau dan melaporkan pandangan rakyat Sabah dan Sarawak mengenai penubuhan Malaysia. Misi itu mendapati majoriti penduduk di Borneo menyokong gagasan Malaysia. Akhirnya, setelah melalui pelbagai cabaran getir, penubuhan Malaysia dapat direalisasikan dan Perjanjian Malaysia telah ditandatangani pada 9 Julai 1963 di pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House. Pengisytiharan Malaysia dibuat pada 16 September 1963 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, dan Sabah. Selain Tunku Abdul Rahman, tiga lagi pemimpin utama dari tiga negeri baru turut hadir iaitu Lee Kuan Yew ((Singapura), Donald Stephens (Sabah) dan Stephens Kalong Ningkan (Sarawak). Pada 9 Ogos 1965, atas faktor-faktor tertentu Singapura mengambil keputusan keluar daripada Malaysia dan menubuhkan negara republik.

Penubuhan Malaysia membawa pelbagai nikmat dan manfaat kepada negara tercinta ini. Antaranya mempercepat kemerdekaan bagi Singapura, Sabah dan Sarawak. Ancaman komunis di Singapura, Sabah dan Sarawak dapat dibendung dan diatasi. Hakikatnya, penubuhan Malaysia adalah pembinaan satu ‘keluarga besar Malaysia’ yang dalam satu wilayah geopolitik, iaitu Persekutuan Malaysia yang mendukung cogan kata yang terkandung dalam Jata Negara, iaitu ‘Bersekutu Bertambah Mutu’.

6.0      KESIMPULAN


Secara keseluruhannya dapat dilihat bahawa gagasan Malaysia secara jelas telah menerima banyak cabaran di awal pembentukannya sehinggalah beberapa tahun selepas pengisytiharan Malaysia secara rasmi. Kebanyakan daripada cabaran-cabaran tersebut berjaya diatasi sama ada melalui kaedah diplomasi atau pun tindakan ketenteraan. Tidak dinafikan bahawa Tunku Abdul Rahaman telah memainkan peranan penting dalam menghadapi segala cabaran demi merialisasikan idea gagasan Malaysia. Peranan yang dimainkan oleh Tunku, kerajaan Tanah Melayu, Singapura dan juga kerajaan British akhirnya membuahkan hasil yang sangat diharapkan dan perkara yang paling penting ialah keamanan yang dikecapai sehingga hari ini.