Tuesday, April 7, 2020

CABARAN PENUBUHAN PERSEKUTUAN MALAYSIA


1.0  PENGENALAN
1.0.1      GAGASAN MALAYSIA

Setelah Tanah Melayu merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957, secara rasminya Tanah Melayu menjadi sebuah negara yang bakal membangun dengan sendirinya tanpa ada campur tangan lagi dari pihak British, khususnya. Tanah Melayu yang sudah sedia maklumnya stabil dari segi ekonominya mampu untuk bertahan dan membangun.
Malaya today as a nation realises that she cannot stand alone and in isolation. Outside of international politics the national one must be broad-based. Sooner or later she should have an understanding with Britain and the peoples of Singapore , Borneo, Brunei and Sarawak. It is premature for me to say now how this closer understanding can be brought about but is inevitable that we should look ahead to this objective and think of a plan whereby these territories can be brought closer together in a political and economic cooperation’.[1]
Kata-kata di atas diucapkan oleh Perdana Menteri Tanah Melayu yang pertama iaitu, Tunku Abdul Rahman Putra Al- Haj pada 27 Mei 1961. Kata-kata ini memberi bayangan bahawa wujud satu hasrat untuk membawa Singapura, Sarawak, Borneo Utara (Sabah) dan Brunei menjadi satu persekutuan dan menjadi satu negara. Maka muncullah gagasan penubuhan Malaysia. Sebelum ini, idea yang mirip dengan gagasan Malaysia ini sudah dinyatakan sebelum Perang Dunia Kedua lagi. Ibrahim Haji Yaacob yang memimpin Kesatuan Melayu Muda pernah bercita-cita untuk wilayah di kepulauan Melayu dengan konsep Indonesia Raya atau Melayu Raya.[2] Malah pada 30 November 1945 dalam Kongres Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), satu resolusi telah dibangkitkan iaitu “Malaya adalah sebahagian daripada Indonesia Raya dan Merah Putih (Sang Saka Putih bendera Indonesia) adalah bendera PKMM.[3]
Selain cadangan parti-parti berhaluan kiri, pegawai-pegawai British sendiri pernah menyatakan cadangan untuk penyatuan wilayah Tanah Melayu dan juga Borneo. Pada abad ke-19, Lord Brassey yang merupakan pengarah Syarikat Borneo Utara mencadangkan supaya kerajaan British menggabungkan Borneo dan Tanah Melayu untuk membentuk satu tanah jajahan yang besar. Namun begitu, cadangan ini ditolak oleh pemegang saham syarikat tersebut pada tahun 1894.[4] Selain Lord Brassey, Sir Malcom MacDonald juga mencadangkan perkara yang sama.  Di Singapura, Singaproe Progressive Party telah menyatakan idea untuk penyatuan ini pada 1947. Dato’ Onn yang mengetuai Parti Negara pernah mencadangkan nama ‘Malaysia’ sebagai nama bagi Persekutuan Tanah Melayu. [5]

Daripada pernyataan di atas, ternyata bahawa ramai pihak ingin menyatukan Tanah Melayu dengan Singapura, Sarawak, Borneo Utara dan Brunei. Meskipun terdapat tentangan, Tunku Abdul Rahman teguh dengan pendirian beliau untuk merealisasikan cita-cita ini. Di Singapura, People’s Action Party (PAP) yang diketuai oleh seorang peguam bernama Lee Kuan Yew telah memenangi pilihan raya 1959. Daripada kemenangan ini, Lee Kuan Yew memfokuskan kepada dua objektif utama iaitu industrialisasi dan penggabungan dengan Tanah Melayu. [6] Dengan slogan ‘Kemerdekaan melalui Penggabungan’, Lee Kuan Yew membawa impiannya untuk disuntik di dalam jiwa rakyat penyokongnya. Ini agak sukar kerana menurut PAP, Singapura ibarat kepulauan Cina di dalam lautan Islam, di kelilingi oleh bangsa Indonesia dan Melayu yang sangat mencurigai gerakan parti berhaluan kiri Cina seperti mereka.
Di Tanah Melayu, penggabungan tidak disokong oleh UMNO, walaupun Tunku Abdul Rahman menyokongnya. Faktor kebimbangan penduduk Tanah Melayu adalah ketidakseimbangan kaum, di mana apabila Singapura bersatu dengan Tanah Melayu. Apabila berlaku ketidakseimbangan kaum, kemungkinan corak politik akan cenderung kepada majoriti kaum yang ada iaitu Cina. Cina kemungkinan akan dipengaruhi oleh PAP yang corak politiknya berhaluan kiri. [7]
Kajian yang dilakukan oleh Noordin Sopiee menyatakan bahawa ramai pengkaji setuju bahawa faktor utama penubuhan Malaysia adalah kerana ancaman komunis. Dikhuatiri bahawa PAP akan berpecah dan akhirnya dikuasai parti komunis. Pada 29 April 1961, kerajaan PAP yang memerintah telah mengalami kekalahan bagi kawasan Hong Lim yang merupakan kawasan yang penting. Daripada kekalahan tersebut, sokongan terhadap PAP jelas berkurangan. Ahli-ahli PAP yang hilang kepercayaan terhadap parti tersebut berpecah dan membentuk Barisan Sosialis.[8] Ini membimbangkan Tunku Abdul Rahman. Akan tetapi Perdana Menteri Singapura Berjaya memujuk beliau dengan alasan bahawa Singapura mungkin akan lebih merbahaya jika ia berada di luar Malaysia.
Untuk menyelesaikan masalah ketidakseimbangan kaum, idea menggabungkan Sarawak, Borneo Utara dan Brunei adalah jalan terbaik. Dengan kemasukan Sarawak, Borneo Utara dan Brunei ke dalam gagasan Malaysia, kedudukan orang Melayu dari segi kekuatan politik akan meningkat. [9]

2.0  CABARAN PENUBUHAN MALAYSIA
2.0.1 Reaksi Brunei
            Dalam pembentukan Malaysia, Brunei pada peringkat awalnya menerima berita tersebut dengan baik. Sultan Brunei ketika itu iaitu Sultan Omar Ali Saifuddin II sangat teruja dengan berita pembentukan Malaysia. Dikatakan baginda sudah lama ingin mengadakan hubungan pandangan budaya dan adat resam yang sama dengan orang Melayu di Tanah Melayu. Begitu juga penduduk Kuala Lumpur yang menanti-nantikan pertambahan dalam ‘keluarga’ Melayu dengan adanya orang Melayu Brunei. [10]Disini jelas bahawa Sultan Omar memang ingin menyertai gagasan Malaysia. Akan tetapi, penentangan berlaku daripada satu parti iaitu Parti Rakyat Brunei[11] yang diketuai oleh A.M Azahari[12]. Pada awalnya, A.M Azahari pernah mengatakan,
“Kita hendaklah merasa yakin bahawa tidak ada udang di sebalik batu di dalam usul itu (Malaysia). Kita harus diyakinkan bahawa usul-usul itu akan menguntungkan kepentingan negara wilayah-wilayah Borneo.” [13]
            Pendirian A.M Azahari tiba-tiba berubah. Beliau dengan partinya telah menentang gagasan Malaysia. Tunku Abdul Rahman dikritik dan didakwa sebagai orang yang bertanggungjawab menjalankan dasar kolonialisme dan menjadi alat kepada kuasa besar. Beliau tidak berhasrat untuk menyertai Persekutuan Malaysia kerana Brunei mempunyai kekayaannya. Menurut beliau juga, menyertai Malaysia akan menyebabkan mereka hilang kuasa dan pengaruh politik ke atas Brunei. [14] Parti Rakyat Brunei yang telah memenangi pilihan raya umum di Brunei pada 30 Ogos 1962 dengan memenangi 32 kerusi tanpa bertanding dan memenangi 22 daripada baki 23 kawasan. Dalam pilihan raya ini, Parti Rakyat Brunei mengalahkan 2 lagi parti pro-Malaysia iaitu Pertubuhan Nasional Brunei dan Parti Bersatu Brunei. [15] Dengan kemenangan ini, Parti Rakyat Brunei telah mencabar kuasa autokrasi sultan, dengan menuntut satu kerajaan yang bertanggungjawab serta kemerdekaan yang segera sebagai asas kepada penyatuan bersama dengan Borneo Utara dan Sarawak. Beliau ingin menubuhkan satu negara yang Kalimantan Utara yang merdeka. [16]
Permintaan ini ditolak oleh Sultan Omar. Menjelang 24 November, A.M Azahari yang berada di Manila, Filipina ketika itu telah mengugut, mengatakan bahawa rakyat Brunei akan ‘menentang’ sekiranya British memaksa Brunei untuk menerima penubuhan Malaysia. [17] Pada 7 Disember 1962 pemberontakan telah berlaku dibawah pimpinan A.M Azahari dengan sokongan tentera komunis, Tentera Nasional Kalimantan Utara. Dalam pemberontakan ini, Presiden Indonesia ketika itu iaitu Presiden Soekarno juga turut memberi sokongan moral . Apabila tentera pemberontak tersebut berjaya menguasai beberapa kawasan penting termasuklah kawasan Syarikat Minyak Shell, Azahari mengumumkan dirinya sebagai ‘Perdana Menteri’ baru kepada Kerajaan Revolusi Kalimantan Utara. [18] Pemberontakan ini berjaya dihentikan dengan bantuan tentera British (Komanwel) dan Gurkha.[19] Selepas itu, Sultan Omar mengisyhtiharkan darurat di mana Parti Rakyat Brunei akhirnya dibubarkan. A.M Azahari telah melarikan diri ke Jakarta. Daripada pemberontakan ini, ia mencetuskan lagi konfrontasi Indonesia terhadap penubuhan Malaysia.
            Pemberontakan berakhir, rundingan Persekutuan Malaysia masih berjalan. Pada akhir-akhir saat rundingan, Sultan Omar tidak bersetuju dengan tuntutan Kuala Lumpur terhadap pendapat Brunei daripada hasil minyak. Ini dibuktikan dengan pernyataan baginda sultan di dalam radio pada 17 Julai. Baginda mengatakan sebab sebenar Brunei enggan untuk menyertai Malaysia adalah kerana soal hasil minyak.[20] Baginda juga tidak gembira terhadap tuntutan persekutuan tersebut keatas perkara berkenaan dengan soal cukai dan posisi baginda di dalam kalangan pemimpin. Menurut Mohd Abu Bakar di dalam bukunya Politik Brunei Menjelang Penubuhan Malaysia (1990), baginda juga beralasan mengatakan bahawa kerajaan Tanah Melayu gagal mematuhi syarat-syarat perjanjian yang pernah dipersetujui oleh kedua belah pihak. [21] Akhirnya, Sultan Omar bertindak untuk tidak menyertai Malaysia.

2.0.2 Reaksi Indonesia
            Penubuhan Malaysia yang ditujukan kepada beberapa pihak telah mendapat pelbagai reaksi. Sudah sedia maklum bahawa Singapura sangat berminat untuk menyertai penubuhan Malaysia. Akan tetapi, wujud penentangan daripada negara jiran seperti Indonesia. Negara tersebut memberi reaksi negatif terhadap idea Tunku Abdul Rahman ini. Semasa berlakunya Revolusi Brunei, Presiden Soekarno dikatakan memberi sokongan terhadap gerakan yang dilakukan oleh Parti Rakyat Brunei. Oleh sebab itu, Tunku Abdul Rahman telah mengutuk Indonesia kerana memberi sokongan kepada pihak pemberontak. [22] Akan tetapi, Presiden Soekarno menafikan pernyataan ini walaupun beliau mengaku bahawa ‘Indonesia bersimpati ke atas penduduk Kalimantan Utara di dalam perjuangan mereka ke arah kemerdekaan’. Setelah itu, Soekarno mendakwa bahawa Gagasan Malaysia sebenarnya merupakan satu agenda untuk menyekat Indonesia dan mengaut hasil mentah Borneo untuk kepentingan kerajaan berbentuk imperial.
            Parti Komunis Indonesia (PKI) yang menyokong pemerintahan Presiden Soekarno telah mendakwa Persekutuan Malaysia pada Disember 1961 sebagai satu bentuk ‘neo-kolonialism’ yang dibentuk untuk meluaskan pengaruh demokrasi dan gerakan patriotik kepada penduduk di 5 kawasan tersebut. [23] PKI seterusnya mengadakan kempen propaganda yang dipercayai akan menggagalkan misi penyatuan tersebut. Setelah berlakunya pemberontakan di Brunei, Indonesia menjadi semakin terbuka mengatakan bantahannya ke atas idea penubuhan Malaysia. Selepas itu, Soekarno dengan secara rasminya menyatakan sokongan beliau kepada pemberontak-pemberontak di Brunei. Bersama-sama Azahari di Manila ketika itu, pegawai-pegawai tertinggi di Jakarta telah berulang-ulang kali mengatakan bahawa ada 100,000 sukarelawan Indonesia yang bersedia untuk menentang penubuhan Malaysia di dalam revolusi tersebut.
            Tidak lama kemudian, Presiden Soekarno mengumumkan satu dasar baru iaitu dasar Konfrontasi ke atas Tanah Melayu. [24] Dasar ini pada peringkat awalnya adalah untuk memutuskan hubungan diplomasi antara Indonesia dan Tanah Melayu, ugutan menyatakan bahawa ada menghuru-harakan Borneo oleh ‘sukarelawan-sukarelawan’, serangan ke atas bot-bot nelayan orang Tanah Melayu di perairan luar negara, dan juga strategi diplomatik yang rumit dirangka untuk memisahkan Tanah Melayu daripada hubungan antarabangsa. Walaupun wujud ugutan sebegini, serangan ke atas bot-bot dan juga pencabulan ruang angkasa Tanah Melayu, kerajaan Persekutuan Tanah Melayu tidak menganggap ini sebagai satu ancaman yang besar. Ini kerana Tanah Melayu mempunyai perjanjian pertahanan dengan Britain dan Tanah Melayu mampu menghubungi bantuan tentera Komanwel untuk sokongan. [25] Berkenaan dengan ugutan ke atas ancaman ekonomi tidak berjaya kerana ini akan melumpuhkan ekonomi Indonesia dan juga Tanah Melayu.
            Salah satu usaha diplomatik untuk menentang penubuhan Malaysia berlaku di Persidangan Perpaduan Afro-Asia (Afro-Asian Solidarity Conference) di Tanganyika, Afrika Timur pada Ferbruari 1963. Persidangan tersebut dikatakan dipengaruhi oleh pihak yang pro-komunis. [26] Ini menyebabkan usul penyatuan Tanah Melayu dan Singapura tidak dibicarakan di persidangan tersebut. Di pihak lain pula, usul berkenaan dengan kerajaan bayangan A.M Azahari iaitu Kalimantan Utara disidangkan. Dua resolusi anti-Malaysia telah diluluskan tanpa perbahasan, memberi laluan kepada sisa-sisa komunis Cina dan propaganda-propaganda yang hendak disampaikan oleh Indonesia.
            Setelah Malaysia berjaya ditubuhkan pada 16 September 1963, Indonesia sekali lagi menyatakan rasa tidak puas hatinya kepada perkara tersebut. Hal ini kerana, jelas hasrat Presiden Soekarno untuk meluaskan Indonesia dengan menyatukan Sarawak dan Sabah telah gagal. Dengan ini, Indonesia menjalankan kempen ‘Ganyang Malaysia’ dan melakukan gerakan secara radikal dengan menyerang sempadan di Sarawak  dan Sabah melalui laluan di Kalimantan. [27]Serangan seperti pengeboman dan serangan pengganas dilakukan oleh pengkhianat-pengkhianat yang menyelusup masuk secara senyap-senyap ke dalam Malaysia.


[1] Petikan ucapan Tunku Abdul Rahman di Singapura semasa Foreign Correspondents’ Association of South-East Asia. Gullick, J.M. , Malaysia (New York: Frederick A. Praeger, Publishers, 1969) hlm 173
[2] Kassim Thukiman, Malaysia Perspektif Sejarah Dan Politik (Johor Darul Ta’zim: Universiti Teknologi Malaysia, 2002) hlm 173
[3] Ismail Bin Said, Sejarah Malaysia Moden (1945-1969) (Selangor Darul Ehsan: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd. , 2012) hlm 92
[4] Milne, R.S. dan Mauzy, Diane K. , Politik Dan Kerajaan di Malaysia (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982) hlm 71-72
[5] Ismail Bin Said, Sejarah Malaysia Moden (1945-1969) (Selangor Darul Ehsan: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd. , 2012) hlm 92
[6] Tregonning, K.G. , Malaysia (Canberra: F. W. Cheshire Pty. Ltd. , 1964) hlm 39
[7] Milne, R.S. dan Mauzy, Diane K. , Politik Dan Kerajaan di Malaysia (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982) hlm 72
[8] Milne, R.S. dan Mauzy, Diane K. , Politik Dan Kerajaan di Malaysia (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982) hlm 72
[9] Ismail Bin Said, Sejarah Malaysia Moden (1945-1969) (Selangor Darul Ehsan: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd. , 2012) hlm 94
[10] Turnbull, C. Mary, A History of Malaysia, Singapore and Brunei (Sydney: Allen & Unwin Australia Pty Ltd, 1989) hlm 255
[11] Parti Rakyat Brunei ditubuhkan pada 22 Januari 1956 dan dipimpin oleh A.M Azahari sehingga pembubarannya
[12] Sheikh A.M Azahari dikatakan seorang anti-kolonial dan beliau sangat memusuhi pihak British. Beliau pernah terlibat dengan peperangan ke atas pihak Belanda di Indonesia bersama-sama orang Indonesia di penghujung Perang Dunia ke- 2. Edmonds, I.G. , The New Malaysia (New York: The Bobbs-Merrill Company, Inc, 1973) hlm 94
[13] Kassim Thukiman, Malaysia: Perspektif, Sejarah dan Politik (Johor Darul Ta’zim: Universiti Teknologi Malaysia, 2002) hlm 176
[14] Mohamed Noordin Sopiee, From Malayan Union To Singapore Separation – Political Unification In The Malaysia Region 1945- 65 (Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya Sdn. Bhd. , 1974) hlm 172
[15]  Mohamed Noordin Sopiee, From Malayan Union To Singapore Separation – Political Unification In The Malaysia Region 1945- 65 (Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya Sdn. Bhd. , 1974) hlm 173                                           
[16] Bastin, John dan Winks, Robin W. , Malaysia Selected Historical Readings (London: Oxford University Press, 1966) hlm 423
[17] Mohamed Noordin Sopiee, From Malayan Union To Singapore Separation – Political Unification In The Malaysia Region 1945- 65 (Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya Sdn. Bhd. , 1974) hlm 175
[18] Edmonds, I.G. , The New Malaysia (New York: The Bobbs-Merrill Company, Inc. , 1973) hlm 94
[19] Turnbull, C. Mary, A History of Malaysia, Singapore and Brunei (Sydney: Allen & Unwin Australia Pty Ltd, 1989) hlm 256
[20] Mohamed Noordin Sopiee, From Malayan Union To Singapore Separation – Political Unification In The Malaysia Region 1945- 65 (Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya Sdn. Bhd. , 1974) hlm 180
[21] Kassim Thukiman, Malaysia: Perspektif, Sejarah dan Politik (Johor Darul Ta’zim: Universiti Teknologi Malaysia, 2002) hlm 177

[22] Edmonds, I.G. , The New Malaysia (New York: The Bobbs-Merrill Company, Inc. , 1973) hlm 95
[23] Means, Gordon P. , Malaysian Politics (London: Hodder And Stoughton Limited. , 1976) hlm 314
[24] Di dalam sesetengah buku mengatakan dasar ini diumumkan oleh oleh Perdana Menteri Indonesia iaitu Dr Subandrio.
[25] Andaya, Barbara Watson dan Andaya, Leonard Y. , A History of Malaysia Second Edition (Hampshire: Palgrave Publishers Ltd, 2001) hlm 286
[26] Means, Gordon P. , Malaysian Politics (London: Hodder And Stoughton Limited. , 1976) hlm 314

[27] Andaya, Barbara Watson dan Andaya, Leonard Y. , A History of Malaysia Second Edition (Hampshire: Palgrave Publishers Ltd, 2001) hlm 287

No comments:

Post a Comment