Tuesday, April 7, 2020

KONSEP, MATLAMAT DAN DASAR PENDIDIKAN INKLUSIF (Peranan Guru Aliran Perdana)


PENDAHULUAN

Perkataan inklusif ini diambil daripada perkataan inggeris Inklusif yang memberikan maksud “merangumi”. Menurut Zaleha Tambi Adam (1997), maksud inklusif secara umumnya adalah mengintegrasikan murid-murid berkeperluan khas ke dalam bilik darjah biasa, supaya mereka berpeluang menikmati segala kemudahan belajar dalam keadaan normal seperti murid-murid lain tanpa mengira status dan kekurangan. KPM melaksanakan pendidikan khas di Sekolah Khas, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Program Pendidikan Inklusif (PPI) di sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan pada peringkat pra-sekolah, rendah, menengah dan lepas menengah.
Di peringkat pendidikan antarabangsa, konsep pendidikan inklusif telah diletakkan sebagai asas dalam melaksanakan “Pendidikan Untuk Semua”. Aspirasi pendidikan inklusif ini juga telah dikongsi oleh pakar pendidikan dan profesional yang terlibat dalam menyediakan perkhidmatan pendidikan khas seperti mana yang digariskan dalam deklarasi antarabangsa seperti Salamanca Statement (1994), Dakar Wold Education Forum (2000), dan Convention on the Rights of Persons with Disabilities (UN, 2006). Berdasarkan kenyataan di atas, jelas menunjukkan bahawa setiap murid termasuk murid berkeperluan khas (MBK) adalah istimewa, mempunyai kepelbagaian kebolehan dan mempunyai hak yang sama rata bagi mendapatkan akses pendidikan yang berkualiti di semua sekolah. Sehubungan itu, usaha yang komited, terancang dan berterusan perlu dilakukan di semua peringkat KPM.

            Pendidikan Inklusif adalah satu wahana bagi menyedia akses dan peluang pendidikan kepada murid berkeperluan khas. Pada peringkat permulaan, Pendidikan Insklusif ini dilaksanakan mengikut acuan sendiri di sekolah-sekolah tertentu sahaja yang melibatkan murid kurang upaya fizikal dan murid bermasalah penglihatan. Walau bagaimanapun, pada masa kini Pendidikan Inklusif ini diperluas kepada semua kategori murid berkeperluan khas yang mampu mengikuti kurikulum kebangsaan. Pelaksanaan Pendidikan Inklusif mengambil kira dasar dalam dan luar negara, konsep Pendidikan Inklusif, definisi operasi yang digunakan, matlamat, objektif dan pelaksanaan Pendidikan Inklusif secara menyeluruh.



TUGASAN 1: PENULISAN ESEI

Kemukakan Hujah Bagaimana Guru Aliran Perdana Dapat Merealisasikan Konsep, Matlamat dan Dasar Pendidikan Inklusif Di Sekolah.

Pendidikan Inklusif bukanlah satu perkara baru di Malaysia. Yang baru hanyalah istilahnya, dan istilah inilah yang telah mengelirukan kita semua. Pada masa dahulu istilah "Program Percantuman’ atau ‘Integrated’ telah digunakan. Negara Malaysia telahpun mengamalkannya sejak tahun 1962 lagi (Zaleha Tambi Adam, 1997). Murid yang mempunyai masalah penglihatan, masalah pendengaran, kesukaran bertutur, masalah pembelajaran adalah antara mereka yang boleh dikategorikan sebagai murid berkeperluan khas.

            Terdapat dua jenis program inklusif iaitu inklusif penuh dimana murid berkeperluan khasbelajar secara sepenuh masa bersama-sama murid arus perdana. MBK mengikuti pembelajaran bagi semua mata pelajaran akademik berasaskan kurikulum kebangsaan atau kurikulum kebangsaan yang diubahsuai dengan bantuan atau tanpa bantuan perkhidmatan sokongan. Seterusnya adalah program inklusif separa iaitu murid berkeperluan khas belajar bersama-sama murid arus perdana bagi mata pelajaran akademik atau aktiviti koakademik atau aktiviti kokurikulum tertentu sahaja mengikut keupayaan mereka. MBK yang mengikuti inklusif separa bagi mata pelajaran akademik adalah berasaskan kurikulum  kebangsaan  atau  kurikulum kebangsaan yang diubahsuai dengan sedikit atau tanpa bantuan perkhidmatan sokongan. Inklusif separa bagi aktiviti koakademik atau kokurikulum adalah berdasarkan potensi, bakat dan keupayaan mereka.


            Konsep Pendidikan Inklusif adalah dilaksanakan secara menyeluruh dengan penglibatan semua pihak dari peringkat sekolah hingga ke komuniti Abdul Rahim Selamat (2010). Model Pendidikan Inklusif merangkumi bidang akademik dan bukan akademik dengan menyediakan khidmat sokongan di dalam atau di luar bilik darjah. Penekanan ini diberikan bagi membolehkan murid berkeperluan khas mengikuti bidang akademik dan bukan akademik bersama-sama murid arus perdana. Oleh yang demikian, guru aliran perdana perlu menulis Rancangan Pengajaran Harian (RPH) seperti biasa dengan memasukkan keperluan pengajaran khusus murid berkeperluan khas untuk memastikan murid dapat menjalankan pembelajaran dalam bidang akademik. Selain daripada itu, guru aliran perdana juga mesti membuat penulisan Rancangan Pendidikan Individu (RPI) bagi murid berkeperluan khas. Ianya dibuat bagi memastikan keperluan intervensi yang bersesuaian dapat dilaksanakan dalam bilik darjah. Guru aliran perdana perlu bekerjasama dengan guru pendidikan khas untuk merancang pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang sesuai mengikut tahap kognitif murid dan bekerjasama berkaitan dengan masalah tingkah laku murid terlibat.

            Sehubungan dengan itu, menurut Abdul Rahim Selamat (2010), guru aliran perdana juga perlu melibatkan pihak sokongan lain seperti meminta khidmat bimbingan dan kaunseling daripada pakar atau guru kaunseling kepada murid berkeperluan khas dan menyediakan laporan tentang khidmat kaunseling untuk murid berkeperluan khas (jika perlu). Guru juga memerlukan pihak sokogan lain untuk menjayakan program pendidikan inklusif seperti penglibatan ibu bapa. Guru aliran perdana perlu berhubunga dengan ibu bapa bagi melaporkan perkembangan anak mereka sekaligus meminta khidmat ibu bapa bagi memberikan bimbingan yang sewajarnya kepada anak mereka. Guru aliran perdana juga perlu bekerjasama dengan guru disiplin untuk menyediakan laporan dan maklumat mengenai disiplin murid yang terlibat. Hal ini adalah untuk membantu pentadbir melancarkan pelaksanaan Program Pendidikan Inklusif. Kecekapan guru aliran perdana dalam memastikan pihak sokongan ini terlibat sama sememangnya mampu melancarkan kemenjadian murid dibawah satu program pendidikan inklusif.

            Pelaksanaan program inklusif selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, dilihat mampu meningkatkan akses pendidikan bagi murid berkeperluan khas agar mampu bersaing dengan murid lain dalam kelas sama di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan. Ianya juga menjadi platform bagi memastikan hasrat kerajaan itu bukan sekadar direalisasikan malah berterusan dengan jayanya. Sikap guru aliran perdana yang yang tidak jemu mempelbagaikan pendekatan bagi memastikan murid terlibat dapat memahami pembelajaran dengan lebih berkesan khususnya membabitkan murid berkeperluan khas disleksia, sehingga yang mampu membawa diri mereka bergaul bersama pelajar arus perdana di peringkat sekolah menengah tanpa sebarang masalah sesuai dengan matlamat yang diutarakan oleh Pendidikan Inklusif adalah untuk meningkatkan penyertaan dan memberi peluang kepada murid berkeperluan khas mengikuti program akademik dan bukan akademik bersama-sama murid di arus perdana. Pendidikan Inklusif juga memberi kesedaran kepada guru aliran perdana supaya tidak menafikan potensi murid berkeperluan khas dan percaya bahawa ketidakupayaan mereka boleh diminimakan jika diberi peluang yang sama. Dengan ini, motivasi murid berkeperluan khas akan meningkat dan memberi impak kepada proses pembelajaran murid.

            Merujuk kepada dasar program pendidikan inklusif, dalam Pelan Pembangunan Pendidikan (2013-2025) menyatakan bahawa Kementerian beriltizam menggalakkan lebih ramai murid berkeperluan khas ke dalam program pendidikan inklusif dan meningkatkan kualiti penyediaannya secara keseluruhan. Ini menunjukkan komitmen KPM dalam memperkasa pelaksanaan program pendidikan inklusif secara terancang dan berfokus. Manakala, deklarasi antarabangsa juga menyatakan bahawa program pendidikan Inskusif merupakan satu pendekatan pendidikan yang terbaik bagi murid berkeperluan khas. Ini merupakan antara dasar Pendidikan Inklusif. Antara deklarasi tersebut adalah seperti berikut:

Salamanca Statement and Framework for Action on Special Needs Education (UNESCO 1994):
“Regular schools with an inclusive orientation are the most effective means of combating discriminatory attitudes, creating welcoming communities, building an inclusive society and achieving education for all.......”

            Kenyataan Salamanca (1994) di atas mendukung prinsip Pendidikan Untuk Semua (EFA) yang menyokong bahawa kanak-kanak berkeperluan khas mempunyai hak mendapat pendidikan yang sama rata dengan rakan-rakan mereka dalam Pendidikan Inklusif.  Dengan kata lain, semua kanak-kanak,  sama  ada  mempunyai  keperluan  khas  atau  tidak, sepatutnya  belajar  bersama  di  dalam  kelas  yang  sama. Tiada diskriminasi guru dalam sesi pembelajaran melibatkan murid berkeperluan khas, memainkan peranan penting memastikan murid berkenaan tidak merasa wujud perbezaan dengan rakan-rakan sebaya di kelas arus perdana. Berdasarkan kepada dasar ini, pendidikan inklusif juga merupakan kaedah terbaik dalam menentang sikap diskriminasi guru aliran perdana terhadap murid. Guru aliran perdana berusaha mempelbagaikan aktiviti dalam pembelajaran seperti pembelajaran koperatif yang melibatkan aktiviti berkumpulan supaya murid dapat berinteraksi dengan murid lain di dalam kelas aliran perdana.

            Kesimpulannya, terdapat banyak peranan guru aliran perdana untuk merealisasikan konsep, matlamat dan dasar program inklusif. Kelas inklusif yang berjaya adalah apabila guru biasa dan guru Pendidikan Khas perlu memberi penekanan terhadap komunikasi semua guru yang terlibat dalam program ini mesti bersikap jujur dan terbuka dalam menangani segala masalah dan peranan yang timbul. Guru-guru aliran yang terlibat dalam kelas inklusif hendaklah bersedia untuk menghadapi sebarang rintangan dan halangan yang mendatang. Mereka juga perlu belajar untuk berkompromi dan juga membuat sesuatu yang berlainan sama sekali daripada yang dirancangkan. Disamping itu juga guru kelas biasa dan guru kelas Pendidikan Khas perlu bekerjasama dan menerima kanak-kanak berpendidikan khas yang mempunyai berbagai-bagai perbezaan individu. Pelaksanaan Pendidikan Inklusif memerlukan kerjasama semua pihak agar keberkesanan program yang dilaksanakan dapat dihasilkan. Pendidikan Inklusif memberi peluang ke arah pemantapan sistem pendidikan untuk golongan bekeperluan khas di Negara kita sekaligus mengangkat martabat pendidikan Malaysia dipersada dunia.
           













RUJUKAN

Abdul Rahim Selamat. (2010). Strategi-strategi bagi pelaksanaan   Pendidikan Inklusif. Bengkel Kebangsaan Pertama Pendidikan   Inklusif. Seaview Hotel Langkawi.
Dyson, A. & Millward, A. (2000). Schools and Special Need: Issues of        Innovation and Inclusion. London: SAGE Publications Inc.

Kamariah Jalil. ( 2009 ). Ke Arah Peluang Yang Sama Dan Penyertaaan    Sepenuhnya. Kertas Kerja Pendidikan Inklusif: Pendidikan Untuk           Semua. Primula Beach Resort, Terengganu

Nik Khairun Nisa Abu Bakar. (2004). Kelas Inklusif : Kesediaan,      kesesuaian dan keberkesanan program bagi murid PKBK SK Taman Sri Mawar. Prosiding Seminar Kajian Tindakan Guru-guru Negeri Sembilan Darul Khusus kali kedua. m.s 83-86.

Salamanca, R.M. (1994). Special Education on Contemparary Society. (2nd          Ed). USA: Thomson Wadsworth.

Supiah Saad. 2010. Komitmen dan Peranan Guru dalam Pelaksanaan       Pendekatan Pendidikan Inklusif di Malaysia. Jabatan Pendidikan            Khas,   Kementerian Pelajaran Malaysia.

Supiah Saad (2003). Malaysian Preschool Children with ADHD in Inclusive           Settings. PhD thesis. University of Warwick.

UNESCO. (1980). Literacy 1972-1976. Progress achieved in literacy         throughout the world. Paris: UNESCO.

Zaleha Tambi Adam. (1997). Pelaksanaan Program Pendidikan Inklusif     Kanak-kanak Khas Bermasalah Pembelajaran di sebuah sekolah       di Kuala Lumpur. Tesis Masters yang tidak diterbitkan, Kuala             Lumpur: Universiti Malaya.

1 comment: