Saturday, February 3, 2018

CABARAN MENGEKALKAN MALAYSIA SEBAGAI SEBUAH NEGARA YANG BERDAULAT & IMPAK TERHADAP PERPADUAN DAN MASA DEPAN NEGARA

CABARAN MENGEKALKAN MALAYSIA SEBAGAI SEBUAH NEGARA BERDAULAT DAN IMPAK TERHADAP PERPADUAN DAN MASA DEPAN NEGARA

1.1       Sosial
1.1.1    Sistem pendidikan pelbagai aliran
Menurut Haris Md. Jadi (1990), pendidikan pelbagai aliran iaitu aliran Inggeris, Melayu, Cina dan India telah lama wujud sebelum kita mencapai kemerdekaan lagi. Apabila kita melihat kembali sejarah, sistem pendidikan kebangsaan di Tanah Melayu belum lagi wujud sehinggalah Penyata Razak 1956 dibentuk. Contohnya, sekolah Melayu hanya tertumpu kepada pendidikan agama di sekolah pondok. Pendidikan sekolah rendah pula ditubuhkan oleh kerajaan British bagi membolehkan orang Melayu tahu membaca, menulis dan mengira sahaja. Bagi masyarakat Cina, mereka telah menggunakan kurikulum, buku teks dan guru-guru yang diimport dari negeri China. Bagi kaum India pula, sekolah-sekolah Tamil telah didirikan di estet-estet berhampiran tempat mereka bekerja. Sekolah Tamil ini berasaskan kurikulum dan buku teks yang diimport dari India Selatan. Malah, sekolah aliran Inggeris yang dibina oleh mubaligh-mubaligh Kristian dan Inggeris di kawasan-kawasan bandar  mendapat sambutan yang baik daripada kalangan penduduk bandar sama ada kaum Melayu, Cina dan India. Oleh itu, setiap kaum mempunyai sistem pendidikan yang tersendiri. Sistem persekolahan yang memisahkan pelajar mengikut bahasa ibunda masing-masing dan perbezaan etnik kurang memainkan peranan yang berkesan bagi memupuk integrasi dan persefahaman dalam kalangan pelajar. Hal ini menyebabkan interaksi mereka hanya terhad di antara etnik yang sama sahaja. Kesan bagi hubungan etnik ini hanya memberikan impak yang negatif kepada pemupukan perpaduan kaum.

            Semua etnik masing-masing mempertahankan bahasa ibunda mereka dan tidak mengambil tahu bahasa ibunda kaum yang lain. Ini adalah mereka akan menganggap adalah tidak wajar dan tidak penting untuk mempelajari bahasa kaum yang lain. Di samping itu, adalah menjadi satu kewajipan di mana setiap sekolah mengamalkan sistem pendidikan yang berbeza. Ianya akan memberikan kesan yang kurang baik kepada penstrukturan negara kerana mempunyai corak pendidikan yang berbeza. Tidak dilupakan juga bahawa golongan yang menuntut di sekolah itu juga akan terlahirnya para pemimpin untuk memerintah negara Malaysia pada satu masa kelak. Sekiranya pemikiran mereka hanya disogok dengan etnik mereka sahaja, sudah pasti Malaysia tidak akan berada dalam keadaan yang sejahtera. Bakal pemimpin negara ini juga akan mengalami kesukaran untuk mendapatkan kata sepakat daripada rakyatnya yang terdiri daripada etnik yang berbeza.

1.1.2    Pemisahan  fizikal
Pemisahan fizikal ini berlaku kerana dasar yang diperkenalkan oleh British iaitu ‘‘pecah dan perintah’’ ketika menjajah Malaysia. Kesannya orang Melayu ditempatkan di kawasan pedalaman menjadi petani, orang Cina di kawasan lombong dan bandar, dan orang India di estet menjadi buruh ladang getah. Ketiga-tiga kaum ini bukan sahaja terpisah dari segi lokasi tempat tinggal tetapi juga jenis perkerjaan yang dilakukan. Keadaan ini telah mengurangkan interaksi dan pergaulan sesama mereka. Malah pemisahan fizikal disebabkan keadaan geografi di Sabah dan Sarawak yang terpisah oleh Laut China Selatan memberi kesan kepada pemupukan perpaduan di Malaysia. Hal ini telah menimbulkan perasaan kekitaan atau etnosentrisme iaitu satu pandangan yang melihat kelompok etnik mengikut kaca mata etnik itu sendiri.

            Malah, tahap kefahaman yang rendah tentang cara hidup dan budaya kaum yang lain menyebabkan kita kurang menghargai kaum yang berlainan daripada kita. Sikap lebih mengagungkan bangsa sendiri menjadi duri dalam daging permasalahan kaum di negara ini. Oleh kerana itulah berlaku isu perkauman yang mengundang kepada permusuhan kaum. Tragedi berdarah 13 Mei 1969 telah menjadi persengketaan antara kaum yang telah mengorbankan banyak nyawa. Peristiwa ini sewajarnya dijadikan pengajaran dan diambil sebagai iktibar. Sebagai contoh, kebanyakan penduduk di Semenanjung Malaysia kurang memahami cara hidup dan budaya masyarakat di Sabah dan Sarawak.  Contohnya dari segi budaya, keagamaan mahupun adat resam. Perkara sebegini mungkin berlaku jika kita hanya mementingkan etnik diri sendiri sahaja. Oleh itu, bagi menangani cabaran ini setiap anggota masyarakat di Malaysia haruslah berganding bahu dalam memujudkan jalinan hubungan yang erat antara etnik. Dengan ini, mereka akan memahami budaya masyarakat yang pelbagai kaum termasuk Sabah dan Sarawak. Maka, pastinya amat sukar sekali Malaysia untuk menjadi negara yang lebih maju sekiranya masyarakatnya terpisah dari sudut fizikal dan terasing dari arus pemodenan negara.

1.1.3    Agama dan budaya
Jika diteliti, setiap kaum yang terdapat di Malaysia dikatakan mewakili agama masing-masing contohnya Melayu beragama Islam, Cina beragama Buddha, India beragama Hindu, Iban dan Kadazan beragama Kristian. Amatlah jelas ketiga-tiga kaum utama di Malaysia mempunyai adat resam, bahasa, agama dan falsafah hidup yang berbeza. Kaum ini masing-masing menganggap dan merasakan kebudayaan dan agama mereka adalah yang terbaik. Walaupun adakalanya berlaku perkahwinan campur antara kaum tetapi ia adalah agak terhad kerana wujud tembok yang kuat dari segi agama dan adat etnik masing-masing.  Perbezaan dan pengasingan agama, budaya dan cara hidup ini bukan sahaja menguatkan lagi sikap prasangka buruk antara masyarakat malah menghalang proses integrasi sosial antara kaum. Bukan itu sahaja, kebanyakkan masyarakat di Malaysia lebih cenderung untuk tinggal di sesuatu kawasan yang terdiri dari penduduk yang sama kaum. Contohnya penduduk Bugis lebih tertumpu di daerah Tawau.  Kaum Cina juga tertumpu di sekitar Sibu di Sarawak dan Bajau di daerah Kota Marudu. Keadaan ini berlaku kerana mereka merasa lebih selamat, aman dan selesa menetap  bersama penduduk-penduduk yang sama kaum dengan mereka. Perkara ini pasti mewujudkan ketidakselesaan apabila mereka melihat budaya yang sebelum ini belum pernah disaksikan oleh mereka. golongan etnik-etnik ini tentunya sukar untuk menerimanya dan tidak mungkin akan menerima apa-apa perubahan walhal ianya memberikan banyak faedah dalam kehidupan seharian mereka.


1.2       Politik
1.2.1    Politik perkauman
Kepelbagaian kaum yang wujud menyebabkan masyarakat masing-masing menubuhkan persatuan dan parti politik yang berasaskan kepada kaum masing-masing. Oleh kerana setiap parti bebas menyuarakan pendapat dan isi hati, semangat perkauman semakin menyemarak dalam diri masyarakat di Malaysia. Menurut Mardiana Nordin dan Hasnah Husiin (2004), alasan parti politik ini ditubuhkan mengikut kaum adalah untuk mengelakkan kaum itu ditindas oleh kaum lain. Hakikatnya, keadaan inilah yang sebenarnya akan lebih menimbulkan konflik tentang sesuatu isu yang dibangkitkan.  Perjuangan mereka lebih mementingkan pembelaan kaum masing-masing melebihi kepentingan negara. Manakala krisis nilai dan akhlak yang membelenggu personaliti ahli-ahli politik masa kini juga mengakibatkan berlakunya perselisihan kaum yang menyumbang kepada perpecahan.

            Perkara ini berlaku disebabkan kegagalan kita dalam melahirkan pelapis pemimpin negara yang menghormati dan memahami kaum lain. Malah, ada dalam kalangan ahli politik yang cetek ilmu pengetahuan tentang sejarah di Malaysia mempertikaikan kuasa Raja-raja Melayu dan status kedudukan orang-orang Melayu.  Isu-isu ini bagaikan mencurahkan minyak ke dalam bara api kerana ia boleh membangkitkan api kemarahan orang-orang Melayu dan boleh mencetuskan pertumpahan darah di negara ini. Selain itu, semangat setia akan negara Malaysia juga tidak lagi wujud di kalangan etnik kerana masing-masing pasti ingin menaburkan bakti pada negara mereka sendiri.Hal ini bukan hanya berpunca daripada sikap kaum itu sendiri yang ego dan mementingkan kaum serta gagal untuk menerima perubahan yang terdapat dalam dasar pendidikan. Sebagai contohnya, perlaksanaan dasar bahasa kebangsaan dan sekolah integrasi yang ditentang hebat oleh pelbagai kaum tanpa memikirkan kebaikan dan tujuan murni kerajaan untuk melahirkan generasi yang memahami dan peka terhadap kaum lain.  Corak politik yang sebegini akan menyumbang kepada perpecahan dan pertelingkahan dikalangan ahli-ahli politik dan para penyokongnya, seterusnya akan menghalang berlakunya perpaduan kaum di Malaysia.


1.3       Ekonomi
1.3.1    Dominasi sektor ekonomi
Menurut Mohd Amin Hassan (1992), terdapat dua perkara dari aspek ekonomi yang perlu dilihat.  Pertama ialah penguasaan ekonomi dan yang kedua ialah perbezaan pekerjaan berdasarkan sektor ekonomi. Pertama, penguasaan ekonomi memperlihatkan jurang yang luas bagi setiap etnik. Majoriti kaum Melayu menguasai sektor pertanian yang memerlukan banyak tenaga sumber manusia dan tahap teknologi yang rendah. Kaum cina yang umumnya menguasai perniagaan, perdagangan dan menggunakan teknologi moden. Manakala, kaum India pula banyak terlibat dengan perladangan di estet getah dan kelapa sawit. Kenyataan di sini sudah membolehkan kita membuat satu kesimpulan iaitu terdapatnya jurang pendapatan yang begitu ketara dan tidak seimbang dalam ekonomi negara Malaysia.  Semua golongan etnik sentiasa mencuba untuk bersaing dalam ekonomi ini untuk berusaha mendapatkan hak dan keuntungan yang lebih besar.


Penguasaan ekonomi yang berbeza serta jurang pendapatan yang tidak seimbang mengakibatkan ketidakstabilan dalam masyarakat majmuk.  Perkara ini memberi implikasi terhadap ketidakpuasan hati bagi semua golongan etnik terutamanya kaum Melayu yang terlibat dalam sektor pertanian. Kaum India juga berdepan dengan nasib yang sama di mana harga getah dan kelapa sawit adalah berlandaskan kepada keadaan ekonomi di dunia. Jika harga meningkat, maka, pulangannya tentu baik dan sebaliknya juga akan berlaku. Golongan etnik Cina pula akan terus mencari peluang-peluang keemasan dalam perniagaan dan mereka dapat hidup dalam hidup yang cukup mewah. Akan tetapi, mereka pasti berasa tidak puas hati yang di mana kebanyakan lubang perniagaan banyak diutamakan kepada kaum Bumiputera atau Melayu. Sudah tentu timbulnya persoalan di lubuk pemikiran mereka di mana hak mereka sedangkan selama ini mereka banyak menyumbang kepada ekonomi negara. Isu-isu sebegini merupakan perkara yang boleh menyebabkan negara kita bergolak. Justeru itu, di dalam Rancangan Malaysia Kedua ada menyatakan  perpaduan negara tidak akan tercapai sehinggalah wujud kesaksamaan dan keseimbangan yang lebih besar dalam kalangan kumpulan etnik di Malaysia melalui penyertaan mereka dalam membangunkan negara dan perkongsian manfaat hasil daripada pemodenan dan pertumbuhan ekonomi.  Perpaduan negara juga tidak boleh disemai sekiranya sebahagian penduduknya kekal miskin dan peluang pekerjaan yang tidak produktif. Fenomena kemiskinan ini bukan sahaja ada di kawasan bandar tetapi juga luar bandar. Keadaan ini boleh menggugat perpaduan negara kerana isu kemiskinan hanya terbelenggu dalam kelompok kaum etnik yang tertentu sahaja.

SEJARAH PENDIDIKAN VERNAKULAR DI MALAYSIA

1.0       PENGENALAN

Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai etnik yang berbeza dari segi kepercayaan, budaya dan bahasa. Kepelbagaian latar belakang menjadi cabaran setiap kaum di negara ini khususnya Melayu, Cina, India dan bumiputra. Perbezaan ini sememangnya menyukarkan para pemimpin untuk memacu pembangunan negara. Oleh itu, suatu formula yang jitu dan ampuh perlu diwujudkan dalam mencapai perpaduan dan integrasi semua etnik menjadi satu bangsa Malaysia yang bersatu. Justeru itu, aspek pendidikan telah dijadikan salah satu wadah atau saluran utama kerajaan untuk mencapai perpaduan dan integrasi kaum di Malaysia. Pendidikan di Malaysia telah dijadikan salah satu sistem sosial yang paling penting bagi perkembangan dan kemajuan Negara. Oleh itu, perancangan yang rapi, teratur dan terperinci telah dibuat untuk mencapai misi dan matlamat tersebut.

Bagi setiap negara yang sudah mengecapi kemerdekaan, salah satu aspek penting yang harus dititikberatkan dalam usaha untuk memacu negara yang maju dan membangun dari aspek politik, ekonomi dan sosial ialah penekanan terhadap perlaksanaan sistem pendidikan negara. Sistem pendidikan yang dilaksanakan di dalam sesebuah negara, penting bukan sahaja kerana fungsi kebajikan dan sosialisasinya iaitu di mana kanak – kanak dididik untuk menjadi insan yang berjaya dan mengenali sosiobudaya serta alam sekeliling, tetapi juga boleh digunakan sebagai wadah untuk menyampaikan ideologi kebangsaan kepada masyarakat iaitu melalui penerapan tentang kefahaman serta nilai – nilai positif untuk perpaduan kaum di kalangan para pelajar.

2.0       Sejarah Pendidikan Vernakular di Malaysia
Kerajaan British pada awalnya tidak berniatpun memajukan bidang pendidikan semasa memerintah Tanah Melayu. Ramai pegawai British berpendapat bahawa pendidikan terutamanya untuk orang Melayu tidak mendatangkan faedah namun sebaliknya akan menimbulkan kesedaran pada golongan terdidik untuk menentang kerajaan. Walaubagaimanapun, atas desakan pembesar Melayu iaitu Sultan di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, pihak pemerintah British merasakan ada baiknya memberikan pendidikan setakat pendidikan rendah untuk orang Melayu. Oleh yang demikian, kerajaan British telah membina secara beransur-ansur sekolah rendah vernakular Melayu sejak pertengahan abad ke-19 sehinggalah berlaku Perang Dunia Kedua.

Vernakular bermaksud ‘‘bahasa pengantar bahasa ibunda’’. Dasar British yang memberikan kelonggaran dalam hal penubuhan sekolah telah menyebabkan penubuhan sekolah Inggeris oleh pendakwah Kristian, sekolah vernakular Cina oleh masyarakat Cina dan sekolah vernakular Tamil oleh pemilik ladang kopi dan getah. Justeru itu, sudah sememangnya ciri utama pendidikan pada zaman pemerintahan British ialah  ketiadaan matlamat dan objektif dalam bidang pendidikan. Seterusnya perkara ini menimbulkan ketidakseragaman dalam orientasi dan kurikulum pendidikan yang seterusnya menimbulkan masalah yang rumit khususnya dari segi perpaduan kaum, apabila negara ini ingin mencapai kemerdekaan.

2.1       Sekolah Melayu
Pada mulanya sekolah Melayu ditubuhkan di Negeri-negeri Selat atas usaha Blundell, Gabenor Negeri-negeri Selat. Sekolah-sekolah ini diberikan bantuan kewangan oleh kerajaan British. Sekolah pertama yang ditubuhkan ialah di Teluk Belanga di Singapura, ini diikuti oleh sekolah-sekolah lain di Melaka dan juga di Pulau Pinang. Tetapi, sekolah-sekolah ini tidak mendapat sambutan daripada ibu bapa Melayu. Untuk menggalakkan anak-anak Melayu Bersekolah, A.M. Skinner mengubahsuai sekolah-sekolah ini, supaya pelajaran sekular diajar pada waktu pagi dan petang pula pengajian al-Quran diadakan. Kerajaan British membiayai guru yang mengajar bahasa Melayu. Tetapi ibu bapa murid-murid bertanggungjawab membiayai gaji guru yang mengajar agama Islam, iaitu al-Quran.

Pada mulanya, sekolah-sekolah ini tidak mendapat sambutan yang baik. Orang-orang Melayu tidak menyokong pendidikan sekular kerana bebanan yang mereka hadapi dari segi kewangan kerana mereka perlu tanggung gaji guru-guru agama. Di Selangor, denda berbentuk wang dikenakan ke atas ibu bapa yang tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Ganjaran turut diberikan kepada pelajar yang menghadiri ke sekolah dengan baik dan menunjukkan usaha. Akhirnya satu enakmen dikeluarkan di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan yang mewajibkan kehadiran anak-anak Melayu yang berumur tujuh hingga empat belas tahun di sekolah (Awang Had Salleh, 1980).  Tindakan boleh diambil ke atas ibu bapa yang tidak berbuat demikian.


Di bawah pentadbiran British, peluang untuk anak-anak Melayu di desa untuk mendapat peluang pendidikan lebih terhad dan mereka kekurangan guru-guru terlatih. Hanya empat tahun pelajaran sekolah rendah diberikan kepada kebanyakan pelajar Melayu. Pelajaran di sekolah Melayu meliputi aspek-aspek pertanian, berkebun di sekolah dimulakan untuk memberi pengalaman dan pengetahuan pertanian kepada murid. Pelajaran seperti anyaman bakul juga diperkenalkan. Dalam usaha menyelaraskan pelajaran Melayu, jawatan Nazir Sekolah Melayu juga diperkenalkan. Buku-buku Melayu yang baru dicetak dan guru-guru sekolah Melayu mula diberi latihan apabila Maktab Perguruan Sultan Idris ditubuhkan pada tahun 1922.

2.2       Sekolah Cina
Dengan pertambahan penduduk Cina di negeri-negeri Melayu, sekolah-sekolah Cina mula dibina. Sekolah Cina ditubuhkan oleh masyarakat Cina secara bebas dan tanpa bantuan British. Sekolah Cina dijalankan mengikut corak sekolah-sekolah sekolah di negeri China. Buku-buku dan guru dari negeri China dibawa masuk sebagai bahan dan tenaga pengajar. Pada peringkat awal, kesemua sekolah Cina memberi pendidikan hingga tahap sekolah rendah sahaja. Pada tahun 1913, seorang peniaga Cina, Tan Kah-kee menubuhkan  Sekolah Menengah Cina yang pertama, yang dikenali sebagai ‘Nanyang Overseas Chinese School’. Pendidikan untuk anak-anak perempuan Cina yang pertama adalah Sekolah Kuen Cheng yang mula mengambil murid-murid perempuan pada tahun 1908.

Selepas revolusi 1911 di China, pengaruh unsur-unsur politik negeri China terserap di sekolah-sekolah China. Perkembangan ini mendesak kerajaan Brisith mengambil peranan yang lebih langsung dan aktif dalam usaha mengawal perkembangan pendidikan Cina di Tanah Melayu. Kerajaan mula mendaftar sekolah-sekolah Cina sebagai langkah untuk mengawal sekolah-sekolah ini. Kerajaan British mula membiayai sekolah-sekolah Cina dan Pengarah Pelajaran diberi kuasa untuk menutup sekolah-sekolah yang tidak mengikuti peraturan-peraturan berkenaan dengan sukatan pelajaran. Untuk menyekat aktiviti-aktiviti politik dan ideologi komunis di sekolah-sekolah Cina, Gabenor Cecil Clementi Smith telah mengharamkan aktiviti ‘Kuomintang’ di sekolah-sekolah Cina. Bantuan kewangan hanya diberikan kepada sekolah yang menggunakan loghat-loghat Cina selain mandarin. Bahasa Inggeris juga mula diajar sebagai satu mata pelajaran.

2.3       Sekolah Tamil
Bagi kaum India, pendidikan awal hanya diberikan dalam bahasa Tamil, kerana orang Tamil adalah kumpulan penduduk India yang terbesar di Tanah Melayu. Perkembangan pendidikan Tamil tidak dapat dipisahkan dengan perusahaan ladang-ladang di Tanah Melayu. Dengan kedatangan imigran dari India, sekolah-sekolah Tamil juga dimulakan di ladang-ladang. Kelas-kelas diadakan di bangunan-bangunan lapuk dan diajar oleh orang-orang yang tidak terlatih seperti  kerani-kerani ladang atau ‘mandor’. Sekolah-sekolah ini tidak mempunyai sukatan pelajaran yang tertentu dan kebanyakan buku-buku yang digunakan adalah dari India. Pada tahun 1920, Kerajaan British melantik tiga orang sebagai Penolong Nazir Sekolah Tamil di Perak dan seorang di Selangor. Langkah ini tidak dapat meningkatkan mutu sekolah-sekolah Tamil. Kadar keciciran  adalah sangat tinggi dan kebanyakan pelajar tidak dapat menyempurnakan  persekolahan mereka iaitu selama empat tahun.

Di kawasan- kawasan bandar, badan-badan agama mengusahakan pembinaan sekolah-sekolah Tamil. Kurikulum, buku teks dan guru dibawa dari India. Pihak British tidak mengawal atau mementingkan sekolah-sekolah Tamil. Pada tahun 1923, Kod Buruh diluluskan. Dengan  ini, ladang-ladang yang mempunyai lebih dari 10 orang anak antara 7 hingga 14 tahun diwajibkan menyedia kemudahan persekolahan bagi mereka. Ia akan dibiayai oleh majikan ladang-ladang tersebut. Pada amnya, mutu sekolah Tamil sangat rendah , pelajaran hanya diberikan selama empat tahun. Oleh sebab buku-buku dan guru dibawa dari India, sekolah-sekolah  ini lebih berorientasikan India seperti sekolah-sekolah Cina yang berorientasi kepada ideologi China.

2.4       Sejarah Pendidikan Sekolah Kebangsaan
Pendidikan adalah salah satu cara terbaik untuk membentuk dan seterusnya menyuburkan semangat cintakan negara serta perasaan kekitaan antara kaum. Namun begitu kerana latar belakang sistem pendidikan yang berbeza-beza antara kaum, maka matlamat itu sukar untuk dicapai. Sebelum British meninggalkan Tanah Melayu, mereka mulai menyedari masalah ini. Oleh itu, mereka telah mengambil inisiatif untuk mengatasinya dengan menubuhkan beberapa jawatankuasa yang berfungsi menyelidiki masalah ini dan mengutarakan pendapat dan cadangan bagi mengatasinya. Antara jawatankuasa yang terawal dibentuk ialah Jawatankuasa Barnes pada tahun 1950.
            Pengerusinya L.J Barnes mengambil kesimpulan bahawa perpaduan boleh dicapai melalui pendidikan pada peringkat rendah lagi iaitu dengan mengutarakan pendidikan satu aliran yang dinamakan Sekolah Kebangsaan dengan menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris sebagai bahasa pengantar.  Serentak dengan ini semua sekolah berasaskan kaum harus ditutup untuk memastikan matlamat perpaduan dapat dicapai. Walaubagaimanapun, cadangan seperti ini sukar dilaksanakan kerana setiap kaum belum bersedia melakukan demikian. Hasilnya penyata Fenn-Yu menyarankan agar dikekalkan sahaja sekolah sedia ada dengan bahasa pengantar masing-masing.  Masalah pendidikan ini telah mendapat perhatian serius bukan sahaja dari kerajaan malahan juga dari segenap lapisan masyarakat.

            Kerajaan Parti Perikatan yang diberi peluang mentadbir Tanah Melayu apabila memenangi pilihan raya tahun 1955.  Keprihatinan kerajaan Perikatan terserlah apabila Menteri Pendidikan, Dato’ Abdul Razak bin Hussien mengetuai satu jawatankuasa bagi mengkaji situasi pendidikan semasa. Hasilnya pada tahun 1956, mereka telah mengemukakan satu laporan yang dikenal sebagai Laporan Razak.  Jawatankuasa ini mencadangkan satu bentuk pendidikan yang menyeluruh. Bagaimanapun, ia tetap mengekalkan sekolah rendah Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris menggunakan bahasa pengantar masing-masing. Sesuatu yang  baru dari jawatankuasa ini adalah sistem pendidikan sekolah menengah yang sama untuk semua kaum. Ini bermakna tiada lagi sekolah berasaskan kaum dan penggunaan bahasa pengantar berbeza-beza pada peringkat sekolah menengah.


            Cadangan daripada jawatankuasa ini telah diterima pakai oleh kerajaan Perikatan dan hingga sekarang pun sistem pendidikan kita mewarisi cadangan tersebut walaupun bukan sepenuhnya lagi. Nampaknya hasrat untuk mewujudkan satu sistem pendidikan bersepadu melampaui sempadan perkauman masih tidak kesampaian sehingga hari ini. Dengan ketiadaan satu semangat nasionalisme yang membawa kesepaduan rasa kesetiaan diiringi perasaan kekitaan yang tinggi maka sukar sistem pendidikan yang tunggal dapat dilaksanakan. Malahan perasaan  takut kehilangan identiti kaum masing-masing menjadi penghalang dalam mewujudkan sistem pendidikan yang berteraskan satu bahasa sahaja. 

BENTUK PENTADBIRAN PENJAJAH DI TANAH MELAYU

1.0      BENTUK PENTADBIRAN PENJAJAH DI TANAH MELAYU

Tanah Melayu merupakan kawasan yang strategik yang berada di tengah-tengah jalan perdagangan antara timur dan barat. Sumber alam semulajadinya yang melimpah luah seperti rempah, bijih timah dan hasil-hasil hutan menarik minat kuasa asing dari eropah untuk menguasainya. Portugis, Belanda, British dan Jepun adalah kuasa-kuasa asing yang telah menjajah Tanah Melayu dan mengaut hasil bumi Tanah Melayu untuk kepentingan mereka. Setiap jajahan oleh kuasa-kuasa asing, Tanah Melayu atau kini dikenali sebagai Malaysia menerima banyak impak sama ada impak positif atau impak negatif.

Ternyata, impak-impak jajahan kuasa-kuasa asing ini banyak memberi kesan terhadap politik, ekonomi dan sosial penduduk di Tanah Melayu. British merupakan negara penjajah yang paling banyak meninggalkan kesan ke atas sosio budaya  di Tanah Melayu. Penjajahan di Tanah Melayu bermula apabila Portugis menakluki Melaka pada 1511 sehingga 1641, Belanda pada tahun 1641 sehingga 1824, British pada tahun 1824 sehingga 1957 dan Jepun pada tahun 1941 sehingga 1945.



3.1       POLITIK
Prinsip, sistem, struktur dan dasar yang diamalkan dalam pemerintahan mereka adalah jauh berbeza dengan sistem dan dasar pemerintahan yang telah sedia ada dan diguna pakai di Tanah Melayu. Pengenalan Sistem Residen ketika era penjajahan British misalnya telah mengubah sistem politik tradisional negeri-negeri Melayu kepada sistem politik moden. Pentadbiran peringkat negeri diketuai oleh sultan yang dibantu oleh residen. Negeri pula dibahagikan kepada beberapa buah daerah yang diketuai oleh pegawai daerah. Sistem pentadbiran daerah pula dibahagikan kepada beberapa buah mukim yang diketuai oleh penghulu. Mukim dipecahkan kepada unit-unit yang lebih kecil iaitu kampung. Pada dasarnya, sistem politik tradisional masih dikekalkan tetapi fungsinya diubah mengikut keperluan semasa. Sultan juga terpaksa untuk menurut kata-kata residen di negeri mereka. Walaupun Sultan bertindak sebagai ketua negeri tetapi bidang kuasa Sultan adalah terhad. Secara tidak langsung, kedudukan raja-raja dan pembesar Melayu dikekalkan tetapi bidang kuasa mereka dikurangkan.

            Pada era penguasaan Portugis di Melaka, Portugis lebih bersifat ekonomi kerana mereka ingin menguasai perdagangan rempah di Kepulauan Melaka. Oleh yang demikian, Portugis tidak mengubah keseluruhan sistem pentadbiran yang wujud di Melaka. Sebaliknya Portugis telah memperkenalkan dasar monopoli perdagangan semasa berkuasa di Melaka. Bagi penjajahan Belanda ke Tanah Melayu pula, bermula dengan kedatangan Belanda ke Tanah Melayu apabila Belanda menakluki Melaka pada tahun 1641 dengan bantuan Johor. Setelah Belanda berjaya menguasai Melaka, mereka menjalankan dasar berbaik-baik dengan kerajaan Johor. Belanda juga berusaha untuk memonopoli perdagangan bijih timah di Perak dan Kedah melalui perjanjian dengan Sultan Perak dan Sultan Kedah. 

            Selain itu, bentuk pentadbiran Jepun pula ketika era penjajahannya bercirikan sistem ketenteraan yang berpusat di Singapura. Pentadbiran tentera berada di bawah tanggungjawab Mejar General Manaki Keishi dan urusan pentadbirannya dilakukan oleh Kolonel Watanabe Wataru. Satu pentadbiran pusat ditubuhkan dengan diketuai oleh seorang Presiden (Gunseikan) yang bertanggungjawab kepada Ketua Kepala Agung Tentera, Kawasan Ketujuh di Singapura. Tanah Melayu dan Singapura disatukan dalam satu unit politik. Pada waktu itu Jepun telah menukar nama Singapura kepada Syonan yang bermaksud ‘Cahaya Selatan’ dan Tanah Melayu sebagai Malai Baru dan dibahagikan kepada lapan wilayah dengan diketuai oleh seorang Gabenor Jepun (Syuchokan) yang bertanggungjawab kepada pentadbiran pusat di Singapura.

Tujuan Jepun memisah-misahkan pentadbiran negeri-negeri melayu adalah disebabkan kebimbangan Jepun terhadap penyatuan tenaga dan membentuk satu pasukan menentang Jepun. Jepun juga membahagikan daerah kepada beberapa kawasan kecil yang terdiri daripada unit-unit kampung, jiran tetangga dan keluarga untuk memudahkan pentadbiran. Jepun juga mengekalkan pentadbiran yang diamalkan oleh Britsh secara tidak langsung. Namun begitu, Jepun mengamalkan dasar memusuhi Cina dan India pula digalakkan melibatkan diri dalam gerakan menuntut kemerdekaan.

3.2       EKONOMI
Struktur penjajahan Eropah dari aspek ekonomi, dapat dilihat melalui kewujudan sistem ekonomi dualisme. Sistem ekonomi dualisme merujuk kepada dua tumpuan ekonomi yang berbeza namun ianya bergerak seiringan dengan garis etnik. Dua bentuk eksploitasi ekonomi utama yang dilakukan oleh British ialah perlombongan dan perladangan getah. Penjajah British telah mewujudkan pembahagian etnik berdasarkan pembahagian pekerjaan dimana Melayu berada dalam sektor kerajaan dan pertanian, manakala Cina sebagai pelombong dan peniaga, dan orang India sebagai pekerja estet dan ladang. Oleh itu melalui dasar ini banyak memberi impak negatif tehadap masyarakat pada ketika itu. Antara kesan negatifnya ialah aktiviti berdasarkan kaum, ia berlaku apabila orang Melayu bekerja sebagai peladang dan tinggal di kawasan yang tidak maju, manakala orang Cina bekerja sebagai ahli perniagaan dan tinggal dikawasan maju dan orang India bekerja sebagai penoreh getah dan tinggal di estet.

             Selain itu. ketika era penjajahan Portugis di Melaka pula, matlamat Portugis lebih kearah bersifat ekonomi kerana ketika itu mereka mahu menguasai perdagangan rempah di kepulauan Melaka. Dasar memonopoli perdagangan diperkenalkan oleh mereka iaitu para pedagang dipaksa untuk berdagang di Melaka. Di samping itu, pedagang yang enggan mematuhi peraturan tersebut, kapalnya akan dimusnahkan dan barang dagangannya akan dirampas. Pedagang juga perlu mendapatkan surat kebenaran untuk berdagang di Melaka. Oleh yang demikian, kejayaan menakluki Melaka mendorong kuasa Eropah yang lain seperti Belanda dan Britain untuk berdagang ke Asia Tenggara.

            Penaklukan Melaka oleh Belanda dari Portugis pula memperlihatkan tujuan Belanda adalah untuk menguasai  perdagangan rempah di Asia Tenggara dan perdagangan bijih timah di negeri-negeri Melayu. Namun begitu, Belanda tidak berminat untuk memajukan  Melaka sebagai pusat perdagangan.  Ini disebabkan Belanda hanya ingin memajukan Betawi yang merupakan pusat pentadbiran dan perdagangan di timur. Melaka hanya dijadikan kubu perdagangan untuk mengawal perdagangan dan perkapalan di samping menjadi pusat pengumpulan barang keperluan sahaja.  Kapal-kapal yang ingin melalui Selat Melaka mesti mendapatkan surat kebenaran daripada Belanda. Para pedagang yang singgah berdagang di Melaka turut dikenakan cukai yang tinggi.

            Jepun pula telah memperkenalkan sistem ekonomi terkawal di Tanah Melayu ketika penjajahannya. Melalui sistem ini, Jepun tidak membenarkan kegiatan perdagangan dijalankan sama ada mengeksport barangan ke Eropah atau Amerika Syarikat dan membeli barangan dari luar. Maka dengan itu, Jepun telah menggalakkan pertumbuhan industri tempatan bagi memenuhi permintaan dalam negeri. Dalam industri tempatan ini, hampir kesemua barangan yang dihasilkan menggunakan bahan mentah tempatan kerana  Jepun dalam pentadbirannya tidak membenarkan import barangan atau bahan mentah daripada luar Negara. Industri yang dijalankan hanya dalam bentuk kecil-kecilan sahaja seperti makanan, minyak jentera, pengangkutan, perubatan, pakaian ,rokok, arak, sabun dan barangan keperluan tentera. Pemerintahan Jepun juga mengamalkan dasar monopoli dengan menguasai perusahaan penting dalam negeri menerusi beberapa buah syarikat yang dimilikinya. Selain itu, Jepun turut merampas semua kegiatan ekonomi yang dimiliki oleh orang cina dan Eropah seperti perusahaan perlombongan, perdagangan, pengangkutan dan bank perdagangan. Perusahaan getah pada waktu itu pula tidak berkembang kerana kegiatan eksport tidak dijalankan dan ditebang untuk penanaman tanaman yang menghasilkan makanan.

            Berdasarkan hasil pembacaan, penulis berpendapat bahawa terdapat perbezaan yang begitu ketara dasar-dasar yang telah diperkenalkan oleh penjajah seperti yang telah tertulis di atas. Walaupun terdapat perbezaan struktur pemerintahan atau dasar pentadbiran yang telah diperkenalkan oleh mereka, namun matlamat dan tujuan mereka tetap sama iaitu untuk mengaut segala keuntungan ekonomi semata-mata daripada hasil tanah jajahan. Kekayaan hasil bumi di tanah Melayu telah mengundang penjajah-penjajah ini datang untuk berebut hak kekuasaan perdagangan terutamanya di kepulauan Melayu. Dengan menguasai negeri yang maju ekonomi dan perdagangannya, maka mudah untuk penjajah mengeksploitasi sumber ekonomi negeri dan dapat meluaskan pengaruh kekuasaannya.

3.3       SOSIAL
Dari aspek sosial, penubuhan Sekolah Inggeris di Tanah Melayu pada waktu itu telah memberi peluang kepada penduduk Tanah Melayu mempelajari bahasa Inggeris dan menyambung pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Selain itu, sektor kesihatan bandar dan luar bandar mengalami perkembangan pada era kedatangan British kerana masyarakat Melayu sebelum kedatangan penjajah British kebanyakannya mengamalkan perubatan secara tradisional dan bergantung kepada pawang atau bomoh untuk mengubati penyakit. Penjajahan British di Tanah Melayu telah memperkenalkan sistem perubatan moden dengan adanya doktor, jururawat, klinik, palang merah dan pusat-pusat kesihatan. Lama-kelamaan pusat-pusat kesihatan ini telah berkembang daripada bandar ke kawasan luar bandar.

Selain itu, ketika penjajahan Portugis, matlamat asalnya adalah untuk mengembangkan agama. Antara kesan peninggalan penjajah Portugis hingga ke hari ini ialah kewujudan masyarakat, akibat perkahwinan orang Portugis dengan penduduk tempatan , pengenalan tulisan rasmi kepada  masyarakat melayu , kewujudan perkataan yang berasal dari bahasa Portugis (seperti palsu, almari , jendela , garpu dan tuala) . Kesan yang penting ialah kejatuhan kesultanan melayu melaka dan membawa kepada kemunculan kerajaan melayu-Riau , namun pengaruhnya tidak berkesan. .

Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, Jepun telah menerapkan Dasar Niponisasi iaitu dasar penjepunan terhadap Tanah Melayu. Antara dasar yang diterapkan ialah layanan yang berbeza diberikan kepada penduduk tempatan oleh pihak Jepun. Semua kaum iaitu orang melayu, Cina dan India mengalami penyeksaan, penderitaan, kebuluran, ketakutan dan pengangguran. Layanan yang berbeza ini menyebabkan atau mewujudkan permusuhan kaum antara orang Cina dengan orang Melayu. Dasar Penjepunan juga dilakukan dalam sistem pendidikan iaitu sekolah-sekolah Inggeris dan Tamil diganti dengan sistem pendidikan Jepun. Sistem pendidikan ini menekankan beberapa aspek seperti pembentukan akhlak dan disiplin taat setia kepada Maharaja Jepun dan kepatuhan kepada kerajaan Jepun. Selain itu kebudayaan Jepun disebarkan melalui sisitem pendidikan Jepun. Orang tempatan diajar tentang istiadat dan lagu kebangsaan Jepun iaitu Kamigayo. Lagu ini dinyanyikan pada setiap pagi ketika menghadap matahari terbit.

Oleh itu, penulis berpendapat bahawa pihak penjajah tidak berniat sedikitpun hendak memajukan pendidikan di tanah jajahan mereka. Mereka hanya mementingkan kemajuan bangsa mereka sendiri. Mereka memberi pendidikan yang dapat membawa kepentingan peribadi semata-mata dan dapat menaikkan nama dan imej mereka dengan orang Melayu mempelajari bahasa Inggeris sebagai keutamaan. Contohnya British yang menubuhkan sekolah Inggeris ketika era penjajahannya, tetapi tidak memperdulikan pendidikan anak-anak Melayu, Cina dan India.  Walaubagaimanapun, ketika era pendudukan Jepun di Tanah Melayu, dasar pendidikan Jepun kepada masyarakat Melayu adalah lebih baik walaupun berlaku proses penjepunan dalam diri pelajar di sekolah. Dalam zaman pendudukan Jepun sukatan yang diajarkan meliputi bidang-bidang Matematik, Pertanian, Sains dan pelbagai subjek akademik lain. Hal ini mendedahkan orang-orang Melayu kepada ilmu pengetahuan. Guru-guru Melayu dihantar ke Jepun untuk menambahkan pengetahuan berbahasa. Menerusi kegiatan ini, penulis berpendapat bahawa ia sebenarnya menambahkan intelek Melayu yang akhirnya dapat digunakan untuk mencetuskan semangat dan kesedaran nasionalisme.

4.0       RUMUSAN
Kesimpulannya adalah penting untuk memahami dan menghayati tentang kewujudan kerajaan-kerajaan melayu di tanah air suatu ketika dulu. Pemahaman ini dapat melahirkan kesedaran tentang wujudnya satu ketamadunan melayu yang tinggi pada zaman dahulu. Oleh itu harapan penulis kepada generasi masa kini ialah menghayati dan menghargai sejarah negara dan seterusnya mengukuhkan jati diri terhadap tanah air. Fenomena ini juga menjadikan tamudan Malaysia hari ini padat dengan gabungan asimilasi dan sikritisme berbagai-bagai budaya yang membentuk budaya Malaysia yang unggul.

Sebagai warganegara , kita perlu mengetahui asal usul bangsa sendiri dengan pengetahuan ini maka akan dapat melahirkan warganegara yang sayang akan Negara dan tidak mudah lupa diri apabila berada di negara orang. kami cadangkan supaya pelajar-pelajar di Malaysia menittikberatkan hal yang berkaitan dengan sejarah-sejarah Malaysia agar dapat mengenang jasa-jasa pahlawan negara yang sanggup berkorban untuk mempertahankan tanah air daripada dijajah.




RUJUKAN
A. Samad Ahmad. (1984). Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Abdul Rahman Abdullah. (2000). Sejarah dan Tamadun Asia Tenggara, Sebelum dan
            Sesudah Pengaruh Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications.
Ahmad Jelani Halimi. (2008). Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu. Kuala Lumpur:             Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Buyong Adil. (1972). Sejarah Perak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hasnah Hussin & Mardiana Nordin. (2007). Pengajian Malaysia. Kuala Lumpur:                     Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Morgan W.S (1952). The Story of Malaya. Singapura: Malaysia Publishing House.
Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman. (1988). Isu-isu Arkeologi dan Seni Purba
Lembah Bujang (Abad 5-14 Masihi). Bangi: Jabatan Sejarah Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Rajentheran M. (1999). Sejarah Melayu Kesan Kebudayaan Melayu dan India. Kuala
 Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Shellabear W.G. (1961). Sejarah Melayu. Singapura: Malayan Publishing House Ltd.
Mohd. Isa Othman. (2002). Sejarah Malaysia (1800-1963). Kuala Lumpur: Utusan
 Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Zaharah Bte Mahmud. (1995). The period and the nature of ‘‘Traditional’’ Settlement           in the Malay Peninsula. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Azhar Mad Ros (1999). Pendudukan Jepun di Tanah Melayu: Satu Kajian Mengenai
            Bibliografi. Diakses pada 10 September dari laman web






PEMBINAAN NEGARA BANGSA MALAYSIA

1.0          1.0        PENGENALAN

Pembinaan negara bangsa merupakan suatu matlamat utama sesebuah negara dan boleh dianggap sebagai kemuncak kejayaan bagi sesebuah negara, pentadbiran dan penduduknya. Merujuk kepada Malaysia, proses awal pembinaan negara bangsa lebih tertumpu kepada keperluan politik. Usaha-usaha secara intensif bagi mencapai matlamat mula dilaksanakan selepas peristiwa 13 Mei 1969 khususnya menerusi rancangan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Matlamat yang lebih jelas pula hanya muncul ekoran pengenalan Wawasan 2020 oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed pada tahun 1991.

            Walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan dan pemimpin namun unsur-unsur penghalang kebanyakannya berakar umbikan sentimen perkauman masih mengepompongi sebahagian rakyat negara ini termasuklah pemimpin-pemimpin politik yang sepatutnya berperanan sebagai role model bagi mencapai matlamat tesebut. 1 Malaysia umpamanya, merupakan antara agenda di bawah kepimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk membentuk sebuah negara yang dikongsi bersama atau dianggap sepunya.

            Keupayaan membinan negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai serta semangat patriotisme, lingua franca, integrasi, kewarganegaraan dan demokrasi. Keupayaan membina sebuah negara bangsa merupakan kemuncak kejayaan sesebuah negara. Hal ini kerana tanpa perpaduan dan rasa kekitaan dalam masyarakat perlbagai kaum akan menyebabkan berlakunya ketidakstabilan politik. Pembinaan negara bangsa bagi sesebuah negara berbilang kaum seperti di Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan daripada pelbagai negara.



2.0          PEMBINAAN NEGARA BANGSA DI MALAYSIA

2.1       Konsep dan Pengertian Negara Bangsa
Konsep negara bangsa merupakan bangsa idaman yang ingin dijelmakan oleh sesebuah negara. Konsep negara bangsa menjurus kepada sebuah negara yang berdaulat dengan rakyatnya hidup bersatu-padu tanpa sentimen perkauman, keturunan, agama, bahasa, budaya, semangat kedaerahan yang boleh menghalang kepada pembentukan negara bangsa. Usaha kearah pembinaan negara bangsa ini bukan mudah kerana pembentukan negara bangsa sukar berlaku melalui perancangan dan program tetapi ia terbina hasil daripada proses semula jadi di bawah asas sejarah yang terbina sejak dahulu.

Terdapat tiga takrifan tentang ‘bangsa’. Pertama, bangsa boleh dilihat dari sudut perundangan. Dalam konteks ini, konsep warganegara yang menakrifkan bangsa Malaysia boleh terbentuk dengan tiga syarat iaitu menjadi warga Malaysia, mengamal cara hidup Malaysia berlandaskan kebudayaan Melayu dan menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa harian. Kedua, pengertian ‘bangsa’ boleh dihurai berlandaskan keturunan darah yang menakrifkan manusia berdasarkan ciri (biologi) dan budaya yang diwarisinya. Bangsa dalam pengertian ini membawa maksud kaum, ras dan etnik. Ketiga, ‘bangsa’ dirujuk sebagai satu ‘nation’ yang membawa maksud komuniti politik dalam wilayah tertentu. Konsep ini diperkuatkan lagi melalui ‘identiti sepunya’ seperti perkongsian wilayah bersama, perkongsian ekonomi, perkongsian masa hadapan bersama serta unsur-unsur subjektif yang dikongsi bersama merangkumi bahasa, budaya dan sastera.

            Menurut Tun Dr. Mahathir Mohamad (1991) iaitu mantan Perdana Menteri Malaysia turut menakrifkan ‘negara bangsa’ dibina dan dibangunkan dengan rakyat yang menyanjung masa depan yang  dikongsi bersama, berintegrasi seluruh wilayah dan kelompoknya, menikmati kehidupan bersama berasaskan persamaan hak dan keadilan, menumpukan taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah-bahagi terhadap bangsa dan negara mereka. Jika diteliti pemyataan Tun Dr. Mahathir ini,  sesebuah negara itu diibaratkan sebagai sebuah keluarga yang setiap rakyatnya adalah ahli dalam keluarga tersebut. Sebagaimana anak-anak diberikan keadilan dan hak, rakyat dalam sesebuah negara juga harus merasakan bahawa mereka diperintah secara adil dan diberikan hak masing-masing.

2.2       Proses Pembinaan Negara Bangsa
2.2.1    Bina Negara
Proses pembinaan negara bagi sesebuah negara adalah tidak sama antara satu negara dengan negara yang lain. Proses pembinaan negara ini dipengaruhi oleh faktor persekitaran. Ada sesetengah negara pernah menjadi tanah jajahan manakala sebahagian negara pula merupakan negara merdeka sejak awal penubuhannya. Justeru itu, ada negara yang mencapai tahap perubahan yang cepat dan ada juga yang agak lewat. Hanya selepas perang Dunia Kedua berakhir, wajah pembinaan negara berasaskan pelbagai kaum mula tergambar. Sebelum tarikh tersebut, pembinaan negara bangsa hanya berkisar antara orang-orang Melayu sahaja.

Bermula dengan rancangan Malayan Union pada tahun 1946 dan kemudiannya pada tahun 1948, barulah Persekutuan yang dicadangkan British  memberi wajah pelbagai kaum di negara ini yang sebenar apabila Persekutuan Tanah Melayu yang ditubuhkan mula melonggarkan pemberian kerakyatan bersyarat kepada penduduk bukan Melayu (Ismail Said, 2010). Akhirnya, pembinaan negara menjadi realiti apabila kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957 diperoleh daripada Inggeris.

Sebagai mengukuhkan lagi asas bina negara yang sudah dilakukan, ia diikuti pula dengan pelaksanaan penubuhan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Hasilnya, Malaysia wujud sebagai sebuah negara berdaulat dan bebas daripada cengkaman penjajahan. Biarpun begitu pada saat itu apa yang ada ialah hanya sebuah pembinaan negara sahaja.

2.2.2    Bina Bangsa
Perkembangan pada tahap kedua dimulakan selepas kemerdekaan 1957 dengan memperlihatkan bentuk perhubungan awal yang longgar antara kaum. Dasar Pecah dan Perintah British telah menambah sukarkan lagi proses ini, begitu juga kesan Perang Dunia Kedua yang merenggangkan hubungan kaum Melayu dan Cina.
Interaksi antara anggota masyarakat pada tahap ini berada dalam paras yang minimum sebagai contoh mereka hanya bermasyarakat dalam bentuk pertemuan ketika menjalankan urusan perniagaan ataupun urusan harian seperti pekerjaan dan lain-lain. Secara keseluruhannya, tahap ini adalah tidak memuaskan hati kerajaan dan jelas amat minimum dalam usaha menyatukan semua warganegara pelbagai kaum sebagai suatu bangsa.

2.2.3    Penyertaan Rakyat
Berdasarkan perkembangan tahap Kedua, adalah jelas proses pembinaan negara bangsa tidak akan tercapai tanpa penyertaan menyeluruh daripada keseluruhan rakyatnya. Ini bermaksud setiap anggota masyarakat mestilah berganding bahu dalam mewujudkan suasana yang dapat membantu wujudnya kesatuan yang dicari. Pada tahap ini perhubungan antara kaum menjadi rencam dan wujud kepelbagaian.

Konfrontasi dengan negara jiran Indonesia, begitu juga dengan peristiwa 13 Mei 1969 yang mewujudkan situasi saling bergantungan antara anggota masyarakat. Jurang perbezaan yang wujud antara mereka cuba dirapatkan, nilai persamaan dan kerjasama kaum dicari serta diperluaskan sebagai usaha mewujudkan perpaduan dan integrasi nasional. Pada tahap ini, masyarakat sudah diintegrasikan ke dalam suatu bangsa yang memiliki nilai-nilai identiti yang sama dan mula membentuk sebuah negara bangsa Malaysia.

2.2.4    Pengagihan Nilai-Nilai Masyarakat
Proses pembinaan negara bangsa Malaysia semakin hampir menjadi kenyataan. Toleransi, saling membantu dan persefahaman banyak meningkatkan tahap integrasi antara kaum di Malaysia. Biarpun begitu tanpa usaha-usaha selanjutnya proses mengekalkan momentum kearah bangsa Malaysia yang satu seperti yang sedia ada akan menjadi kendur.

Pengekalan yang dimaksudkan ialah memastikan rakyat berpuas hati dengan usaha yang dijalankan kerajaan dan terdapat pengagihan nilai-nilai masyarakat yang sama adil dan sama rata. Kepuasan hati anggota masyarakat itu kemudiannya diterjemahkan kepada kesediaan mereka tolong menolong, bersatu hati dan bersama mewujudkan negara bangsa Malaysia. Maksud pengagihan pula meliputi semua aspek sosial, ekonomi dan politik. Walau bagaimanapun proses pengagihan yang adil ini tidak harus disalah ertikan dan dilakukan mengikut satu cara sahaja. Pengagihan yang adil itu haruslah mengambil kira dan menimbangkan keadaan perkembangan negara sejak sebelum merdeka dan sehinggalah kepada hari ini.

3.0          Pengertian dan Konsep Perlembagaan
Perlembagaan merupakan satu dokumen yang mengandungi semua susunan peraturan dan undang-dasar yang dianggap penting bagi menjalankan pentadbiran dan pemerintahan  sesebuah negara. Perlembagaan merupakan satu dokumen yang mengandungi semua undang-undang asas negara. Perlembagaan ini wujud hasil daripada kehendak keadaan semasa dan diasaskan atas kebolehan kerajaan untuk menjamin kesemua yang terkandung di dalam perlembagaan itu. Jika undang-undang yang dikanunkan tidak dapat dilaksanakan maka perlembagaan itu tidak bermakna. Oleh yang demikian, perlembagaan mestilah dipegang teguh dan seimbang dengan hasrat orang ramai.

            Secara ringkasnya dapatlah kita simpulkan bahawa perlembagaan ialah undang-undang yang mengandungi prinsip serta peraturan yang menjadi tunjang kepada pembentukan kerajaan dan juga menjadi panduan kerajaan untuk melaksanakan dasar dan mentadbir negara. Perlembagaan menjadi asas penting untuk menjamin kesinambungan pentadbiran dan kestabilan politik bagi menjamin pentadbiran yang jujur, telus, amanah dan adil serta menjamin taat setia rakyat kepada negara.

3.1       Unsur-unsur Tradisi dalam Perlembagaan
Kebanyakan Perlembagaan Persekutuan mengandungi amalan yang diwarisi daripada zaman penjajahan British kecuali peruntukan mengenai pentadbiran, parlimen dan kewarganegaraan. Terdapat juga fasal-fasal yang diwarisi sejak zaman penjajahan dan sehingga kini masih dikekalkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Unsur-unsur tradisi sebenarnya telah wujud sejak ratusan tahun yang lalu sebelum pembentukan perlembagaan pada tahun 1957. Unsur-unsur tradisi ini dianggap sebagai satu kontrak sosial yang meliputi empat aspek iaitu institusi beraja, agama Islam, bahas Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu.

            Keempat-empat unsur tradisi ini diserap sebagai sebahagian kandungan penting dalam perlembagaan persekutuan. Ia berperanan menstabilkan sistem politik negara dan menjamin kesejahteraan rakyat. Suruhanjaya Reid membuat laporan yang menekankan bahawa betapa pentingnya perlembagaan yang mengambil kira faktor-faktor sejarah, tradisi, ekonomi dan sosial yang wujud sebelum tahun 1957. Ini telah menunjukkan bahawa betapa pentingnya unsur-unsur tradisi sehingga dilindungi di bawah Akta Hasutan dan dianggap sebagai isu-isu sensitif sekiranya dijadikan isu perbincangan awam. Ia juga merupakan satu pra-syarat dan permuafakatan yang telah dipersetujui bersama dan sama-sama diterima orang Melayu dan bukan Melayu. Ini bermakna bahawa orang Melayu diberikan hak keistimewaan, Islam menjadi agama rasmi persekutuan dan bahasa Melayu diterima sebagai bahasa kebangsaan sebagai pra-syarat penerimaan hak kewarganegaraan oleh etnik bukan Melayu.

3.1.1    Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera
Unsur tradisi yang pertama adalah kedudukan istimewa orang Melayu yang telah termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Di bawah peruntukan ini, Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab untuk memelihara kedudukan istimewa yang dimiliki oleh orang Melayu dan kaum Bumiputera di negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain.
Orang Melayu menurut tafsiran Perlembagaan Persekutuan, Perkara 160, membawa erti seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari Merdekadan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura, atau ialah zuriat seseorang yang demikian.
Bumiputera di Sabah dan Sartawak pula ialah:
1.    Di Sarawak :  mana-mana suku kaum asli iaitu Bukitan, Bidayuh, Dusun, Dayak Laut, Dayak Darat, Kadazan, Kelabit, Kayan, Kenyah,Kajang,Lugat, Lisum, Melayu, Melanau, Murut, Penan, Sian, Tagal, Tabun dan Ukit atau dia berketurunan campuran daripada kaum tersebut.
2.    Di Sabah : anak atau cucu kepada seorang daripada suatu kaum asli Sabah dan dia telah dilahirkan di Sabah.
Menurut Wu Min Aun (1981), dalam Perlembagaan Persekutuan, hak-hak orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak ada dinyatakan dalam Perkara 153. Hak Istemewa Orang Melayu dan bumiputera meliputi: Bidang Perkhidmatan Awam – Perkara 153 (2, 3 dan 4); Bidang Ekonomi – Perkara 153 (6) dan Bidang Pelajaran – Perkara 153 (2, 3 dan 4). Selain itu, kedudukan istemewa orang Melayu dan bumiputera yang lain juga terdapat dalam peruntukan Perkara 89 dan 90, iaitu berhubung dengan tanah rizab Melayu; dan Perkara 8(5)(f) berkenaan kemasukan orang Melayu dalam Rejimen Askar Melayu dengan pengecualian orang bukan Melayu sebagaimana dikuatkuasakan. Hak-hak ini tidak boleh dipertikaikan dan ia dilindungi di bawah Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1971).

3.1.2    Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
Unsur tradisi seterusnya yang disentuh dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 melalui Perkara 152 adalah bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan. Dalam fasal tersebut telah disebutkan bahawa,‘bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu dan akan kekal seperti itu seperti yang diperuntukkan oleh Parlimen, dengan peruntukan bahawa (a) tidak ada seseorang pun yang akan dihalang dari menggunakan (kecuali hal-hal rasmi), atau mengajar atau mempelajari bahasa-bahasa lain dan (b) tidak ada sebarang peruntukan dalam fasal ini yang boleh mengganggu hak kerajaan persekutuan atau sebarang kerajaan negeri untuk memelihara dan memperkembangkan dan pengkajian bahasa komuniti lain.

Bahasa Melayu telah digunakan secara meluas untuk tujuan-tujuan rasmi seperti dalam mesyuarat, urusan surat menyurat dan prosiding perundangan negeri-negeri Melayu dalam kebanyakan negeri Melayu terutamanya Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu sebelum Perang dunia kedua lagi. Namun selepas perang, keadaan mula berubah hasil daripada penerimaan sistem perundangan British. Namun begitu, setelah Malayan Union dimansuhkan, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tetap mengekalkan bahasa Melayu dan Inggeris sebagai bahasa rasmi dalam Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan kecuali catatan dalam bentuk penulisan mestilah dibuat di dalam bahasa Inggeris.
Penghakisan sedikit demi sedikit penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi mula membimbangkan para golongan cendekiawan pada masa itu termasuklah Dato Onn Jaafar dan Abdul Rahim Kajai yang berpendapat bahawa ini merupakan tanda penjajahan British yang sangat ketara ke atas negeri-negeri Melayu dan masyarakat Melayu. Pencapaian kemerdekaan pada tahun 1957 telah membawa satu sinar baru kepada bahasa Melayu di bawah Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan.

3.1.3    Agama Islam sebagai agama rasmi
Agama Islam menjadi agama anutan orang Melayu sejak lebih 600 tahun lalu. Walaupun dijajah oleh tiga kuasa asing, iaitu Portugis, Belanda dan British, orang Melayu masih kuat berpegang kepada ajaran Islam. Selepas merdeka, kedudukan agama Islam terus terpelihara dan menjadi agama rasmi persekutuan. Namun, agama-agama lain masih boleh diamalkan dengan bebas dalam mana-mana bahagian Persekutuan. Ini telah dijelaskan dalam Perkara 3 bahawa bahawa agama Islam ialah agama rasmi bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas.
Selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, kerajaan pusat diberi kuasa untuk membelanjakan wang bagi tujuan pentadbiran agama islam dan  undang-undang Syariah. Penerimaan Islam sebagai agama Persekutuan membolehkan kerajaan pusat atau negeri menubuh, menyelenggara dan membantu pertubuhan-pertubuhan Islam. Pelbagai bantuan disediakan untuk tujuan ini seperti peruntukan perbelanjaan bagi keperluan majlis-majlis keagamaan.

3.1.4    Pemerintahan Beraja
Sebelum kedatangan penjajah, negeri-negeri Melayu telah berabad-abad amalkan sistem pemerintahan beraja. Raja berkuasa secara mutlak dalam semua urusan pemerintahan dan pentadbiran negeri. Baginda dibantu oleh para pembesar negeri. Selepas pendudukan Jepun, kerajaan British bercadang untuk menubuhkan satu bentuk pemerintahan bercorak kesatuan yang dikenali sebagai Malayan Union. Melalui cadangan Malayan Union ini, raja-raja kekal sebagai pemerintah atas nama dan kuasa mereka dihadkan kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja.

Setelah mendapat bantahan hebat daripada orang Melayu, Malayan Union dibubar dan gantikan dengan satu perlembagaan baharu yang dikenali sebagai Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Perlembagaan baharu ini sedikit sebanyak telah memulihkan semula kedudukan raja-raja Melayu. Seiring dengan itu, beberapa perubahan telah dilakukan ke atas institusi beraja untuk disesuaikan dengan amalan demokrasi berparlimen.


4.0       PERISTIWA PENTING
4.1       PERISTIWA BERDARAH 13 MEI 1969
Tragedi berdarah 13 Mei 1969 merupakan satu detik hitam dalam lipatan sejarah negara. Usaha pembentukan gagasan Malaysia pada tahun 1963 bermatlamat kearah membina sebuah negara bangsa namun terbantut kerana akibat peristiwa ini. Pertelingkahan kaum yang terjadi ini telah mengakibatkan negara telah kehilangan banyak nyawa dan juga kerugian harta benda. Ia berkait rapat dengan Pilihanraya Umum 1969 dan merupakan puncak manifestasi masalah perpduan kaum di Malaysia. Dalam pilihanraya pada tahun tersebut, banyak isu sensitif telah dibangkitkan dan ditimbulkan seperti bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan hak kerakyatan orang bukan Melayu. Dalam pilihanraya tahun 1969, Parti Perikatan gagal memporelah dua per tiga dalam Dewan Rakyat manakala Parti Gerakan dan DAP yang berjaya memporolehi sebanyak 25 kerusi telah mengadakan perarakan di Kuala Lumpur sambal menghina bangsa Melayu.

Oleh yang demikian, hal ini telah memberikan tamparan hebat kepada orang Melayu dan akhirnya UMNO telah mengadakan perarakan balas sebagai tanda bantahan terhadap penghinaan yang dilakukan oleh parti DAP dan Gerakan. Dalam suasana yang tegang dan penuh emosi itu, maka tercetuslah perisitiwa 13 Mei 1969. Peristiwa tersebut telah mengorbankan ramai orang dan menyebabkan banyak kerosakan harta benda (Abu Bakar Hamzah, 1970). Ia juga telah menyebabkan negara kita telah menjadi tumpuan seluruh dunia. Sebenarnya, peristiwa ini merupakan masalah perpaduan yang memang telah lama berakar umbi disebabkan oleh British yang telah memainkan peranan yang cukup besar untuk mewujudkan keadaan sedemikian rupa. Rusuhan kaum 13 Mei telah mendorong kerajaan untuk lebih aktif dan lebih agresif dalam usaha mengatasi permasalahan kaum yang telah wujud berabad lamanya.

4.1.1    Sosioekonomi Antara Budaya Etnik
Dasar pecah perintah dilaksanakan oleh British telah meninggalkan kesan negatif pada negara. Pada zaman pemerintahan British, British telah mengasingkan kelompok-kelompok kaum etnik berdasarkan kegiatan ekonomi. Ini dilakukan oleh mereka kerana demi menjaga kepentingan mereka agar tidak terjejas dengan kewujudan perpaduan kaum kerana mereka mahu mengeksploitasi semaksima mungkin kekayaan semulajadi yang terdapat di Malaysia. Justeru itu, mereka telah menetapkan status dan peranan yang berbeza bagi setiap kaum seperti orang Melayu digalakkan tinggal di kampung, kaum Cina digalakkan untuk tinggal di bandar manakala kaum India pula digalakkan untuk tinggal di kawasan-kawasan estet.

            Dasar ini telah berjaya direalisasikan oleh dan kesannya interaksi antara kaum hanya berlaku di pejabat dan di pasar sahaja. Apabila ini berlaku, maka lahirlah perasaan syak wasangka antara satu kaum dengan kaum yang lain. Kemarahan orang Melayu terhadap ketidakadilan ekonomi mendorong kepada perpecahan kaum. Namun jika diperhalusi isu ini, orang Melayu tidak patut marah kerana mereka tidak cuba berusaha untuk bersaing dengan kaum-kaum lain untuk lebih maju dan bukannya sentiasa menyalahkan takdir.

5.0       Dasar-dasar Kerajaan ke Arah Perpaduan Masyarakat Majmuk di Malaysia
5.1       Dasar Pendidikan Kebangsaan
Dasar Pendidikan Kebangsaan adalah hasil daripada Akta Pelajaran 1961 yang berdasarkan syor laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960. Ia telah dimaktubkan dalam Ordinan Pendidikan 1957. Pada amnya, dasar ini bertujuan untuk membantu menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan kaum melalui satu sistem pendidikan yang menitikberatkan penggunaan Bahasa Melayu dalam pembelajaran. Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar yang utama serta berasaskan kokurikulum, peperiksaan dan kegiatan kokurikulum yang sama. Antara langkah yang telah diambil ialah Bahasa Inggeris diwajibkan di semua sekolah rendah. Selain itu, Bahasa Melayu dan Inggeris diwajibkan di semua sekolah peringkat menengah.  Kurikulum yang disediakan juga mempunyai sukatan pelajaran yang sama. Aktiviti kokurikulum yang dapat memupuk disiplin dan perpaduan juga digalakkan.

Dasar pendidikan ini penting bagi memupuk perpaduan tertumanya langkah yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang utama. Ini memberikan kefahaman dan rasa saling memahami sambal menghindarkan rasa syak wasangka antara satu sama lain kerana mereka dapat berkomunikasi menggunakan bahasa tunggal  iaitu Bahasa Melayu. Melalui aktiviti kokurikulum pula ia akan dapat melahirkan insan generasi yang dapat menghargai perpaduan dan bermoral tinggi agar tidak berlaku peristiwa 13 Mei 1969. Ia juga boleh dihayati menerusi falsafah pendidikan negara yang telah ditetapkan seperti yang berikut:

‘‘Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi  potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”.

5.2       Dasar Kebudayaan Kebangsaan
Dasar Kebudayaan Kebangsaan penting bagi memenuhi hasrat dan aspirasi negara membangun yang mempunyai penduduk berbilang kaum seperti Malaysia. Pengalaman Malaysia telah membuktikan kepada dunia luar bahawa penduduk berbilang kaum dan agama boleh berpegang kepada  satu fahaman budaya yang sama. Maka daripada itu, identiti dan keperibadian kebudayaan Malaysia boleh dianggap unik. Dasar ini menjadi garis panduan dalam membentuk, mewujudkan dan mengekalkan identiti negara di kalangan dunia antarabangsa. Dasar Kebudayaan Kebangsaan telah dirangka berteraskan tiga prinsip utama yang telah ditetapkan oleh Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971 iaitu:
a)         Kebudayaan Kebangsaan Malaysia hendaklah berteraskan kebudayaan rakyat asal   rantau ini;
b)         Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima menjadi unsur Kebudayaan Kebangsaan.
c)         Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan.

Dasar ini penting kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan mempunyai kebudayaan yang berbeza kerana ia dapat saling memberi kefahaman tentang budaya masing-masing agar perasaan prasangka antara satu sama lain dapat dihindari. Selain itu, dasar ini juga menolak unsur-unsur Barat yang tidak sesuai dengan kebudayaan yang terdapat di Malaysia (Mohd Ayop Abd Razid, 2009). Ini kerana matlamat Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah untuk memupuk dan menjamin keutuhan identiti kebangsaan. Di samping itu, dasar ini juga ialah untuk memperkayakan dan meningkatkan mutu kehidupan dan menanam sikap kerohanian yang seimbang dengan pembangunan kebendaan di Malaysia.

5.3       Rukun Negara
Menyedari masyarakat berbilang kaum di Malaysia tidak mempunyai matlamat yang jelas maka kerajaan memperkenalkan Rukun Negara untuk memberi garis panduan yang lebih jelas kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini. Rukun Negara juga menjadi hasrat bagi mencapai dasar pembangunan perpaduan.
Prinsip-prinsip Rukun Negara dapat dilihat seperti yang berikut:
a)    Kepercayaan  kepada Tuhan
b)    Kesetiaan kepada Raja dan Negara
c)    Keluhuran Perlembagaan
d)    Kedaulatan Undang-undang
e)    Kesopanan dan Kesusilaan

Rukun Negara dicipta ekoran daripada rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Tragedi ini telah menyedarkan pihak kerajaan bahawa perpaduan kaum dan integrasi nasional di Malaysia merupakan suatu masalah yang sudah lama terpendam. Rukun Negara bertujuan mewujudkan perpaduan antara kaum melalui amalan unsur-unsur kemanusiaan sejagat seperti kepercayaan kepada Tuhan, kedaulatan undang-undang dan pemupukan sifat-sifat keperibadian yang tinggi.

6.0       RUMUSAN
Secara keseluruhannya, konsep pembinaan negara bangsa adalah sesuatu yang melibatkan proses yang panjang. Namun begitu, walaupun ia merupakan proses yang sukar, pembinaan negara bangsa amat penting dalam sesebuah negara masyarakat majmuk seperti di Malaysia. Pembinaan negara bangsa yang mantap memerlukan penyertaan menyeluruh dari setiap anggota masyarakat dan jentera kerajaan.

Ancaman luar akan datang tanpa mengira masa dalam pelbagai bentuk sama ada secara langsung atau tidak langsung. Justeru itu, Malaysia harus bersedia dengan asas pegangan nasionalisme yang betul iaitu nasionalisme yang dimiliki oleh sebuah kumpulan. Tetapi jika nasionalisme yang dipegang itu masih lagi berasaskan semangat assabiyah, maka negara tidak akan maju kerana banyak masa dan kos terbuang begitu sahaja.


Kerajaan telah berusaha menyusun semula masyarakat melalui dasar-dasar yang dijalankan sejak berlakunya peristiwa 13 Mei 1969. Kerana itu generasi hari ini harus memahami kedudukan masyarakat pada masa dahulu dan menjadikannya iktibar dan panduan di masa hadapan dalam membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu.