Saturday, February 3, 2018

BENTUK PENTADBIRAN PENJAJAH DI TANAH MELAYU

1.0      BENTUK PENTADBIRAN PENJAJAH DI TANAH MELAYU

Tanah Melayu merupakan kawasan yang strategik yang berada di tengah-tengah jalan perdagangan antara timur dan barat. Sumber alam semulajadinya yang melimpah luah seperti rempah, bijih timah dan hasil-hasil hutan menarik minat kuasa asing dari eropah untuk menguasainya. Portugis, Belanda, British dan Jepun adalah kuasa-kuasa asing yang telah menjajah Tanah Melayu dan mengaut hasil bumi Tanah Melayu untuk kepentingan mereka. Setiap jajahan oleh kuasa-kuasa asing, Tanah Melayu atau kini dikenali sebagai Malaysia menerima banyak impak sama ada impak positif atau impak negatif.

Ternyata, impak-impak jajahan kuasa-kuasa asing ini banyak memberi kesan terhadap politik, ekonomi dan sosial penduduk di Tanah Melayu. British merupakan negara penjajah yang paling banyak meninggalkan kesan ke atas sosio budaya  di Tanah Melayu. Penjajahan di Tanah Melayu bermula apabila Portugis menakluki Melaka pada 1511 sehingga 1641, Belanda pada tahun 1641 sehingga 1824, British pada tahun 1824 sehingga 1957 dan Jepun pada tahun 1941 sehingga 1945.



3.1       POLITIK
Prinsip, sistem, struktur dan dasar yang diamalkan dalam pemerintahan mereka adalah jauh berbeza dengan sistem dan dasar pemerintahan yang telah sedia ada dan diguna pakai di Tanah Melayu. Pengenalan Sistem Residen ketika era penjajahan British misalnya telah mengubah sistem politik tradisional negeri-negeri Melayu kepada sistem politik moden. Pentadbiran peringkat negeri diketuai oleh sultan yang dibantu oleh residen. Negeri pula dibahagikan kepada beberapa buah daerah yang diketuai oleh pegawai daerah. Sistem pentadbiran daerah pula dibahagikan kepada beberapa buah mukim yang diketuai oleh penghulu. Mukim dipecahkan kepada unit-unit yang lebih kecil iaitu kampung. Pada dasarnya, sistem politik tradisional masih dikekalkan tetapi fungsinya diubah mengikut keperluan semasa. Sultan juga terpaksa untuk menurut kata-kata residen di negeri mereka. Walaupun Sultan bertindak sebagai ketua negeri tetapi bidang kuasa Sultan adalah terhad. Secara tidak langsung, kedudukan raja-raja dan pembesar Melayu dikekalkan tetapi bidang kuasa mereka dikurangkan.

            Pada era penguasaan Portugis di Melaka, Portugis lebih bersifat ekonomi kerana mereka ingin menguasai perdagangan rempah di Kepulauan Melaka. Oleh yang demikian, Portugis tidak mengubah keseluruhan sistem pentadbiran yang wujud di Melaka. Sebaliknya Portugis telah memperkenalkan dasar monopoli perdagangan semasa berkuasa di Melaka. Bagi penjajahan Belanda ke Tanah Melayu pula, bermula dengan kedatangan Belanda ke Tanah Melayu apabila Belanda menakluki Melaka pada tahun 1641 dengan bantuan Johor. Setelah Belanda berjaya menguasai Melaka, mereka menjalankan dasar berbaik-baik dengan kerajaan Johor. Belanda juga berusaha untuk memonopoli perdagangan bijih timah di Perak dan Kedah melalui perjanjian dengan Sultan Perak dan Sultan Kedah. 

            Selain itu, bentuk pentadbiran Jepun pula ketika era penjajahannya bercirikan sistem ketenteraan yang berpusat di Singapura. Pentadbiran tentera berada di bawah tanggungjawab Mejar General Manaki Keishi dan urusan pentadbirannya dilakukan oleh Kolonel Watanabe Wataru. Satu pentadbiran pusat ditubuhkan dengan diketuai oleh seorang Presiden (Gunseikan) yang bertanggungjawab kepada Ketua Kepala Agung Tentera, Kawasan Ketujuh di Singapura. Tanah Melayu dan Singapura disatukan dalam satu unit politik. Pada waktu itu Jepun telah menukar nama Singapura kepada Syonan yang bermaksud ‘Cahaya Selatan’ dan Tanah Melayu sebagai Malai Baru dan dibahagikan kepada lapan wilayah dengan diketuai oleh seorang Gabenor Jepun (Syuchokan) yang bertanggungjawab kepada pentadbiran pusat di Singapura.

Tujuan Jepun memisah-misahkan pentadbiran negeri-negeri melayu adalah disebabkan kebimbangan Jepun terhadap penyatuan tenaga dan membentuk satu pasukan menentang Jepun. Jepun juga membahagikan daerah kepada beberapa kawasan kecil yang terdiri daripada unit-unit kampung, jiran tetangga dan keluarga untuk memudahkan pentadbiran. Jepun juga mengekalkan pentadbiran yang diamalkan oleh Britsh secara tidak langsung. Namun begitu, Jepun mengamalkan dasar memusuhi Cina dan India pula digalakkan melibatkan diri dalam gerakan menuntut kemerdekaan.

3.2       EKONOMI
Struktur penjajahan Eropah dari aspek ekonomi, dapat dilihat melalui kewujudan sistem ekonomi dualisme. Sistem ekonomi dualisme merujuk kepada dua tumpuan ekonomi yang berbeza namun ianya bergerak seiringan dengan garis etnik. Dua bentuk eksploitasi ekonomi utama yang dilakukan oleh British ialah perlombongan dan perladangan getah. Penjajah British telah mewujudkan pembahagian etnik berdasarkan pembahagian pekerjaan dimana Melayu berada dalam sektor kerajaan dan pertanian, manakala Cina sebagai pelombong dan peniaga, dan orang India sebagai pekerja estet dan ladang. Oleh itu melalui dasar ini banyak memberi impak negatif tehadap masyarakat pada ketika itu. Antara kesan negatifnya ialah aktiviti berdasarkan kaum, ia berlaku apabila orang Melayu bekerja sebagai peladang dan tinggal di kawasan yang tidak maju, manakala orang Cina bekerja sebagai ahli perniagaan dan tinggal dikawasan maju dan orang India bekerja sebagai penoreh getah dan tinggal di estet.

             Selain itu. ketika era penjajahan Portugis di Melaka pula, matlamat Portugis lebih kearah bersifat ekonomi kerana ketika itu mereka mahu menguasai perdagangan rempah di kepulauan Melaka. Dasar memonopoli perdagangan diperkenalkan oleh mereka iaitu para pedagang dipaksa untuk berdagang di Melaka. Di samping itu, pedagang yang enggan mematuhi peraturan tersebut, kapalnya akan dimusnahkan dan barang dagangannya akan dirampas. Pedagang juga perlu mendapatkan surat kebenaran untuk berdagang di Melaka. Oleh yang demikian, kejayaan menakluki Melaka mendorong kuasa Eropah yang lain seperti Belanda dan Britain untuk berdagang ke Asia Tenggara.

            Penaklukan Melaka oleh Belanda dari Portugis pula memperlihatkan tujuan Belanda adalah untuk menguasai  perdagangan rempah di Asia Tenggara dan perdagangan bijih timah di negeri-negeri Melayu. Namun begitu, Belanda tidak berminat untuk memajukan  Melaka sebagai pusat perdagangan.  Ini disebabkan Belanda hanya ingin memajukan Betawi yang merupakan pusat pentadbiran dan perdagangan di timur. Melaka hanya dijadikan kubu perdagangan untuk mengawal perdagangan dan perkapalan di samping menjadi pusat pengumpulan barang keperluan sahaja.  Kapal-kapal yang ingin melalui Selat Melaka mesti mendapatkan surat kebenaran daripada Belanda. Para pedagang yang singgah berdagang di Melaka turut dikenakan cukai yang tinggi.

            Jepun pula telah memperkenalkan sistem ekonomi terkawal di Tanah Melayu ketika penjajahannya. Melalui sistem ini, Jepun tidak membenarkan kegiatan perdagangan dijalankan sama ada mengeksport barangan ke Eropah atau Amerika Syarikat dan membeli barangan dari luar. Maka dengan itu, Jepun telah menggalakkan pertumbuhan industri tempatan bagi memenuhi permintaan dalam negeri. Dalam industri tempatan ini, hampir kesemua barangan yang dihasilkan menggunakan bahan mentah tempatan kerana  Jepun dalam pentadbirannya tidak membenarkan import barangan atau bahan mentah daripada luar Negara. Industri yang dijalankan hanya dalam bentuk kecil-kecilan sahaja seperti makanan, minyak jentera, pengangkutan, perubatan, pakaian ,rokok, arak, sabun dan barangan keperluan tentera. Pemerintahan Jepun juga mengamalkan dasar monopoli dengan menguasai perusahaan penting dalam negeri menerusi beberapa buah syarikat yang dimilikinya. Selain itu, Jepun turut merampas semua kegiatan ekonomi yang dimiliki oleh orang cina dan Eropah seperti perusahaan perlombongan, perdagangan, pengangkutan dan bank perdagangan. Perusahaan getah pada waktu itu pula tidak berkembang kerana kegiatan eksport tidak dijalankan dan ditebang untuk penanaman tanaman yang menghasilkan makanan.

            Berdasarkan hasil pembacaan, penulis berpendapat bahawa terdapat perbezaan yang begitu ketara dasar-dasar yang telah diperkenalkan oleh penjajah seperti yang telah tertulis di atas. Walaupun terdapat perbezaan struktur pemerintahan atau dasar pentadbiran yang telah diperkenalkan oleh mereka, namun matlamat dan tujuan mereka tetap sama iaitu untuk mengaut segala keuntungan ekonomi semata-mata daripada hasil tanah jajahan. Kekayaan hasil bumi di tanah Melayu telah mengundang penjajah-penjajah ini datang untuk berebut hak kekuasaan perdagangan terutamanya di kepulauan Melayu. Dengan menguasai negeri yang maju ekonomi dan perdagangannya, maka mudah untuk penjajah mengeksploitasi sumber ekonomi negeri dan dapat meluaskan pengaruh kekuasaannya.

3.3       SOSIAL
Dari aspek sosial, penubuhan Sekolah Inggeris di Tanah Melayu pada waktu itu telah memberi peluang kepada penduduk Tanah Melayu mempelajari bahasa Inggeris dan menyambung pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Selain itu, sektor kesihatan bandar dan luar bandar mengalami perkembangan pada era kedatangan British kerana masyarakat Melayu sebelum kedatangan penjajah British kebanyakannya mengamalkan perubatan secara tradisional dan bergantung kepada pawang atau bomoh untuk mengubati penyakit. Penjajahan British di Tanah Melayu telah memperkenalkan sistem perubatan moden dengan adanya doktor, jururawat, klinik, palang merah dan pusat-pusat kesihatan. Lama-kelamaan pusat-pusat kesihatan ini telah berkembang daripada bandar ke kawasan luar bandar.

Selain itu, ketika penjajahan Portugis, matlamat asalnya adalah untuk mengembangkan agama. Antara kesan peninggalan penjajah Portugis hingga ke hari ini ialah kewujudan masyarakat, akibat perkahwinan orang Portugis dengan penduduk tempatan , pengenalan tulisan rasmi kepada  masyarakat melayu , kewujudan perkataan yang berasal dari bahasa Portugis (seperti palsu, almari , jendela , garpu dan tuala) . Kesan yang penting ialah kejatuhan kesultanan melayu melaka dan membawa kepada kemunculan kerajaan melayu-Riau , namun pengaruhnya tidak berkesan. .

Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, Jepun telah menerapkan Dasar Niponisasi iaitu dasar penjepunan terhadap Tanah Melayu. Antara dasar yang diterapkan ialah layanan yang berbeza diberikan kepada penduduk tempatan oleh pihak Jepun. Semua kaum iaitu orang melayu, Cina dan India mengalami penyeksaan, penderitaan, kebuluran, ketakutan dan pengangguran. Layanan yang berbeza ini menyebabkan atau mewujudkan permusuhan kaum antara orang Cina dengan orang Melayu. Dasar Penjepunan juga dilakukan dalam sistem pendidikan iaitu sekolah-sekolah Inggeris dan Tamil diganti dengan sistem pendidikan Jepun. Sistem pendidikan ini menekankan beberapa aspek seperti pembentukan akhlak dan disiplin taat setia kepada Maharaja Jepun dan kepatuhan kepada kerajaan Jepun. Selain itu kebudayaan Jepun disebarkan melalui sisitem pendidikan Jepun. Orang tempatan diajar tentang istiadat dan lagu kebangsaan Jepun iaitu Kamigayo. Lagu ini dinyanyikan pada setiap pagi ketika menghadap matahari terbit.

Oleh itu, penulis berpendapat bahawa pihak penjajah tidak berniat sedikitpun hendak memajukan pendidikan di tanah jajahan mereka. Mereka hanya mementingkan kemajuan bangsa mereka sendiri. Mereka memberi pendidikan yang dapat membawa kepentingan peribadi semata-mata dan dapat menaikkan nama dan imej mereka dengan orang Melayu mempelajari bahasa Inggeris sebagai keutamaan. Contohnya British yang menubuhkan sekolah Inggeris ketika era penjajahannya, tetapi tidak memperdulikan pendidikan anak-anak Melayu, Cina dan India.  Walaubagaimanapun, ketika era pendudukan Jepun di Tanah Melayu, dasar pendidikan Jepun kepada masyarakat Melayu adalah lebih baik walaupun berlaku proses penjepunan dalam diri pelajar di sekolah. Dalam zaman pendudukan Jepun sukatan yang diajarkan meliputi bidang-bidang Matematik, Pertanian, Sains dan pelbagai subjek akademik lain. Hal ini mendedahkan orang-orang Melayu kepada ilmu pengetahuan. Guru-guru Melayu dihantar ke Jepun untuk menambahkan pengetahuan berbahasa. Menerusi kegiatan ini, penulis berpendapat bahawa ia sebenarnya menambahkan intelek Melayu yang akhirnya dapat digunakan untuk mencetuskan semangat dan kesedaran nasionalisme.

4.0       RUMUSAN
Kesimpulannya adalah penting untuk memahami dan menghayati tentang kewujudan kerajaan-kerajaan melayu di tanah air suatu ketika dulu. Pemahaman ini dapat melahirkan kesedaran tentang wujudnya satu ketamadunan melayu yang tinggi pada zaman dahulu. Oleh itu harapan penulis kepada generasi masa kini ialah menghayati dan menghargai sejarah negara dan seterusnya mengukuhkan jati diri terhadap tanah air. Fenomena ini juga menjadikan tamudan Malaysia hari ini padat dengan gabungan asimilasi dan sikritisme berbagai-bagai budaya yang membentuk budaya Malaysia yang unggul.

Sebagai warganegara , kita perlu mengetahui asal usul bangsa sendiri dengan pengetahuan ini maka akan dapat melahirkan warganegara yang sayang akan Negara dan tidak mudah lupa diri apabila berada di negara orang. kami cadangkan supaya pelajar-pelajar di Malaysia menittikberatkan hal yang berkaitan dengan sejarah-sejarah Malaysia agar dapat mengenang jasa-jasa pahlawan negara yang sanggup berkorban untuk mempertahankan tanah air daripada dijajah.




RUJUKAN
A. Samad Ahmad. (1984). Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Abdul Rahman Abdullah. (2000). Sejarah dan Tamadun Asia Tenggara, Sebelum dan
            Sesudah Pengaruh Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications.
Ahmad Jelani Halimi. (2008). Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu. Kuala Lumpur:             Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Buyong Adil. (1972). Sejarah Perak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hasnah Hussin & Mardiana Nordin. (2007). Pengajian Malaysia. Kuala Lumpur:                     Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Morgan W.S (1952). The Story of Malaya. Singapura: Malaysia Publishing House.
Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman. (1988). Isu-isu Arkeologi dan Seni Purba
Lembah Bujang (Abad 5-14 Masihi). Bangi: Jabatan Sejarah Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Rajentheran M. (1999). Sejarah Melayu Kesan Kebudayaan Melayu dan India. Kuala
 Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Shellabear W.G. (1961). Sejarah Melayu. Singapura: Malayan Publishing House Ltd.
Mohd. Isa Othman. (2002). Sejarah Malaysia (1800-1963). Kuala Lumpur: Utusan
 Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Zaharah Bte Mahmud. (1995). The period and the nature of ‘‘Traditional’’ Settlement           in the Malay Peninsula. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Azhar Mad Ros (1999). Pendudukan Jepun di Tanah Melayu: Satu Kajian Mengenai
            Bibliografi. Diakses pada 10 September dari laman web






No comments:

Post a Comment