Saturday, February 3, 2018

PERANAN PENJAJAH TERHADAP TANAH MELAYU, SABAH DAN SARAWAK

4.0       Peranan Penjajah
Melalui rentetan sejarah negara kita, terdapat begitu banyak perkara yang telah dibawa masuk ke dalam negara kita. Ia merangkumi dari aspek politik, ekonomi dan sosial. Peranan penjajah ketika itu bermotifkan kepada kepentingan mereka semata-mata iaitu memonopoli ekonomi di Tanah Melayu, Singapura dan Kepulauan Borneo merangkumi Sabah dan Sarawak. Setiap penjajah yang menjajah negara kita ketika itu seperti British dan Jepun merupakan satu kuasa besar dan kita hanya mampu menerima penjajahan mereka kerana mereka telah berada jauh ke depan daripada kita. Dari segi ilmu  pengetahuan, teknologi dan sistem pemerintahan mereka adalah mantap berbanding dengan kita. Antara peranan penjajah ketika itu adalah merangkumi aspek;

4.1       Politik
Melalui Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, British telah berkuasa penuh di Tanah Melayu sehingga menubuhkan Negeri-Negeri Selat. Semasa penjajahan British di Tanah Melayu sistem politik yang diamalkan adalah Sistem Residen. Residen berkuasa dalam semua hal kecuali berkaitan dengan agama Islam dan adat istiadat orang Melayu ketika itu. Sultan hanya berkuasa bahagian agama Islam dan adat istiadat orang Melayu serta terpaksa menerima nasihat Residen yang diajukan ketika itu. Pada ketika itu, kuasa Sultan adalah terbatas. British telah berkuasa dalam bidang politik, ekonomi dan sosial kerana segala keputusan yang dibuat adalah berdasarkan kepada nasihat Residen dan Sultan terpaksa akur dengan keputusan yang dibuat.

            Politik di Tanah Melayu ketika itu berdasarkan kepada sifat imperialisme yang telah diamalkan oleh pihak British. Imperialisme membawa maksud perkembangan kawalan sama ada secara langusng atau tidak. British menganggap bahawa mereka paling berkuasa menyebabkan mereka ingin membangunkan masyarakat yang mundur. Semasa Persekutuan Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan, British telah memastikan dahulu hubungan antara kaum terjalin baik. Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) ditubuhkan untuk mewujudkan perpaduan kaum. Selain itu, Sistem Ahli telah ditubuhkan oleh British bagi memastikan pemimpin dan penduduk Persekutuan Tanah Melayu bersedia berkerajaan sendiri. Semasa penjajahan Jepun, Jepun telah membangkitkan semangat Asia kepada penduduk Tanah Melayu dengan menggunakan slogan ‘‘Asia Untuk Orang Asia’’ dan ‘‘Kawasan Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya’’. Ini memberikan kesan kepada penduduk Tanah Melayu untuk mendapatkan kemerdekaan.

4.2       Ekonomi
Dari aspek ekonomi, dapat dilihat peranan penjajah amat ketara. Hal ini kerana penjajahan yang dilakukan oleh pihak British  adalah bertujuan mengaut keuntungan segala hasil bumi seperti bijih timah, kayu balak dan sebagainya. Atas pembawaan masuk imigran Cina dan India ke Tanah Melayu menyebabkan berlaku masyarakat majmuk pada masa kini. Pihak British telah memecah-mecahkan kelompok kaum ini mengikut ekonomi menyebabkan tidak berlaku hubungan perpaduan di antara kaum. Peranan British ketika itu adalah untuk meningkatkan ekonomi Tanah Melayu, meningkatkan infranstruktur dan mempersiapkan orang Melayu berkerajaan sendiri.

            Pada zaman penjajahan Jepun iaitu pada Disember tahun 1941. Ekonomi yang dijalankan adalah ekonomi sara diri kerana kemusnahan yang teruk semasa pihak Jepun berperang dengan kerajaan British. Pihak Jepun tidak mengeksport  barang-barang kepada negara-negara Eropah ketika itu. Catuan makanan telah dilaksanakan oleh pihak Jepun. Peranan Jepun ketika itu hanyalah untuk menjadi kepentingan mereka semata-mata. Setelah Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, ekonomi Persekutuan Tanah Melayu telah digubal semua dengan pertubuhan-pertubuhan pembangunan ekonomi luar bandar, sehinggalah pada tahun 1970 Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah diperkenalkan. DEB bermatlamatkan membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat bagi mengurangkan dan menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.

4.3       Sosial
Dari aspek sosial, peranan penjajah amat besar dan dapat dilihat dengan jelas. Perkara utama yang dilihat adalah pendidikan. Pendidikan merupakan perkara penting yang dititikberatkan oleh penjajah. Sebelum mencapai kemerdekaan British telah melaksanakan sistem pendidikan berteraskan sistem pendidikan Inggeris. Walaupun wujudnya sekolah Inggeris namun bukan semua anak-anak Melayu dapat memasukinya. Hal ini berlaku disebabkan British berpendapat jika orang-orang Melayu belajar dengan pandai akan menyebabkan kedudukan Inggeris tergugat. Pada zaman penjajahan, dasar pendidikan, sistem pendidikan, keberkesanan positif, perpaduan dan pelaksanaan mempunyai banyak kelemahan semasa penjajahan British. Semasa penjajahan British juga mereka telah memperkenalkan Sekolah Jenis Vernakular. Selain itu, satu badan telah dibina iaitu Jawatankuasa Penasihat Pusat pada tahun 1949 untuk mengurangkan jurang antara kaum dan mengintegrasikan semua kaum ke arah satu negara yang satu. Tetapi cadangan Jawatankuasa ini telah ditolak oleh Majlis Perundangan Persekutuan kerana bercanggah dengan pendidikan di Tanah Melayu pada tahun 1950.

Oleh itu, lahirlah kajian yang dilakukan oleh pihak British seperti L.J Barnes dan H.R Cheeseman yang berperanan sebagai perintis kepada peningkatan sistem pendidikan di Tanah Melayu. Sekolah Vernakular Melayu, Cina dan India terpisah-pisah antara satu sama yang lain mengikut kegiatan ekonomi dan kepentingan kaum mereka. Maka dari segi pendidikan jelas di sini menyebabkan kesukaran untuk mencapai perpaduan. British tidak memainkan peranan yang adil terutama dari segi layanan yang setaraf kepada semua bangsa. Contohnya, sekolah vernakular Melayu dan Tamil hanya terhad untuk sekolah rendah sahaja, manakala sekolah vernakular Cina mendapat keistimewaan melalui Sekolah Rendah (6 tahun), Junior Middle (3 tahun) dan Senior Middle (3 tahun). Lulusan untuk sekolah Melayu hanya setakat  memenuhi keperluan tenaga manusia yang paling rendah. Oleh sebab itu, peranan British yang dapat dilihat adalah melahirkan pelbagai sekolah di Tanah Melayu ketika itu seperti Sekolah Pondok yang sedia ada, Sekolah Inggeris dan Sekolah Vernakular.

Selain itu, pihak British juga telah mula membantu masyarakat Tanah Melayu apabila menyedari pentingnya pendidikan apabila Tanah Melayu ingin berkerajaan sendiri. Laporan Barnes 1950 telah digubal oleh L.J Barnes untuk meningkatkan pendidikan masyarakat Tanah Melayu. Beliau telah mengesan Sekolah Vernakular telah memberi kesan buruk kepada perpaduan masyarakat. Oleh itu, beliau telah membubarkan Sekolah vernakular dan menggantikannya kepada Sekolah Kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris sebagai bahasa pengantar . Hal ini juga dapat menghilangkan rasa perkauman antara kaum. Pada tahun 1951, Laporan Fenn-Wuu dibuat untuk mempertahankan Sekolah Vernakular Cina. Perkara yang dibangkitkan adalah penggunaan bahasa pengantar adalah bahasa Melayu, Inggeris dan bahasa ibunda setiap kaum di Tanah Melayu.

 Pada tahun 1956, Penyata Razak telah digubal untuk meningkatkan sistem pendidikan Tanah Melayu akibat kelemahan Laporan Barnes dan Fenn-Wuu. Sekolah Vernakular dan Sekolah Kebangsaan telah dikekalkan untuk memastikan keadilan kepada sistem pendidikan dengan bantuan pihak British. Bahasa pengantar adalah mengikut jenis sekolah, sekolah kebangsaan bahasa pengantarnya Bahasa Melayu dan Inggeris manakala Sekolah Vernakular bahasa pengantarnya adalah Bahasa Melayu dan Inggeris sebagai matapelajaran wajib dan bahasa ibunda setiap kaum. Di sekolah kebangsaan sekiranya terdapat 15 orang murid berbangsa Cina  dan India, maka mata pelajaran bahasa ibunda mereka akan diajar. Bagi memantapkan sistem pendidikan pihak British telah memberi petunjuk dan pemerhati kepada penambahbaikkan sistem pendidikan di Tanah Melayu. Laporan Rahman Talib telah dibina pada tahun 1961 untuk memantapkan lagi sistem pendidikan yang sama kepada semua sekolah di Tanah Melayu ketika itu.


Pada awalnya pihak British telah melaksanakan sistem pendidikan yang membawa kesan negatif kepada perpaduan kaum namun setelah menyedari sudah tiba masanya Tanah Melayu berkerajaan sendiri, pihak British tampil membantu pemimpin-pemimpin Tanah Melayu untuk meningkatkan sistem pendidikan. Akhir kata, dapat dijelaskan bahawa pihak British membawa kepada kebaikan sistem pendidikan negara kita apabila mereka memperlihatkan cara-cara untuk meningkatkan pendidikan sekaligus dapat memakmurkan perpaduan kaum yang longgar walaupun pada awalnya mereka yang menghasilkan sistem pendidikan vernakular ini.

No comments:

Post a Comment