Saturday, February 3, 2018

OBESITI DI MALAYSIA (PENCEGAHAN DAN AMALAN PEMAKANAN)

1.0       Obesiti di Malaysia
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (2011), obesiti merupakan pengumpulan lemak yang berlebihan yang menimbun di dalam badan seseorang. Obesiti kini dianggap sebagai satu penyakit dan terjadi apabila tisu-tisu lemak menjadi keterlaluan. Lebih teruk lagi, obesiti boleh mengganggu dan mencederakan organ-organ badan dan seterusnya akan menyebabkan masalah kesihatan yang serius. Selain daripada menghadkan aktiviti fizikal dan sosial, jangka hayat penghidapnya juga semakin pendek.
Laporan yang dikeluarkan oleh National Health Morbility Survey 2011 menunjukkan golongan dewasa yang berumur 18 tahun dan keatas dikategorikan sebagai pra obesiti seramai 5.4 juta iaitu 33 peratus dan 4.4 juta iaitu 27.2 peratus adalah obesiti, manakala bagi golongan kanak-kanak bawah umur 18 tahun seramai 0.3 juta iaitu 3.9 peratus berada dalam kategori obesiti (KKM, 2011). Isu obesiti atau berat badan berlebihan merupakan masalah yang juga kian meningkat di kalangan kanak-kanak. Kanak-kanak obes lazimnya mengalami masalah berat badan apabila dewasa kelak. Obesiti selalunya dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular, pernafasan dan juga diabetes.
Selain itu, Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi 30 atau 35 dikategorikan sebagai penghidap obesiti. Malaysia turut terkesan dengan peningkatan isu obesiti bagi semua peringkat umur dan peratusan tertinggi adalah golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas. Peningkatan terhadap masalah ini bagi golongan dewasa dan kanak-kanak secara mendadak akan menunjukkan kesan negatif terhadap kesihatan dengan lebih jelas pada masa yang akan datang.


2.0       Pencegahan Obesiti Melalui Pengamalan Pemakanan Mengikut Piramid Makanan Baru
2.1       Melakukan senaman secara kerap dan konsisten
Senaman merupakan pergerakan badan yang dilakukan secara berulang-kali secara terancang dan berstruktur bertujuan untuk meningkatkan atau mengekalkan satu atau lebih komponen kecergasan fizikal. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, dalam PMB telah meletakkan senaman yang kerap dan pengawalan berat badan seimbang sebagai tunjang utama dalam penjagaan kesihatan terbaik. Senaman berterusan dan pada masa yang sama mengamalkan diet seimbang dapat membantu mengawal masalah berat badan yang berlebihan seperti obesiti. Ini kerana obesiti akan meningkatkan risiko untuk mendapat pelbagai penyakit seperti diabetes, penyakit jantung dan batu karang. Tambahan pula, lemak dan kalori yang berlebihan dapat dibakar di dalam badan melalui aktiviti-aktiviti senaman seperti berjalan pantas, berbasikal dan berenang.
Selain itu, senaman juga dapat mengurangkan risiko penyakit kanser. Kajian perubatan mengesahkan bahawa tahap kecergasan yang rendah akan meningkatkan risiko mendapat sesetengah penyakit yang berkaitan dengan kanser (Pertubuhan Kesihatan Sedunia, 2003). Bersenam secara konsisten juga mampu meningkatkan perasaan menghargai diri sendiri dan menjadikan diri lebih positif dan tenang. Namun begitu, tidak ramai individu yang gemar untuk melakukan aktiviti senaman. Mereka sering memberi seribu satu alasan untuk melakukan senaman terutamanya dihambat dengan urusan kerja, kuliah dan sebagainya. Hal ini demikian kerana, kebanyakan individu sibuk dengan aktiviti seharian tanpa memikirkan betapa pentingnya untuk menjaga kesihatan dengan sebaiknya. Bersenam sebagai gaya hidup akan menjadikan kehidupan lebih aktif dan lebih penting ialah menikmati kehidupan sihat dan jangka hayat yang lebih panjang.

2.2       Pengamalan sarapan pagi yang betul
Keadaan semasa menunjukkan bahawa kebanyakan penyakit merbahaya menimpa ramai orang akibat daripada amalan gaya hidup yang tidak sihat. Ribuan rakyat Malaysia mengamalkan cara hidup yang tidak sihat sejak kecil lagi. Salah satunya, ramai di kalangan generasi muda hari ini terutamanya remaja tidak mengambil berat tentang kepentingan mengambil sarapan pagi. Mereka meninggalkan sarapan pagi dengan pelbagai alasan seperti tiada selera makan pada waktu pagi dan tidak sempat untuk menyediakan sarapan pagi.
Namun begitu, kajian sains di seluruh dunia telah membuktikan bahawa sarapan pagi adalah penting untuk kita. Sarapan adalah makanan untuk otak. Otak kita akan menjadi lebih cergas, peka, dan fokus dengan bersarapan secara tetap. Individu yang mengambil sarapan yang kaya dengan karbohidrat kompleks membolehkan mereka menumpukan perhatian terhadap pelajaran dan menyelesaikan masalah dengan lebih baik. Hal ini demikian kerana karbohidrat yang diambil pada waktu pagi akan merangsang paras glukosa dan mikro nutrien dalam otak.
. Tabiat tidak mengambil sarapan berkait rapat dengan isu obesiti. Kajian menunjukkan individu yang mengalami masalah obesiti kebanyakannya adalah mereka yang tidak mengambil sarapan dan pengamalan sarapan yang salah. Kajian juga mendapati meninggalkan makanan terutama sarapan menjadikan kawalan berat badan semakin sukar. Ini kerana seseorang yang tidak bersarapan cenderung untuk mengambil makanan dengan kuantiti yang banyak pada waktu tengah hari dan tidak berkhasiat serta tinggi kalori seperti makanan ringan untuk menghilangkan kelaparan. Beberapa kajian menunjukkan tabiat sebegini akan mengumpulkan lebih banyak lemak di dalam badan dan mengandungi kandungan kalori yang tinggi yang diambil secara kerap.
Oleh yang demikian, kita hanya digalakkan mengambil sarapan dengan kuantiti karbohidrat yang sedikit seperti produk bijirin contohnya biskut, roti atau buah-buahan serta elakkan mengambil makanan berat seperti nasi, daging atau makanan berminyak di awal pagi (mengikut piramid makanan). Ini kerana kita hanya memerlukan tenaga sekadar cukup untuk otak bekerja di awal pagi.

2.3       Elakkan pengambilan lemak dan kalori berlebihan
Pengambilan lemak dan kalori berlebihan sememangnya dikaitkan dengan risiko seperti sakit jantung, diabetes dan beberapa kanser tertentu. Tambahan pula, ia turut menjadi punca utama kepada penyakit kronik seperti obesiti. Inilah sebabnya mengapa makanan yang berminyak dan berkolesterol tinggi diletakkan di bahagian atas atau puncak piramid makanan kerana ia hanya diperlukan dalam kuantiti yang sedikit di dalam badan. Paras kolesterol dalam darah juga boleh meningkat sekiranya makanan yang banyak mengandungi kolesterol dan makanan kurang makan makanan serat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran yang sepatutnya dimakan lebih banyak (terletak di aras 2 PMB).
Selain daripada itu, amalan gaya hidup moden merupakan salah satu faktor yang menunjangi masalah ini. Pada zaman millennia yang serba canggih kini, semua orang terlalu sibuk dengan hal dan kerjaya masing-masing hingga mengabaikan pengambilan pemakanan seimbang dalam kehidupan seharian mereka. Mereka lebih gemar mengambil makanan segera dan tidak berkhasiat seperti mi segera, minuman berkarbonat, burger dan sebagainya. Saintis di seluruh dunia mendapati bahawa makanan-makanan tersebut tidak dapat menampung keperluan zat yang diperlukan oleh badan. Oleh itu,amalan ini mestilah dielakkan dan pengambilan pemakanan yang mempunyai serat yang tinggi amatlah digalakkan. Selain penting untuk sistem pencernaan, serat lebih terkenal di dalam membantu mengurangkan kolesterol serta mencegah penyakit berkaitan dengan kolesterol tinggi. Contoh makanan yang mempunyai serat yang tinggi adalah segala jenis buah-buahan dan sayuran. Makanan ini terletak di aras 2 piramid makanan, iaitu yang terpenting selepas senaman dan pengawalan berat yang berada di aras 1 piramid makanan (PMB). Makanan berserat ini amat digalakkan disamping fungsinya juga sebagai pelawas.

3.0       RUMUSAN
Makanan merupakan sumber tenaga dan nutrien yang diperlukan untuk membiak, membesar dan berkembang, serta bergerak, bekerja, bermain, berfikir dan belajar. Tubuh memerlukan pelbagai jenis nutrien seperti karbohidrat, protein, lemak, vitamin, mineral dan serat daripada makanan untuk memperoleh kesihatan yang baik bagi mencapai kesejahteraan hidup. Tidak ada satu makanan pun yang dapat membekalkan kesemua nutrien yang diperlukan mengikut jumlah yang diperlukan oleh badan. Dengan demikian, adalah penting untuk mengambil pelbagai jenis makanan yang sihat dan seimbang untuk mencapai kesejahteraan hidup.

            Oleh itu, cara terbaik bagi mengatasi masalah penyakit-penyakit tersebut ialah pencegahan daripada peringkat awal khususnya di sekolah. Pengenalan kepada piramid makanan yang betul harus dilakukan sejak sekolah rendah lagi agar murid-murid dapat memahami dengan jelas keperluan pemakanan yang seimbang dan sihat dan pada masa yang sama, akan memberi cabaran kepada pengamal perubatan untuk memberi rawatan terbaik. Tidak ada makanan yang harus dipantangkan kecuali atas sebab-sebab perubatan. Justeru itu, pilihlah makanan harian daripada gabungan makanan berasaskan piramid makanan. Makanan yang berlainan membekalkan kombinasi tenaga (kalori) dan nutrien yang berbeza. Memakan pelbagai jenis makanan adalah cara yang terbaik untuk memenuhi keperluan tenaga dan nutrien agar hidup sihat sepanjang hayat.

No comments:

Post a Comment