Saturday, February 3, 2018

Peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w dari Kota Makkah ke Kota Madinah

3.0       Peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w dari Kota Makkah ke Kota Madinah

Nabi Muhammad s.a.w telah berdakwah di Kota Makkah selama 13 tahun dengan menghadapi pelbagai cabaran dan ancaman yang diterima daripada masyarakat Arab Quraisy di Makkah semasa menyebarkan Islam. Masalah ini mula berkurangan apabila Nabi Muhammad s.a.w memenuhi tuntutan wahyu dari Allah S.W.T supaya baginda berhijrah ke Kota Madinah. Hal ini kerana Allah S.W.T. akan sentiasa bersama Rasulullah s.a.w dalam memberi bantuan sepertimana dalam al-Quran yang membawa maksud “Jika kamu tidak menolong (muhammad s.a.w.), maka sesungguhnya Allah telah menolongnya; (iaitu) ketika orang kafir (musyrikin Makkah) mengeluarkannya (dari Makkah), sedang dia merupakan salah seorang daripada dua orang ketika keduanya berada dalam gua, diwaktu dia berkata kepada temannya. ‘Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.” (Surah at-Taubah ayat 40).

3.1       Kaitan Antara Penjelajahan dan Penerokaan Dan Peristiwa Hijrah
            Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah

3.1.1    Perintis Kepada Kekuatan Masyarakat Islam
Penjelajahan dan penerokaan Islam berkait rapat dengan peristiwa Hijrah Nabi Muhammad s.a.w. Hijrah Rasulullah s.a.w dari Kota Makkah ke Kota Madinah merupakan pemangkin kepada kebangkitan dan kekuatan umat Islam. Secara tidak langsung, tindakan Rasulullah s.a.w  telah menjadi contoh dan teladan kepada para penjelajah dan peneroka Islam yang menjelajah dan meneroka untuk mengubah atau mencari ruang hidup yang lebih baik.

Menerusi hijrah telah mempertingkatkan keyakinan dan keimanan serta tabah dalam memperjuangkan keadilan dan kebenaran. Menerusi semangat hijrah, umat Islam telah berjaya membebaskan masyarakat dari belenggu penjajahan Rom dan Parsi. Dalam tempoh tidak sampai satu abad umat Islam telah berjaya mendirikan sebuah empayar besar. Semangat dan perjuangan hijrah Nabi Muhammad SAW telah memberi dorongan dan perangsang kepada umat Islam berhijrah, belayar, meneroka ke kawasan-kawasan yang lebih jauh merentasi benua dan lautan samudera.

Oleh itu, tidak hairanlah pada abad ke-9M bidang geografi dan pelayaran telah dikuasai sepenuhnya oleh umat Islam,pada zaman itu dan zaman berikutnya lahirlah tokoh-tokoh ahli pelayaran Islam seperti al-Mas`udi, Ibn Battutah, Ibn Majid dan ramai lagi, seperti yang akan dinyatakan di bawah, yang telah berjaya menghasilkan bahan-bahan penyelidikan serta teori-teori yang berkaitan dengan ilmu geografi dan ilmu pelayaran.

3.1.2    Perkembangan dan Penyebaran Ajaran Islam
Menurut Mahdi Shuid, Rumaizuddinn Ghazali & Hazlina Mansor (2008), semasa Rasulullah s.a.w di Kota Makkah, orang kafir Quraisy menganggap bahawa ajaran agama dibawa oleh baginda s.a.w akan menggugat kedudukan mereka seperti takut kehilangan kuasa dan pengaruh dan takut menggugat sistem ekonomi mereka. Contohnya, penjualan dan penyembahan berhala yang sememangnya dilarang dalam Islam seterusnya membawa kesan kepada hilangnya punca pendapatan mereka. Oleh itu, orang kafir Quraisy telah menggunakan berbagai-bagai cara untuk menghalang penyebaran Islam sehingga sesiapa sahaja  yang memeluk agama Islam bakal diseksa dengan kejam.

 Antara umat Isam yang pernah diseksa dengan kejam selepas memeluk Islam adalah seperti keluarga Yassir iaitu anaknya Ammar dan isterinya Sumaiya, Bilal bin Khabab dan sahabat-sahabat lain. Dengan penghijrahan Rasulullah s.a.w ke Madinah, maka sebuah kerajaan Islam yang pertama dapat diperkenalkan iaitu kerajaan Madinah. Hal ini telah mengurangkan beban umat Islam itu sendiri dan juga telah memudahkan umat Islam dalam memulakan rancangan  untuk mengembangkan Islam. Dapat dikaitkan di sini bahawa penjelajahan dan penerokaan Islam bermula dan berkait rapat dengan peristiwa hijrah Nabi Muhammad s.a.w. Ia juga berkait rapat dengan tujuan penjelajahan dan penerokaan itu sendiri iaitu merupakan strategi jangka panjang penyebaran agama Islam. 


3.1.3    Perubahan Sosial dan Ekonomi
Hijrah juga telah membawa suatu perubahan sosial yang besar. Sewaktu di Makkah mereka hidup secara berkelompok atau berkalibah. Di kalangan masyarakat peniaga Musyrikin Makkah telah lahir sifat individualistik, iaitu hanya mementingkan diri sendiri. Di samping itu lahir pula kelas-kelas dalam masyarakat,iaitu golongan bangsawan dan golongan hamba. Golongan pertama boleh melakukan apa sahaja terhadap golongan kedua. Apabila berlaku hijrah nilai-nilai masyarakat jahiliyah itu telah dihapuskan dan diganti dengan nilai-nilai murni yang berasaskan akidah, syariah dan akhlak. Hidup berpuak-puak diganti dengan hidup sosial yang bersatu padu dalam bentuk ummah. Dalam sistem sosial baru Islam ini setiap orang diberikan hak dan kebebasan tanpa mengira agama,kaum dan keturunan.
        
Selepas hijrah ekonomi umat Islam semakin mantap dan kukuh. Walaupun pada peringkat awalnya mengalami sedikit kesusahan,akan tetapi dengan usaha dan kerjasama penduduk tempatan di Madinah menyebabkan masalah ini dapat diatasi dengan mudah.  Islam menggalakkan umatnya berusaha dan bekerja untuk mendapatkan rezeki yang halal. Hal ini dapat dijelaskan dalam al-Quran iaitu yang bermaksud “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat dan Allah melarang perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran agar kamu dapat mengambil pelajaran” (Surah al-Nahl ayat 90).  Kegiatan ekonomi Ummat Islam bermula tanpa apa-apa yang dibawah ke Madinah oleh Kaum Muhajirin tetapi berkat pertolongan Kaum Ansar telah memudahkan kehidupan mereka kerana kekayaan, harta dan segala-galanya telah ditinggalkan di Makkah.
  

4.0       RUMUSAN
Hasil dari perbincangan di atas, dapatlah dirumuskan di sini bahawa penjelajahan dan penerokaan amat penting dari perspektif Islam dan masyarakat masa kini. Kepentingan penjelajahan dapat dilihat dalam konteks dakwah, keilmuan, politik, ekonomi dan kebudayaan. Namun begitu, dari segi konsep ia amat berbeza dengan penjelajahan dan penerokaan Barat kerana umat Islam tidak terlepas dari batas-batas yang telah ditentukan oleh al-Quran dan as-Sunnah.

            Peristiwa menyambut Awal Muharam pada setiap tahun oleh umat Islam, khususnya di Malaysia ialah untuk memperingati sejarah penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dan kaum Muhajirin dari Kota Makkah ke Kota Madinah. Majlis sambutan yang diadakan setiap tahun ini bukan sahaja bagi mengenang perjuangan baginda s.a.w  malah dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang memahami sebenar-benarnya konsep hijrah.  Keinsafan dan kesedaran juga dapat dipupuk dalam diri setiap umat Islam betapa besarnya perjuangan baginda dan sahabatnya dalam menengakkan syiar Islam. Oleh itu, ia boleh dijadikan contoh dalam konteks kehidupan manusia hari ini.

            Jika difikirkan secara rasional, nyatalah bahawa penghijrahan itu adalah didorong dan didesak oleh keperluan untuk mencari sesuatu yang lebih baik dan lebih menguntungkan demi kebahagiaan dan kesejahteraan mereka. Sememangnya, Islam membenarkan mencari alternatif dalam menyelesaikan masalah. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT dalam Surah al-‘Ankabut, ayat 56 yang bermaksud: ‘‘Wahai hamba-hambaku yang beriman! Sesungguhnya bumi-Ku ini luas, oleh itu sembahlah aku sahaja’’. Sesungguhnya peristiwa hijrah ini menyimpan seribu satu rahsia yang perlu kita selidiki dan disingkap oleh umat Islam. Oleh yang demikian, umat Islam harus mengkaji apa yang terpendam dan tersirat di sebalik peristiwa ini dan menjadikan inspirasi dan dorongan semangat kepada kita dalam meneruskan perjuangan hidup serta memberi keinsafan atau kesedaran dalam diri sendiri.

No comments:

Post a Comment