Saturday, February 3, 2018

KONSEP DAN KEPENTINGAN PENJELAJAHAN DAN PENEROKAAN MASYARAKAT MASA KINI

1.0       PENGENALAN

1.1       Konsep Penjelajahan dan Penerokaan
 Penjelajahan bermaksud perihal menjelajah, mengelilingi atau berjalan-jalan ke merata-rata tempat atau daerah bertujuan untuk menyelidik dan mengkaji (Mahdi Bin Shuid, 2013). Penerokaan pula membawa bermaksud perihal perbuatan, usaha meneroka atau menerokai. Manusia melakukan penjelajahan dari tempat ke tempat berdasarkan keperluan semasa. Pada zaman prasejarah, masyarakat melakukan penjelajahan atas faktor-faktor seperti menampung keperluan makanan, mengembara, berlaku perubahan cuaca, menyebarkan agama lain, ingin meningkatkan kefahaman ilmu dan untuk menjaga keselamatan diri daripada ancaman musuh.

            Bagi para peneroka pula, mereka terdorong dengan kuat untuk mengembara bagi mencari penemuan-penemuan baharu dan kemudiannya ingin menakluk, berdagang dan mengembangkan ajaran agama bagi sesuatu tamadun. Hal ini dapat dilihat melalui tujuan utama kedatangan masyarakat Eropah contohnya Portugis belayar ke Timur pada abad ke-15 Masihi. Kedatangan Portugis ke Timur berkait dengan slogan ‘Gospel’ (keagamaan), ‘Gold’ (perdagangan) and ‘Glory’ (kemegahan). Semangat ingin tahu terhadap dunia luar khususnya benua Asia menjadi tarikan kuat kepada mereka kerana benua Asia kaya dengan bahan-bahan perdagangan seperti rempah, teh dan sutera yang menjadi keperluan kepada penduduk di Eropah.

2.0       Kepentingan Penjelajahan dan Penerokaan Terhadap Masyarakat Masa Kini
Penjelajahan dan penerokaan amat penting dalam Islam sebagaimana yang telah ditegaskan menerusi ayat-ayat al-Quran. Menurut Mahdi Shuid (2013), hal ini disebut dalam Surah Al-Haj, ayat 46 yang membawa maksud, ‘‘Apakah mereka tidak mengembara di muka bumi ini’’ dan Surah Yusof, ayat 10 yang bermaksud. ‘‘Apakah mereka tidak mengembara di muka bumi ini agar mereka melihat bagaimana orang terdahulu daripada mereka’’. Dalil-dalil di atas  membuktikan kepada kita bahawa Islam menggalakkan umatnya supaya menjelajah dan meneroka bumi yang luas ini.

2.1       Pengintelektualan
Penjelajahan dan penerokaan penting bagi menuntut ilmu pengetahuan. Islam memerintahkan umatnya mencari ilmu untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat. Dalam menjalankan kegiatan penjelajahan dan penerokaan, umat Islam telah dapat mencedok banyak ilmu pengetahuan sama ada dari tamadun sebelumnya ataupun dari pemerhatian alam ini. Antara ilmu tersebut ialah seperti ilmu astronomi, geografi, perubatan dan lain-lain. Umat Islam pada awal sejarahnya tidak mempunyai maklumat yang banyak berkenaan geografi. Namun begitu, selepas wilayah orang Islam menjadi luas mereka telah mula menterjemah buku-buku purba dari tamadun Yunani, Parsi, Mesir, India dan lain-lain. Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa daripada penjelajahan dan penerokaan amat penting.Ini kerana melalui penerokaan ini umat Islam dapat mempelajari ilmu geografi.

            Dari segi konteks masa kini, penjelajahan dan penerokaan masyarakat untuk menuntut ilmu amatlah digalakkan. Ini boleh dilihat melalui pengajian pelajar khususnya mahasiswa dari dalam ke luar negara. Graduan yang belajar di luar negara dapat memberi kesan positif kepada tenaga modal insan pendidikan berkualiti negara kita. Ini kerana diluar negara, sistem pendidikan mereka lebih baik dan canggih. Pengalaman yang banyak dapat menyumbang pendedahan yang luas dalam menguasai bahasa asing. Dari sudut sosial pelajar pula, pelajar terpaksa berhadapan dengan kejutan budaya dari negara-negara luar. Oleh itu, pelajar luar negara mestilah menjaga pergaulan mereka untuk mengelakkan mereka terpengaruh dengan perkara-perkara yang negatif. Namun, terdapat juga budaya-budaya asing yang memiliki contoh yang baik dijadikan sebagai tauladan.


2.2       Kebudayaan
Perkembangan kebudayaan amat berkait rapat dengan penjelajahan dan penerokaan. Akibat daripada penerokaan dan penjelajahan menyebabkan umat Islam menjadi berbilang bangsa. Kebudayaan yang terdapat di kalangan negeri-negeri Islam yang berbilang bangsa itu menjadikan kebudayaan Islam lebih kaya. Kebudayaan ini sedikit sebanyak pengaruh mempengaruhi satu sama lain. Melalui penjelajahan dan penerokaan ini juga kita dapat mengenal budaya kehidupan masyarakat lain khususnya yang berlainan bangsa. Kita dapat mengetahui gaya hidup mereka yang menarik dengan mendalami kebudayaan mereka.

Selain itu kita juga dapat mengembangkannya. Ia juga dapat diperkukuhkan melalui perkahwinan campur. ‘Kahwin campur’ ataupun kahwin rentas kaum adalah kahwin antara pasangan yang berbeza kaum. Dalam konteks negara seperti Malaysia, saya berpendapat kita amat wajar menggalakkan perkahwinan yang seperti ini. Ini kerana ia boleh mendekatkan antara kaum dalam negara ini. Jurang antara kaum akan berkurang dan menangkis perasaan syak wasangka antara kaum. Perkongsian budaya juga dapat dilakukan dan menjadikan ia lebih unik dan memudahkan pembinaan negara bangsa di Malaysia.

2.3       Penyebaran Agama Islam
Penerokaan dan penjelajahan amat penting dari segi menyebarkan Islam. Perkara ini dapat dilihat kepentingannya apabila ramai pendakwah Islam menjelajah dan meneroka ke seluruh dunia bagi memperkenalkan dan menyeru umat manusia memeluk Islam .Misalnya,kita dapat melihat di kalangan pendakwah yang terawal ke Alam Melayu. Antara mereka yang diketahui namanya ialah Syeikh Ismail yang menyebarkan agama Islam di Pasai.Syeikh Abdul Arif di utara Sumatera sebagaimana yang dicatatkan dalam Hikayat Acheh dan muridnya bernama Syeikh Burhanuddin yang menyebarkan agama Islam di Sulu bersama Sayid Abdul Bakar, Maulan Malik Ibrahim di Gresik,Jawa dan Syeikh Abdul Aziz di Melaka sebagaimana tercatat dalam Sejarah Melayu. Pendakwah-pendakwah inilah yang memainkan peranan bagi menyebarkan agama Islam ke seluruh Alam Melayu.

Begitu juga dengan masyarakat kini, para pendakwah Islam haruslah menjelajah dan meneroka dari satu tempat ke satu tempat khususnya di kawasan yang terpencil dan pedalaman. Ini kerana masyarakat yang tinggal di kawasan terpencil kurang berhubung dengan kehidupan di luar lingkungan hidup mereka. Oleh yang demikian, terdapat di antara mereka yang masih mengamalkan animisme iaitu kepercayaan kepada makhluk halus dan roh-roh serta kepercayaan-kepercayaan lama dari nenek moyang. Dengan adanya pendakwah Islam yang menjelajah dari tempat ke tempat yang lain maka ajaran Islam dapat dikembangkan seterusnya dapat memenuhi tanggungjawab setiap muslim iaitu berdakwah. Ini justeru bakal melahirkan masyarakat Islam yang berbilang bangsa.             

No comments:

Post a Comment