Saturday, February 3, 2018

DASAR - DASAR KERAJAAN MALAYSIA KE ARAH NEGARA MAJU

1.0       PENGENALAN
Penggubalan dan pelaksanaan dasar-dasar negara adalah ditentukan selaras dengan nilai-nilai sosioekonomi dan politik negara pada satu-satu masa. Disebabkan sifatnya yang dinamik dan tidak statik, dasar awam ini sentiasa mengalami perubahan mengikut nilai masyarakat dan pucuk kepimpinan dari semasa ke semasa.  Namun pada asasnya dasar-dasar kerajaan ini digubal dan dilaksanakan adalah bagi memenuhi objektif sosioekonomi seperti pertumbuhan ekonomi, pengagihan pendapatan, kestabilan dan kebajikan. Oleh itu, kejayaan sesuatu dasar kerajaan atau sebaliknya adalah bergantung kepada pelaksanaan yang cekap dan berkesan. Persekitaran politik dan ekonomi baik di dalam mahupun di luar negeri yang merupakan faktor yang penting. Dasar negara akan dapat dilaksanakan sepenuhnya jika pegawai kerajaan di pelbagai peringkat yang merupakan pelaksana penting faham dan menghayati terhadap dasar-dasar ini. Aspek sebegini yang perlu diberi penekanan kerana pemahaman yang tepat sebagaimana yang dihasratkan oleh pengubal dasar akan menjadikan mereka lebih komitmen dalam melaksanakan dasar bagi mencapai objektif yang dikehendaki.

2.0       DASAR-DASAR KERAJAAN KE ARAH NEGARA MAJU
Dasar membawa maksud kepada satu rangkaian keputusan yang di ambil oleh kerajaan berhubung sesuatu isu . Ia juga direka bentuk dan digubal untuk menterjemahkan visi politik kerajaan dalam bentuk program dan tindakan-tindakan untuk mencapai matlamat . Dalam erti kata yang lain, dasar adalah kenyataan yang diisytihar oleh kerajaan yang mengandungi arah tuju yang melibatkan keputusan-keputusan berasaskan cabang-cabang yang luas dan langkah tindakan yang diambil oleh pentadbir atau pengurus dalam perspektif masa yang paling lama bagi sesebuah organisasi atau negara. Oleh itu, untuk mencapai negara yang maju dan berdaya saing di peringkat global maka kerajaan haruslah merangka dasar-dasar negara dengan sebaik-baiknya.

2.1       DASAR PANDANG KE TIMUR
Dalam dasar ‘Pandang ke Timur’, Datuk Sri Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri pada masa tersebut mempunyai pelbagai objektif yang hendak dicapai melalui dasar ini. Dasar ini amat penting bagi kerajaan Malaysia untuk memperbaiki sosioekonomi pada masa tersebut . Ini  jelas menunjukan kerajaan Malaysia pada tahun 1982 bercita-cita untuk memajukan negara melalui dasar “Pandang Ke Timur’’.

Matlamat utama yang hendak diserapkan adalah mengambil contoh nilai-nilai moral dari negara Jepun di samping dapat memelihara nilai-nilai ketimuran kebanyakan masyarakat Jepun yang mempunyai sikap yang positif dalam nilai-nilai yang baik seperti rajin berusaha, tekun, gigih serta kuat berkerja untuk kepentingan negara mereka. Amalan ini secara tidak langsung jika diterapkan ke dalam penjawat awam atau masyarakat Malaysia akan memberi impak yang positif dari segi ekonomi dan juga sahsiah masyarakat dalam membangunkan negara ini. Selain itu juga, nilai-nilai baik yang diterapkan melalui adat ketimuran ini juga disebabkan keruntuhan moral di barat dari segi moral. Ini menyebabkan dasar “Pandang Ke Timur” ini di rangka untuk dilaksanakan sebagai salah satu dasar negara di Malaysia.

Dasar pandang ke timur ini mempunyai beberapa kesan yang baik kepada iklim ekonomi Malaysia. Melalui Dasar Pandang Ke Timur ini secara tidak langsung telah meningkatkan ekonomi negara. Ini kerana kebanyakan pelabur-pelabur dari negara Jepun dan Korea Selatan telah datang ke Malaysia untuk melabur. Secara tidak langsung ia akan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Ini akan mengurangkan jurang kemiskinan kepada rakyat Malaysia. Selain itu juga, aliran wang kurang juga dapat dikurangkan ke negara lain. Ini kerana segala kos dapat dikurangkan kerana pelabur-pelabur telah membuka kilang atau perusahan di negara ini.

Selain itu melalui dasar ini telah wujud industri baru di dalam negara. Melalui perpindahan teknologi dari negara Jepun dan Korea ini secara tidak langsung akan wujud industri baru. Industri ini seperti Lembaga Industri Berat Malaysia (HICOM), kilang pengeluaran besi waja dan kilang penapisan minyak telah wujud di negara melalui perjanjian usahasama dengan negara timur ini. Secara tidak langsung, kepakaran melalui industri ini akan diterima oleh penduduk tempatan disebabkan kewujudan industri yang baru ini. Selain itu juga, Malaysia juga telah membina kenderaan nasional sendiri iaitu Proton Saga, walaupun kebanyakan barang dalaman adalah buatan luar akan tetapi rekabentuk tersebut adalah keluaran Malaysia.

2.2       DASAR LUAR NEGARA
Dasar luar dapat didefinisikan sebagai matlamat, rancangan dan tindakan yang dijalankan oleh sesebuah negara dalam usaha untuk berhubung dengan sesebuah negara yang lain dalam pengertian yang terhad, dasar luar negara hanya mementingkan aspek tindakan yang diambil oleh sesebuah negara bagi mempengaruhi keadaan-keadaan yang berada di luar bidang kuasanya. Bagi menjaga kepentingan, keamanan dan keselamatan sesebuah negara, hubungan di antara sebuah negara dengan sesebuah negara yang lain adalah perlu dan penting. Hal ini demikian kerana kebanyakan negara bergantung antara satu sama lain dalam pelbagai aspek seperti politik, ekonomi, teknologi dan keselamatan.  Negara maju perlu mengadakan hubungan dengan negara membangun khususnya dalam bidang perdagangan.


Objektif asas dan utama Dasar Luar Malaysia adalah bertujuan untuk melindungi kepentingan nasional di arena antarabangsa sekaligus di pentas dunia. Menurut pernyataan mantan Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Syed Hamid Albar, antara objektif-objektif paling utama dasar luar negara Malaysia adalah menjaga, mempertahankan  dan memajukan kepentingan-kepentingan Malaysia di peringkat global. Selain itu, dasar ini turut menjaga dan mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan dan keselamatan Malaysia seterusnya mempertahankan prinsip menghormati kemerdekaan dan kedaulatan sesebuah wilayah melalui dasar tidak campur tangan dalam hal ehwal dan masalah dalaman negara lain. Dasar ini juga dapat memupuk hubungan baik serta dapat mengeratkan kerjasama dengan negar-negara lain. Selain itu, pendirian serta kepentingan negara-negara membangun dapat dipertahankan di peringkat antarabangsa.

Sebagai sebuah negara kecil yang terdapat pelbagai kuasa besar dan pengaruh, Malaysia sentiasa berhati-hati dengan hubungan luarnya. Dari segi keselamatan, Malaysia seboleh-bolehnya mahu mengelakkan sebarang jenis ancaman mahupun serangan dari negara-negara luar terutamanya negara yang mempunyai kuasa veto. Bagi memastikan keadaan ini terjamin, Malaysia sentiasa menjaga haluan dasar luarnya supaya tidak berteraskan kekerasan. Malaysia merupakan negara yang kaya dengan sumber pertanian dan galian. Oleh itu, dari aspek ekonomi, Malaysia bergantung kepada perdagangan antarabangsa. Hal ini adalah kerana ekonomi Malaysia berorientasikan eksport. Malaysia sentiasa berusaha memperluaskan pasaran hasil eksportnya serta meningkatkan pelaburan modal asing ke dalam ekonomi negara.

            Selain itu, Malaysia merupakan penyokong utama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang merupakan pelindung negara-negara kecil dan mundur serta penggalak keamanan dan keharmonian dunia. Oleh yang demikian, Malaysia berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Piagam PBB seperti memelihara keamanan dunia, melindungi hak asasi manusia, menegakkan keadilan dan kewibawaan undang-undang, serta menggalakkan perkembangan ekonomi dan sosial. Malaysia turut menganggotai agensi-agensi PBB yang lain seperti United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) dan United Nation Conference on Trade and Development (UNCTAD) bagi merealisasikan hasrat dunia untuk aman dan harmoni. Malaysia juga turut berperanan dan membantu PBB dalam menjamin keamanan dunia dengan menghantar unit perkhidmatannya. Malaysia turut terlibat dalam pasukan pengaman PBB di Somalia, Bosnia, Congo dan Kemboja. Malaysia juga pernah memainkan peranannya dengan menduduki sebuah kerusi dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Sebagai sebuah negara yang pernah dijajah, Malaysia sedar akan keadaannya yang sensitif terutamanya dalam konteks antarabangsa pada hari ini. Keadaan diburukkan lagi dengan ketidakstabilan politik dengan kehadiran kuasa komunisme di Indo China dan juga masalah seperti pelarian Kemboja dan Vietnam. Malaysia seperti negara-negara jiran yang lain bimbang jika isu ini berterusan kerana bimbang kedaulatan negara masing-masing akan terancam. Oleh yang demikian, Malaysia mengutamakan hubungan yang positif dengan negara-negara Asia Tenggara. Malaysia juga berhasrat menjadikan Asia Tenggara satu kawasan yang aman, bebas dan berkecuali serta mementingkan prinsip perpaduan dan menghormati hak asasi manusia. Oleh itu, sejak dari dahulu lagi Malaysia menentang dasar perbezaan warna kulit, iaitu dasar apartheid seperti yang pernah berlaku di Afrika Selatan semasa negara itu berada di bawah penjajahan British.

Prinsip hidup bersama yang diamalkan Malaysia turut menjadi penentu dalam pembentukan dasar luar Malaysia. Malaysia berpegang teguh kepada prinsip hidup bersama secara aman dan damai. Malaysia berpendirian bahawa rakyat sesebuah negara perlulah menentukan nasib mereka sendiri. Malaysia juga berpendapat bahawa negara-negara luar sesekali tidak boleh mencampuri hal ehwal sesebuah negara yang lain. Oleh yang demikian, Malaysia adalah antara penyokong kuat perjuangan Pertubuhan Pembebasan Palestin, Kerajaan Campuran Demokratik Kemboja (Kampuchea) dan Pejuang- pejuang Mujahidin Afghanistan.

2.3       DASAR WAWASAN 2020
Wawasan 2020 merupakan satu wawasan strategik jangka panjang sebagai arah dasar yang luas meliputi pelbagai aspek berkaitan pembangunan negara dalam hubungan dengan perkembangan ekonomi dunia keseluruhannya. Ia memberi arah tujuan dan sasaran negara untuk mencapai satu tahap negara maju sepenuhnya dengan nilai-nilai positif yang sendiri dengan menetapkan satu jangka masa 30 tahun sebagai panduan untuk mencapai matlamat diatas. Wawasan telah dibentangkan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamad di Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991. Di dalam ucapan tersebut beliau telah menegaskan bahawa matlamat pembangunan negara ialah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara industri dan pembentukan sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju menjelang tahun 2020 menurut acuan kita sendiri .

Dalam penyampaian kertas kerjanya, Laluan ke Depan (The Way Forward), kepada Majlis Perniagaan Malaysia, Dr Mahathir Mohamad menghuraikan sembilan matlamat utama Wawasan 2020:
1.         Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama: Malaysia mesti menjadi sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.
2.         Mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju, dengan keyakinan akan keupayaan sendiri, berbangga dengan apa yang ada, dengan apa yang telah dicapai, cukup gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain.
3.         Mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia yang mempunyai persefahaman matang, berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada beberapa banyak negara membangun.
4.         Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, dengan warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian dan didukung oleh nilai etika paling tinggi.
5.         Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan, dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara.
6.         Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologitetapi juga penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi masa depan.
7.         Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri, dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi di sekeliling sistem keluarga yang kukuh.
8.         Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Ini merupakan masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama, dengan wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi.
9.         Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.

            Sekali imbas Wawasan 2020 seolah-olah merupakan wawasan ekonomi semata-mata kerana ia mementingkan persoalan pembangunan ekonomi untuk Malaysia menjadi negara perindustrian namun jika diperhalusi sebenarnya lebih daripada itu.  Ia juga menyentuh perkara-perkara berkaitan dengan aspek sosial dan cara hidup seperti pembentukan dan keperibadian bangsa, moral dan etika, kebudayaan kebangsaan, pembangunan sumber manusia   dan lain-lain.

2.4       DASAR PERINDUSTRIAN NEGARA
Objektif Pelan Induk Perindustrian yang telah diumumkan oleh Menteri Perdagangan dan Perindustrian pada 3 Februari 1986 telah menggariskan tiga matlamat iaitu, pertama menjadikan sektor perkilangan sebagai ‘catalyst’ pertumbuhan perindustrian negara yang mana pembinaan teknologi yang canggih dan majudi perkenalkan (JPM, 2008). Kedua menggalakkan penggunaan sepenuhnya sumber asli. Ini akan mengakibatkan peluang perkerjaan lebih terbuka luas tanpa perlu mengharapkan negara lain. Selain itu, objektif yang ketiga ialah meninggikan tahap penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi tempatan sebagai asas bagi Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian.

Untuk menjadikan Malaysia sebagai satu penyumbang utama sektor ekonomi masa hadapan, kerajaan memainkan peranan secara langsung di dalam merancang, melaksana, membiayai dan mengurus industri-industri berat memandangkan sektor swasta tidak mampu menanggung perbelanjaan atau menghadapi risiko dalam mengendalikan projek-projek yang bukan sahaja melibatkan modal yang besar, tetapi juga hanya dapat memberi pulangan dalam tempoh masa yang panjang. Atas sebab itu, dasar pandang keluar dipergunakan yang mana mengekalkan kadar petumbuhan perindustrian yang tinggi, Malaysia harus menumpukan kepada pengeksportan keluaran-keluaran perkilangan secara besar-besaran.

Sebagai sebahagian daripada strategik perindustrian untuk mewujudkan semangat persaingan antarabangsa, industri aeroangkasa di wujudkan yang mana merupakan satu proses dalam membangunkan keupayaan dan teknologi perindustrian dalam menambah baik R&D. Dasar Angkasa Negara akan di gubal bagi menyediakan hala tuju strategik untuk memprtingkatkan perindustrian aeroangkasa dan tempatan dan mengenal pasti peluang pelaburan yang berpotensi tinggi dalam usaha berdaya saing di peringkat antarabangsa. Selaras dengan rantai huluan dan hiliran industri, promosi galakkan pelaburan zon dagangan bebas diperlukan untuk menarik pelabur asing untuk membuat pelaburan sihat melalui kestabilan politik jangka panjang bagi menarik kemasukan modal asing.

Dasar perindustrian ini dilaksanakan dengan mengurangkan perbelanjaan dalam pembinaan infrastruktur dengan memberi tumpuan kepada pertumbuhan industri-industri di kawasan yang telah sedia mempunyai kemudahan infrastruktur yang diperlukan. Penubuhan industri-industri diutamakan di sepanjang western corridor di pantai barat Semenanjung yang mempunyai hampir 75-80 peratus penduduk dan di mini corridor di pantai timur. Semenanjung, dengan tumpuan di kawasan sekitar Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Kuantan, dan di bandar-bandar di Sabah dan Sarawak seperti Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Labuan, Kuching, Sibu dan Bintulu. Selain itu, mewujudkan pelbagai industri untuk pertumbuhan bandar baru bagi mengembangkan lagi ekonomi negara.
Dasar perindustrian yang berpandangan jauh juga dilakukan untuk mengekalkan kadar pertumbuhan perindustrian yang tinggi dengan Malaysia harus menumpukan kepada pengeksportan keluaran-keluaran perkilangan secara besar-besaran. Masalah pasaran yang kecil telah menjadi satu faktor penghalang bagi industri-industri tempatan mencapai produktiviti yang lebih tinggi dan lebih kompetitif. Pelbagai usaha dijalankan bagi mencapai matlamat Negara ke arah Negara Maju selari dengan visi dan misi wawasan 2020. Secara kesimpulannya, dengan melaksanakan Dasar Perindustian melalui Pelan Induk Perindustrian (PIP) yang merangkumi strategi-strategi dan langkah-langkah yang boleh membawa Malaysia ke dalam era sebuah negara perindustrian dan seterusnya menjadi teras kepada sebuah negara maju.

2.5       DASAR PENSYARIKATAN MALAYSIA
Dasar Pensyarikatan Malaysia telah diperkenalkan pada tahun 1981 bagi tujuan menggalakkan kerjasama sektor awam dan sektor swasta di mana kedua-duanya bertindak dan beroperasi dalam sebuah syarikat yang dinamakan ‘‘Syarikat Malaysia’’ (JPM, 2008). Melalui dasar ini, kedua-dua pihak saling bergantungan di mana sektor swasta sebagai pendukung kepada aktiviti perdagangan dan ekonomi manakala sektor awam menyediakan dasar-dasar utama, menentukan arah dan perkhidmatan sokongan yang tertentu dan kondusif bagi kemajuan perniagaan.

            Selaras dengan pendekatan kerajaan berlandaskan model ekonomi baru dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh, kerajaan akan mempergiatkan usaha-usaha untuk merancakkan pelaburan sektor swasta dalam projek-projek pembangunan. Dalam hubungan ini, peruntukan kerajaan dalam projek-projek pembangunan akan dikurangkan dan kerajaan akan lebih memberi perhatian kepada projek-projek yang dilaksana dan dibiaya oleh sektor swasta sama ada melalui pendekatan penswastaan dan public private partnership (PPP) atau pelaburan langsung pihak swasta dalam program pembangunan negara. Kerajaan juga telah memperuntukkan dana khusus (facilitation fund) di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh untuk menyokong projek-projek pembangunan yang dilaksanakan oleh pihak swasta sebagai sumbangan  kerajaan melalui kerjasama sektor awam dan sektor swasta.

            Selaras dengan pelaksanaan dasar tersebut, Seksyen Penswastaan (dikenali sebagai Pasukan Petugas Khas Penswastaan pada awal penubuhannya) telah dibentuk oleh kerajaan dan diletakkan di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UOE, JPM) sebagai urus setia kepada Jawatankuasa Penswastaan yang dianggotai oleh pelbagai agensi bagi meneliti dan memperakukan cadangan-cadangan penswastaan untuk kelulusan Jemaah Menteri. Kerajaan telah mengeluarkan Garis Panduan Mengenai Penswastan pada tahun 1985 yang menggariskan secara terperinci mengenai objektf dasar, kaedah penswastaan dan jentera pelaksanaannya. Pada tahun 1991, kerajaan telah mengeluarkan Pelan Induk Penswastaan menjelaskan dasar dan strategi program penswastaan. Kejayaan pelaksanaan dasar penswastaan negara antara lain adalah seperti berikut:

·         Menyediakan kemudahan infranstruktur yang canggih dan bertaraf dunia seperti projek Lebuh Raya Utara Selatan, projek pembangunan Light Rail Transit (LRT), projek Pelabuhan Tanjung Pelepas dan projek pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA;
·         Mewujudkan syarikat-syarikat konglomerat tempatan yang maju dan berdaya saing seperti Tenaga Nasional Berhad dan Telekom Malaysia Berhad;
·         Merancakkan pasaran modal negara melalui pelaburan sektor swast dalam projek-projek kerajaan yang diswastakan.

Menurut Jabatan Penerangan Malaysia (2008), sejak program penswastaan diperkenalkan pada 1983 sehingga April 2009, sebanyak 500 projek penswastaan telah dilaksanakan di seluruh negara. Kerajaan telah mendapat manfaat dalam bentuk penjimatan perbelanjaan modal sebanyak RM161 bilion dan perbelanjaan mengurus (operasi) tahunan kerajaan sebanyak RM7.79 bilion (atau dianggarkan sebanyak RM200 bilion sepanjang tempoh 25 tahun). Beban perbelanjaan pentadbiran kerajaan pula berjaya dikurangkan berikutan penswastaan 58 agensi kerajaan yang melibatkan pemindahan kakitangan awam ke sektor swasta seramai 113,440 orang. Penjimatan ini membolehkan kerajaan mengagihkan semula sumber peruntukan pembangunan yang terhad kepada sektor yang lebih memerlukan seperti sektor pendidikan, kesihatan dan program pembasmian kemiskinan.



3.0       RUMUSAN
Dasar-dasar kerajaan digubal dan dilaksanakan selaras dengan nilai-nilai sosio-ekonomi dan politik negara pada satu-satu masa. Oleh kerana sifatnya yang dinamik, maka dasar-dasar kerajaan sentiasa berubah-ubah mengikut nilai-nilai masyarakat dan pucuk pimpinan dari semasa ke semasa. Pada masa kini dasar-dasar kerajaan adalah berteraskan Wawasan 2020 sebagai memenuhi hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Namun prinsip-prinsip asas dasar-dasar berkenaan tetap kekal seperti asal. Apa yang beza adalah pendekatan kerana ia perlu disesuaikan dengan perubahan masa.


Dapat dirumuskan di sini bahawa Malaysia telah menyumbang kepada pewujudan strategi yang efektif dalam melakar dan meningkatkan corak ekonomi supaya dapat berkembang pesat dan penuh inovatif. Pelbagai usaha yang dilakukan oleh Malaysia dalam mengembangkan taraf ekonomi telah memberi galakan dan peluang kepada negara serantau yang lainnya untuk bersama-sama berusaha menaik taraf ekonomi negara masing-masing. Oleh yang demikian, dasar-dasar di atas sedikit sebanyak telah mengubah iklim ekonomi Malaysia sejajar dengan dasar “Wawasan 2020” sebagai negara maju. Melalui dasar ini juga secara tidak langsung telah membuka mata negara barat dan timur terhadap negara Malaysia merupakan negara membangun menuju kepada negara maju, ini dapat dilihat Malaysia telah dikenali di seluruh dunia seperti pembangunannya, ekonomi, dan sosial telah maju dengan cepatnya tanpa bantuan atau nasihat dari negara lain.

No comments:

Post a Comment