Saturday, February 3, 2018

PERKEMBANGAN KOGNITIF KANAK KANAK ( PERKEMBANGAN KANAK-KANAK) TEORI

1.0       Konsep dan Prinsip Asas Perkembangan Kanak-kanak
Perkembangan bermaksud aspek perubahan pada tubuh badan seseorang yang dapat diukur secara kuantitatif (Mok Soon Sang, 2009). Perkembangan juga dapat diertikan sebagai suatu perubahan yang tersusun dan sistematik, progresif dan bersepadu dalam diri seseorang individu sejak dari lahir sehinggalah mencapai akhir hayatnya. Ia juga dapat dijelaskan sebagai perubahan-perubahan yang dialami oleh seseorang individu dalam proses menuju peringkat kedewasaan dan kematangannya. Pendapat ini disokong oleh Santrock (2004), yang mana beliau menyatakan corak perkembangan dalam pelbagai aspek bermula sejak proses persenyawaan hinggalah akhir hayat.

Penulis menyokong pandangan ini kerana memang terbukti dalam diri setiap individu bahawa perkembangan adalah proses yang berterusan. Setiap hari semasa kita bangkit dari tidur dan seterusnya, di sini mulanya penambahan maklumat, pengalaman, kemahiran dan apa jua bentuk rangsangan yang dikenakan keatas kita, termasuk juga proses-proses yang berterusan seperti proses dalam tubuh badan dan proses penuaan. Namun, bagi Lev Vygotsky perkembangan adalah sesuatu yang kompleks untuk dinyatakan secara berperingkat. Robert Havighurst menerangkan tentang konsep tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh setiap individu pada setiap peringkat perkembangan hidupnya. Pendapat ini selaras dengan pandangan Arnold Gesell iaitu beliau menyatakan perkembangan manusia mengikut jadual waktu yang tetap dan kanak-kanak mestilah diberi peluang memperkembangkan dirinya dengan kadar sendiri.

Melalui pengalaman penulis sebagai seorang guru ganti di sebuah sekolah rendah, penulis melihat dalam kalangan pelajar yang bermasalah dalam pelajaran, mereka sebenarya terdiri daripada kalangan pelajar yang ‘slow learner’. Jadi penulis berpendapat bahawa guru harus faham akan situasi murid terbabit dan jangan menyamakan atau membezakan mereka dengan murid yang lain. Sememangnya, tidak ada insan yang dilahirkan mempunyai tahap pemikiran yang sama. Pendekatan serta teknik mengajar yang betul harus diguna pakai terutamanya ibu bapa dan guru agar pelajar-pelajar ini tidak ketinggalan dalam bidang akademik, kemahiran dan sebagainya.


2.0       Konsep Perkembangan Kognitif Kanak-Kanak
                                                  
Rajah 1
Perkembangan kognitif merupakan salah satu daripada proses tumbesaran yang dilalui oleh setiap insan yang bergelar kanak-kanak. Ia sangat penting kerana ia akan mempengaruhi kehidupan dan masa depan seseorang kanak-kanak. Perkembangan kognitif sering dikaitkan dengan proses perkembangan intelek seseorang dan perkembangan mental. Melalui pengalaman, penulis juga bersetuju dengan penyataan ini, sememangnya perkembangan kognitif memainkan peranan besar dalam membina masa depan seseorang individu.

            Kemahiran kognitif adalah kebolehan individu untuk berfikir, memberi pendapat sendiri, memahami, mengingati peristiwa-peristiwa yang berlaku di persekitaran masing-masing. Ia melibatkan aktiviti mental seperti mengingat, mengkategori, merancang, menaakul, menyelesaikan masalah, mencipta, berimaginasi dan sebagainya. Jean Piaget berpandangan bahawa pemikiran merupakan suatu proses yang disedari dan berkembang secara berperingkat-peringkat. Lev Vygotsky pula memberi alternatif kepada idea Piaget tentang perkembangan kognitif kanak-kanak di mana dia menekankan peranan sosial dan budaya dalam perkembangan minda kanak-kanak.

3.0       Teori Perkembangan Kognitif Jean Piaget
Menurut Jean Piaget, kanak-kanak akan melalui peringkat-peringkat perkembangan kognitif yang sama tetapi pada usia yang berbeza-beza (Mok Soon Sang, 2009). Beliau berpendapat persekitaran tidak membentuk kognitif kanak-kanak, sebaliknya, kanak-kanak membina pengetahuan mereka secara aktif untuk memahami persekitarannya. Keadaan ini berlaku melalui pelbagai proses penerokaan, manipulasi dan menilai persekitaran fizikalnya.
Melalui pengalaman penulis berumur 7 tahun yang mana telah timbul suatu minat untuk mengenal apa itu sains. Walaupun penulis tidak mengetahui apa itu sains namun, semangat inkuiri itu semakin meningkat apabila ayah penulis telah membuat kipas kecil daripada motor kecil kereta permainan. Melalui tindakan beliau membuatkan penulis begitu tertarik untuk mengetahui bagaimana motor itu boleh bergerak dan memutarkan kipas yang dilekatkan kepadanya. Hasil rangsangan persekitaran inilah penulis mula memupuk minat untuk belajar sains. Penyataan ini telah disokong oleh Lev Vygotsky iaitu seorang pakar psikologi Rusia iaitu perkembangan kognitif dipengaruhi persekitaran sosial kanak-kanak tersebut.

Bagi menjelaskan perkara ini Jean Piaget telah memperkenalkan 4 konsep utama proses-proses tersebut iaitu:-
                      I.        Skema (Schema)
                    II.        Penyerapan (Assimilation)
                   III.        Pengubahsuaian (Accomodation)
                  IV.        Keseimbangan (Equilibrium)

3.1       Skema (Schema)
Skema adalah struktur kognitif atau mental yang membolehkan individu mengurus dan menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran. Skema adalah seperti sebuah rak yang menyimpan banyak fail dan setiap fail mewakili satu skema.. Seorang bayi apabila dilahirkan ia mempunyai skema umum dan semakin bayi itu membesar skema yang diperoleh semakin lama semakin meningkat dan skema itu semakin diperhalusi.

            Skema juga ditakrif sebagai proses mencipta, memperhalus, membuat perubahan, menyusun dan mengurus. Apabila seorang bayi dilahirkan, skema sedia ada pada bayi itu ialah menghisap susu dan menggenggam. Apa-apa sahaja benda yang dimasukkan ke dalam mulutnya pasti akan dihisapnya Melalui pengalaman penulis yang mempunyai adik lelaki yang baru berusia beberapa bulan, apabila disuapkan dengan apa sahaja ke dalam mulutnya maka dia akan mencuba untuk menghisapnya kerana menganggap bahawa itu puting susunya. Begitu juga dengan kemahiran menggengam, tidak kira apa jenis barang yang diberikan dia akan mencuba untuk memegangnya.

3.2       Penyerapan (Assimilation)
Asimilasi adalah proses kognitif di mana seseorang menghimpunkan segala informasi baru atau pengalaman-pengalaman baru ke dalam skema yang sedia ada iaitu penyerapan (fitting) maklumat baru ke dalam struktur sedia ada. Contohnya, kanak-kanak tahu akan struktur asal motorsikal dan spesifikasinya informasi berkenaan motorsikal itu di simpan di dalam fail skemanya. Dengan ini, bermula dengan motorsikal biasa kepada motorsikal yang mempunyai pelbagai jenama dan reka bentuk, maklumat sentiasa ditingkatkan dan ditambah. Teori perkembangan kognitif Jean Piaget ini turut disokong oleh Vygotsky, yang turut menyatakan bahawa anak-anak secara aktif akan menyusun pengetahuan mereka.

            Proses ini berlaku sepanjang masa kerana manusia sentiasa menghadapi pelbagai informasi dan pengalaman. Keadaan ini boleh disinonimkan dengan gelas yang diisikan air di dalamnya secara berterusan ia akan memenuhi gelas tersebut. Sama juga seperti pengalaman sebenar kita, semakin kita semua belajar dan berkomunikasi, pelbagai informasi dan maklumat yang akan kita ketahui. Dengan menggunakan maklumat itu kita akan membuat kesimpulan sendiri. Kesilapan dalam memproses maklumat menyebabkan kesan yang tidak baik akan berlaku. Misalnya, apabila menerima maklumat yang salah dan tanpa penelitian yang wajar kita turut mengeluarkan penyataan yang salah. Oleh itu, perubahan yang berlaku adalah secara kuantitatif atau bukan kualitatif. Ia bermaksud kualitatif adalah sesuatu yang tidak dapat diukur atau disukat berbeza dengan kuantitatif.

3.3       Pengubahsuaian (Accomodation)
Akomodasi juga dikenali sebagai penyesuaian diri dan menghasilkan perubahan kualitatif serta perkembangan skema (development of schema). Jika maklumat yang diterima sesuai dengan skema yang ada, maka ia akan diserap ke dalam skema (Mok Soon Sang, 2009). Sebaliknya jika maklumat itu tidak sesuai, maka maklumat itu akan ditolak atau diubah atau diubahsuai. Contohnya, motorsikal yang diketahui diubahsuai menjadi motorsikal roda tiga, maka penerimaan pandangan daripada skema yang sedia ada adalah bahawa itu bukan motorsikal kerana beroda tiga (Rujuk Lampiran 1). Namun apabila disesuaikan dengan penerangan dan pendekatan maka kanak-kanak tersebut boleh menerimanya.

Sekiranya kanak-kanak yang baru pertama kali melihat motorsikal roda tiga dia akan mengatakan bahawa motorsikal itu lain dari yang lain. Ini kerana skema yang ada menyatakan motorsikal itu beroda dua, mungkin juga ada yang akan mengatakan bahawa itu bukan motorsikal tetapi gerabak atau kereta model baru.

            Proses penyesuaian diri akan berlaku apabila skema yang sedia ada diubahsuai untuk disatukan dengan maklumat-maklumat atau pengalaman-pengalaman baru. Peningkatan maklumat dan pengalaman ini meningkatkan tahap skema sedia ada. Proses ini berlaku secara berterusan sehingga seseorang itu mencapai tahap pemahaman yang stabil dan mantap bagi satu-satu kemahiran tertentu. Situasi yang saya gambarkan menyatakan, sekiranya kanak-kanak tersebut dapat menerima panduan dan pandangan yang betul maka dia akan dapat menerima penyataan bahawa motorsikal yang diubahsuai itu menjadi motorsikal roda tiga.

3.4       Keseimbangan (Equilibrium)
Keseimbangan akan tercapai apabila seseorang kanak-kanak menyeimbangkan proses penyerapan dan pengubahsuaian. Malah, jika dia sudah mencapai tahap keseimbanagn yang memberangsangkan dia akan memperhalusi informasi yang diterimanya. Contohnya, motorsikal yang telah diubahsuai menjadi motorsikal roda tiga dapat diterima bahawa ia motorsikal yang sudah diubah menjadi roda tiga. Sekiranya ia berjaya, proses keseimbangan akan tercapai. Sebaliknya, jika ia tidak dapat diserap, maka maklumat itu akan diubahsuai melalui pengubahsuaian skema atau mencipta skema yang baru. Jikalau maklumat baru itu dapat disesuaikan, maka tahap keseimbangan akan tercapai. Proses ini berlaku secara berterusan bermula dari bayi sehingga dewasa.

            Sebagai seorang pelajar sekolah suatu ketika dahulu, penulis sering menghadapi masalah berkenaan persoalan pelajaran yang tidak terjawab. Penulis cuba mencari kesinambungan antara perkara yang dipelajari dan aplikasinya kepada diri sendiri. Pada pendapat penulis tidak perlu belajar Matematik Tambahan kerana tidak ada pun operasi hidup yang memerlukan formula yang dipelajari. Namun, apabila penulis menggangapnya sebagai ilmu yang akan digunakan kelak, penulis menerimanya dan memperoleh manfaat daripadanya.
4.0       Peringkat-peringkat Dalam Perkembangan Kognitif  Menurut Jean Piaget

Bil.
Peringkat
Umur
1.
 Sensori Motor
0-2 tahun
2.
Pra Operasi
2-7 tahun
3.
Operasi Konkrit
7-11 tahun
4.
Operasi Formal
11 tahun ke atas
                                                         Jadual    1
Jean Piaget mengkategorikan perkembangan kognitif kanak-kanak kepada dua peringkat iaitu Pra Operasi pada umur 2-7 tahun dan Operasi Konkrit pada 7-11 tahun. Kanak-kanak pada umur 2-7 tahun dan 7-11 tahun ini ditunjukkan di rajah bawah.

                                         Image result for kanak kanak
                                             Rajah 2   Kanak-kanak ( 2-7 tahun )
                                    Image result for kanak kanak
                                     Rajah 3   Kanak-kanak ( 7-11 tahun )

4.1       Peringkat Sensori Motor ( 0-2 tahun )

Image result for bayi umur setahun
                                                Rajah 4   Bayi bawah 2 tahun
Menurut Jean Piaget, bayi berusia bawah 2 tahun seperti dalam Rajah 4 berada pada peringkat sensorimotor.Piaget mengatakan pada peringkat ini, kanak-kanak menggunakan deria motornya untuk memahami dan berinteraksi dengan persekitarannya. Selepas dilahirkan selama dua bulan, seorang bayi sudah boleh membezakan objek-objek di dalam persekitarannya. Kanak-kanak kelihatan mula boleh belajar bahasa dan lambang yang mudah. Pada usia 8 bulan dia sudah mula kenal individu yang berada disekitarnya seperti ibu dan ayah.

Hasil daripada pengalaman penulis sebelum ini, ketika bersama dengan sepupu yang berusia 10 bulan, pada awalnya dia tidak mahu mendekati penulis dan apabila didukung dia akan menangis kerana dia tidak kenal akan orang yang baru dilihatnya. Namun, apabila ibunya mengambilnya dia terus berhenti menangis. Melalui penyataan Piaget ini,pada usia 8 bulan keatas, kanak-kanak sudah mula kenal akan orang yang berada disekelilingnya. Sekiranya ada orang lain yang hadir dalam kehidupannya dia akan berasa takut kerana tidak kenal. Keadaan ini tidak akan berpanjangan sekiranya orang baru´ yang mendatanginya tidak mengancam dan bertindak mesra dengannya, maka dia akan mula biasa. Hal ini bersamaan dengan Vygotsky yang berpendapat bahawa faktor sosial iaitu perhubungan dan perkongsian pengalaman adalah penyumbang kepada perkembangan kognitif. Penulis merupakan unsur sosial yang bertindak ke atas sepupu dalam usaha untuk dia mengenali dunia sekelilingnya. Ini membuktikan penyataan Vygotsky tentang pentingnya peranan sosial.

4.2       Peringkat Pra Operasi ( 2-7 tahun)
Tahap pemikiran kanak-kanak pada peringkat Pra Operasi bersifat intuitif, iaitu pemahaman mereka tentang objek bergantung pada ciri-ciri yang bersifat nyata. Mereka tidak mampu lagi untuk berfikir secara logik dan rasional. Apabila mencapai umur 4 tahun, kanak-kanak telah boleh bertutur dengan fasih dan melalui bahasa yang dikuasainya itu, perkembangan kognitifnya kian menjadi pesat. Pada peringkat ini juga kanak-kanak telah menunjukkan sifat egosentrik memandangkan mereka melihat dan memahami persekitaran melalui perspektif mereka sendiri. Contohnya seorang kanak-kanak yang meminati siri kartun Power Rangers misalnya, akan beranggapan bahawa orang lain juga suka dengan siri kartun berkenaan.

4.3       Peringkat Operasi Konkrit ( 7-11 tahun)
Pada peringkat Operasi Konkrit, iaitu kanak-kanak berumur 7 hingga 11 tahun, kanak-kanak ini telah dapat berfikir secara logik walaupun masih terikat dengan situasi konkrit. Menurut Piaget, kanak-kanak pada peringkat ini sudah boleh menguasai konsep pemuliharaan . Pengekalan bermaksud memahami bahawa perubahan objek atau susunan tidak mengubah cirinya atau sifatnya. Contohnya, jika air di dalam cawan dituang ke dalam gelas yang lebih tinggi dan tirus, mereka dapat mengetahui bahawa kuantiti air tersebut masih sama..

Selain itu, kanak kanak juga boleh menguasai prinsip pengelasan. Di dalam kemahiran ini, kanak-kanak dapat mengklasifikasi objek ke dalam set atau kumpulan berdasarkan sesuatu ciri. Contoh, pengelasan mengikut ciri, warna, saiz dan bentuk. Di samping itu, kanak-kanak juga boleh menguasai perkaitan logik. Mereka telah berkebolehan membuat persirian secara mental (mentalseriation) iaitu kebolehan untuk menyusun dalam minda mereka senarai secara siri ketinggian, berat atau jantina. Contohnya, mereka boleh membezakan diantara orang yang lebih tinggi atau lelaki dan perempuan. Bagaimanapun, keupayaan berfikir secara logik masih terbatas kepada konkrit sahaja. Mereka masih tidak mempunyai kebolehan untuk berfikir secara abstrak. Oleh itu, mereka tidak dapat menyelesaikan masalah yang kompleks. Di dalam peringkat ini, kebanyakan aktiviti pembelajaran yang bererti masih bergantung kepada objek-objek konkrit dan pengalaman secara langsung.

Melalui penyataan Piaget berkenaan penguasaan kefahaman berdasarkan pengetahuan dan pendekatan secara konkrit. Pada ketika ini sekiranya pelajar ditanya bagaimana kedudukan dacing sekiranya 1 kilogram kapas di timbang dengan 1 kilogram batu. Pada ketika ini, walaupun mereka tahu bahawa kapas itu ringan namun apabila jumlah berat kapas itu sama dengan jumlah batu maka kedudukan dacing adalah sama iaitu kedua-dua barang yang ditimbang itu tadi mempunyai berat yang sama. Jelaslah bahawa kanak-kanak pada peringkat ini sudah boleh membuat persamaan logik yang sekaligus membantu proses perkembangan kognitifnya. Penulis mengutarakan contoh ini kerana ia merupakan soalan matematik yang disoal kepada penulis ketika berada dalam tahun 5, jadi hasil daripada logik akal penulis mengatakan bahawa kedudukan dacing adalah sama, walaupun kapas itu ringan namun ia mempunyai berat yang sama dengan batu yang pada hakikatnya berat.

4.4       Peringkat Operasi Formal ( 11 tahun ke atas )
Perkembangan kognitif pada peringkat awal remaja iaitu untuk kanak-kanak yang berusia 11 tahun ke atas dikenali sebagai peringkat Operasi Formal oleh Jean Piaget.  Pada peringkat ini, kanak-kanak dapat melakukan andaian dan ramalan berdasarkan fakta .Pemikiran mereka juga tidak lagi bertumpu kepada objek konkrit semata-mata, namun dapat memikirkan idea secara abstrak dan membuat hipotesis, contohnya mereka mampu memberi idea tentang punca suatu perkara, misalnya punca-punca berlakunya ponteng sekolah. Mereka juga boleh berfikir secara deduktif atau induktif, dan menggunakannya untuk membuktikan teorem atau hukum matematik serta membuat rumusan atau generalisasi daripada aktiviti-aktiviti matematik. Remaja juga boleh menggunakan simbol-simbol matematik untuk menggambarkan konsep yang abstrak, mengaitkan satu konsep dengan konsep yang lain serta menggunakan logik untuk menyelesaikan masalah matematik.

            Antara ciri-ciri pemikiran formal ialah:
1.         Berfikir secara abstrak. Kanak-kanak dapat menyelesaikan masalah-masalah matematik di mana melibatkan perwakilan abstrak.Contohnya, 4x + x = 10. Apakah nilai x ?
2.         Berfikir secara sistematik. Contohnya, terdapat 3 helai baju dan 3 helai seluar, berapakah kombinasi pakaian yang dapat dibuat daripada pakaian di atas ?
3.         Boleh membuat hipotesis. Mereka boleh membuat ramalan tentang apa yang akan terjadi  terhadap bandar yang mengalami pencemaran teruk dalam 20 tahun akan datang.

Penulis begitu bersetuju dengan pendapat Piaget berkenaan perkembangan kognitif pada peringkat ini. Hasil dari pengalaman ketika penulis berada dalam Tingkatan 1, penulis sudah mempelajari fungsi Algebra yang dipelajari dalam salah satu sukatan mata pelajaran Mathematics Form 1, dan pada ketika itu saya tidak faham akan perlambangan ‘x’, ‘y’ dan sebagainya. Atas pendedahan dan pendekatan pembelajaran yang saya perolehi, penulis dapat memahami perkara tersebut dengan mudah dan cepat. Piaget merumuskan bahawa persediaan mental merupakan faktor dalaman yang banyak mempengaruhi keberkesanan pembelajaran. Ini telah dinyatakan dalam teori Piaget, iaitu kanak-kanak pada usia ketika ini sudah mampu memahami konsep abstrak.

Kurikulum Prasekolah Kebangsaan menggariskan enam komponen utama yang menyumbang kepada perkembangan menyeluruh. Ia merangkumi bahasa dan komunikasi, perkembangan kognitif, kerohanian moral, perkembangan emosi, perkembangan fizikal serta kreativiti dan estetika. Proses pembelajaran mempunyai pelbagai peringkat. Bermula dengan ingatan ,tingkah laku, persekitaran dan rangsangan. Ia saling bergerak seiringan secara kitaran. Manakala perkembangan kognitif pula melibatkan pemerhatian, perbandingan dan diskriminasi, ramalan, konsep masa, konsep ruang dan penyelesaian masalah, pengelasan, padanan satu dengan satu konsep nombor, operasi nombor dan pengukuran. Sebagai seorang bakal warga pendidik, penulis haruslah memahami dan mengenalpasti cara untuk mengoptimumkan perkembangan kognitif kanak-kanak. Berikut penulis menyatakan cadangan yang menggunakan peringkat perkembangan Jean Piaget sebagai model konsep asal.





5.0       Implikasi Teori Perkembangan Kognitif Piaget dalam Pengajaran dan  Pembelajaran
Mengikut teori pembelajaran kognitif Piaget, isi pelajaran hendaklah disusun mengikut peringkat perkembangan kognitif kanak-kanak, iaitu daripada konkrit kepada abstrak, daripada dekat kepada jauh ,daripada pengalaman yang sedia ada kepada pengalaman baru, daripada kasar kepada halus, mengikut perkembangan fizikal individu. Menurut Piaget, pembelajaran merupakan perubahan bentuk tingkah laku. Pembelajaran yang baru dan kompleks hendaklah menggunakan proses akomodasi untuk mengubah struktur kognitifnya agar mengadaptasikan keperluan situasi pembelajaran yang dihadapinya. Oleh kerana proses akomodasi bergantung kepaa motivasi intrinsik individu, guru hendaklah menggalakkan mereka melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pembelajaran.

            Penulis ingin memberi satu contoh, sebagai seorang guru matematik sekolah rendah, kita harus tumpukan perhatian terhadap perkembangan kanak-kanak dalam peringkat operasi konkrit dan memahami kebolehan mereka dalam aktiviti pembelajaran matematik di peringkat sekolah rendah. Murid-murid sekolah rendah hanya boleh memahami konsep matematik melalui pengalaman konkrit. Oleh itu, alat bantu mengajar memainkan peranan penting untuk menyampaikan konsep matematik dengan berkesan. Murid-murid suka menjalankan aktiviti pembelajaran dengan menggunakan alat bantu mengajar. Oleh itu, kaedah kerja praktik merupakan kaedah yang sesuai digunakan supaya melibatkan murid melibatkan diri secara aktif dalam pembelajaran matematik. Semua konsep matematik baru harus diperkenalkan melalui contoh-contoh konkrit. Pengajaran geometri harus diperkenalkan dengan gambar rajah atau model, dan kaedah membuktikan teorem harus dielakkan. Murid-murid dalam peringkat operasi konkrit tidak berupaya membuktikan teorem geometri yang abstrak.

Adalah didapati murid-murid sekolah rendah tidak dapat membuat generalisasi daripada contoh-contoh matematik. Oleh itu, mereka tidak boleh memahami hukum-hukum matematik seperti hukum tukar tertib, hukum sekutuan dan hukum taburan yang dirumuskan daripada contoh-contoh matematik itu. Ramai murid sekolah suka menghafal dari memahami konsep sebenar matematik. Untuk membimbing murid mengatasi masalah ini,  pengajaran masalah matematik harus dikaitkan dengan situasi sebenar dan perkenalan simbol matematik haruslah dikaitkan dengan contoh yang berikut.

6.0       Rumusan
Kesimpulannya, teori perkembangan kognitif Jean Piaget menerangkan bahawa perkembangan kognitif mereka adalah mengikut beberapa peringkat iaitu sensorimotor, peringkat pra operasi, peringkat operasi konkrit, diikuti peringkat operasi formal. Ilmu dan kemahiran adalah dibina berdasarkan usaha individu itu sendiri. Manakala Lev Vygotsky pula mengatakan bahawa kanak-kanak belajar dan menguasai kemahiran melalui interaksi sosial. Oleh itu, guru perlu menggunakan zon perkembangan prokximal untuk membimbing murid dengan menggunakan teknik scaffolding bagi membolehkan mereka memperolehi kemahiran dalam peringkat yang lebih tinggi. Sebagai seorang bakal guru, kita seharusnya dapat memilih dan menggunakan sumber pengajaran dan pembelajaran yang disediakan selain membuat bahan bantu mengajar sendiri. Antara bahan bantu yang disediakan adalah kad perkataan, carta, cakera padat, dan sebagainya.


Selain itu, guru juga boleh membina bahan mereka sendiri mengikut kebolehan dan tahap keupayaan murid sesuatu kelas. Adapun bahan yang paling berkesan adalah bahan maujud yang boleh dilihat, dipegang, dan dirasa oleh murid. Ketika merancang aktiviti kumpulan kepada murid-murid, terdapat beberapa aspek yang perlu diambil kira dan diberi perhatian. Antaranya adalah masa dan kesesuaian aktiviti yang dirancang sama ada ianya bersesuaian dengan tahap kebolehan dan umur murid-murid. Pemilihan bahan yang betul jga perlu dikaitkan dengan tema yang hendak diajar pada hari tersebut. Selain itu, tunjang yang diajar pada ketika itu juga perlu diselaraskan agar murid-murid dapat belajar dan memperolehi kemahiran-kemahiran dengan baik sesuai dengan umer mereka. Tuntasnya, guru perlu kreatif dan bijak memilih bahan bantu mengajar yang sesuai untuk digunakan. Pemilihan bahan tersebut perlulah merangsang imaginasi dan pemikiran kanak-kanak bagi membantu untuk memperkembangkan lagi kognitif mereka. 

No comments:

Post a Comment