Saturday, February 3, 2018

CABARAN MENGEKALKAN MALAYSIA SEBAGAI SEBUAH NEGARA YANG BERDAULAT & IMPAK TERHADAP PERPADUAN DAN MASA DEPAN NEGARA

CABARAN MENGEKALKAN MALAYSIA SEBAGAI SEBUAH NEGARA BERDAULAT DAN IMPAK TERHADAP PERPADUAN DAN MASA DEPAN NEGARA

1.1       Sosial
1.1.1    Sistem pendidikan pelbagai aliran
Menurut Haris Md. Jadi (1990), pendidikan pelbagai aliran iaitu aliran Inggeris, Melayu, Cina dan India telah lama wujud sebelum kita mencapai kemerdekaan lagi. Apabila kita melihat kembali sejarah, sistem pendidikan kebangsaan di Tanah Melayu belum lagi wujud sehinggalah Penyata Razak 1956 dibentuk. Contohnya, sekolah Melayu hanya tertumpu kepada pendidikan agama di sekolah pondok. Pendidikan sekolah rendah pula ditubuhkan oleh kerajaan British bagi membolehkan orang Melayu tahu membaca, menulis dan mengira sahaja. Bagi masyarakat Cina, mereka telah menggunakan kurikulum, buku teks dan guru-guru yang diimport dari negeri China. Bagi kaum India pula, sekolah-sekolah Tamil telah didirikan di estet-estet berhampiran tempat mereka bekerja. Sekolah Tamil ini berasaskan kurikulum dan buku teks yang diimport dari India Selatan. Malah, sekolah aliran Inggeris yang dibina oleh mubaligh-mubaligh Kristian dan Inggeris di kawasan-kawasan bandar  mendapat sambutan yang baik daripada kalangan penduduk bandar sama ada kaum Melayu, Cina dan India. Oleh itu, setiap kaum mempunyai sistem pendidikan yang tersendiri. Sistem persekolahan yang memisahkan pelajar mengikut bahasa ibunda masing-masing dan perbezaan etnik kurang memainkan peranan yang berkesan bagi memupuk integrasi dan persefahaman dalam kalangan pelajar. Hal ini menyebabkan interaksi mereka hanya terhad di antara etnik yang sama sahaja. Kesan bagi hubungan etnik ini hanya memberikan impak yang negatif kepada pemupukan perpaduan kaum.

            Semua etnik masing-masing mempertahankan bahasa ibunda mereka dan tidak mengambil tahu bahasa ibunda kaum yang lain. Ini adalah mereka akan menganggap adalah tidak wajar dan tidak penting untuk mempelajari bahasa kaum yang lain. Di samping itu, adalah menjadi satu kewajipan di mana setiap sekolah mengamalkan sistem pendidikan yang berbeza. Ianya akan memberikan kesan yang kurang baik kepada penstrukturan negara kerana mempunyai corak pendidikan yang berbeza. Tidak dilupakan juga bahawa golongan yang menuntut di sekolah itu juga akan terlahirnya para pemimpin untuk memerintah negara Malaysia pada satu masa kelak. Sekiranya pemikiran mereka hanya disogok dengan etnik mereka sahaja, sudah pasti Malaysia tidak akan berada dalam keadaan yang sejahtera. Bakal pemimpin negara ini juga akan mengalami kesukaran untuk mendapatkan kata sepakat daripada rakyatnya yang terdiri daripada etnik yang berbeza.

1.1.2    Pemisahan  fizikal
Pemisahan fizikal ini berlaku kerana dasar yang diperkenalkan oleh British iaitu ‘‘pecah dan perintah’’ ketika menjajah Malaysia. Kesannya orang Melayu ditempatkan di kawasan pedalaman menjadi petani, orang Cina di kawasan lombong dan bandar, dan orang India di estet menjadi buruh ladang getah. Ketiga-tiga kaum ini bukan sahaja terpisah dari segi lokasi tempat tinggal tetapi juga jenis perkerjaan yang dilakukan. Keadaan ini telah mengurangkan interaksi dan pergaulan sesama mereka. Malah pemisahan fizikal disebabkan keadaan geografi di Sabah dan Sarawak yang terpisah oleh Laut China Selatan memberi kesan kepada pemupukan perpaduan di Malaysia. Hal ini telah menimbulkan perasaan kekitaan atau etnosentrisme iaitu satu pandangan yang melihat kelompok etnik mengikut kaca mata etnik itu sendiri.

            Malah, tahap kefahaman yang rendah tentang cara hidup dan budaya kaum yang lain menyebabkan kita kurang menghargai kaum yang berlainan daripada kita. Sikap lebih mengagungkan bangsa sendiri menjadi duri dalam daging permasalahan kaum di negara ini. Oleh kerana itulah berlaku isu perkauman yang mengundang kepada permusuhan kaum. Tragedi berdarah 13 Mei 1969 telah menjadi persengketaan antara kaum yang telah mengorbankan banyak nyawa. Peristiwa ini sewajarnya dijadikan pengajaran dan diambil sebagai iktibar. Sebagai contoh, kebanyakan penduduk di Semenanjung Malaysia kurang memahami cara hidup dan budaya masyarakat di Sabah dan Sarawak.  Contohnya dari segi budaya, keagamaan mahupun adat resam. Perkara sebegini mungkin berlaku jika kita hanya mementingkan etnik diri sendiri sahaja. Oleh itu, bagi menangani cabaran ini setiap anggota masyarakat di Malaysia haruslah berganding bahu dalam memujudkan jalinan hubungan yang erat antara etnik. Dengan ini, mereka akan memahami budaya masyarakat yang pelbagai kaum termasuk Sabah dan Sarawak. Maka, pastinya amat sukar sekali Malaysia untuk menjadi negara yang lebih maju sekiranya masyarakatnya terpisah dari sudut fizikal dan terasing dari arus pemodenan negara.

1.1.3    Agama dan budaya
Jika diteliti, setiap kaum yang terdapat di Malaysia dikatakan mewakili agama masing-masing contohnya Melayu beragama Islam, Cina beragama Buddha, India beragama Hindu, Iban dan Kadazan beragama Kristian. Amatlah jelas ketiga-tiga kaum utama di Malaysia mempunyai adat resam, bahasa, agama dan falsafah hidup yang berbeza. Kaum ini masing-masing menganggap dan merasakan kebudayaan dan agama mereka adalah yang terbaik. Walaupun adakalanya berlaku perkahwinan campur antara kaum tetapi ia adalah agak terhad kerana wujud tembok yang kuat dari segi agama dan adat etnik masing-masing.  Perbezaan dan pengasingan agama, budaya dan cara hidup ini bukan sahaja menguatkan lagi sikap prasangka buruk antara masyarakat malah menghalang proses integrasi sosial antara kaum. Bukan itu sahaja, kebanyakkan masyarakat di Malaysia lebih cenderung untuk tinggal di sesuatu kawasan yang terdiri dari penduduk yang sama kaum. Contohnya penduduk Bugis lebih tertumpu di daerah Tawau.  Kaum Cina juga tertumpu di sekitar Sibu di Sarawak dan Bajau di daerah Kota Marudu. Keadaan ini berlaku kerana mereka merasa lebih selamat, aman dan selesa menetap  bersama penduduk-penduduk yang sama kaum dengan mereka. Perkara ini pasti mewujudkan ketidakselesaan apabila mereka melihat budaya yang sebelum ini belum pernah disaksikan oleh mereka. golongan etnik-etnik ini tentunya sukar untuk menerimanya dan tidak mungkin akan menerima apa-apa perubahan walhal ianya memberikan banyak faedah dalam kehidupan seharian mereka.


1.2       Politik
1.2.1    Politik perkauman
Kepelbagaian kaum yang wujud menyebabkan masyarakat masing-masing menubuhkan persatuan dan parti politik yang berasaskan kepada kaum masing-masing. Oleh kerana setiap parti bebas menyuarakan pendapat dan isi hati, semangat perkauman semakin menyemarak dalam diri masyarakat di Malaysia. Menurut Mardiana Nordin dan Hasnah Husiin (2004), alasan parti politik ini ditubuhkan mengikut kaum adalah untuk mengelakkan kaum itu ditindas oleh kaum lain. Hakikatnya, keadaan inilah yang sebenarnya akan lebih menimbulkan konflik tentang sesuatu isu yang dibangkitkan.  Perjuangan mereka lebih mementingkan pembelaan kaum masing-masing melebihi kepentingan negara. Manakala krisis nilai dan akhlak yang membelenggu personaliti ahli-ahli politik masa kini juga mengakibatkan berlakunya perselisihan kaum yang menyumbang kepada perpecahan.

            Perkara ini berlaku disebabkan kegagalan kita dalam melahirkan pelapis pemimpin negara yang menghormati dan memahami kaum lain. Malah, ada dalam kalangan ahli politik yang cetek ilmu pengetahuan tentang sejarah di Malaysia mempertikaikan kuasa Raja-raja Melayu dan status kedudukan orang-orang Melayu.  Isu-isu ini bagaikan mencurahkan minyak ke dalam bara api kerana ia boleh membangkitkan api kemarahan orang-orang Melayu dan boleh mencetuskan pertumpahan darah di negara ini. Selain itu, semangat setia akan negara Malaysia juga tidak lagi wujud di kalangan etnik kerana masing-masing pasti ingin menaburkan bakti pada negara mereka sendiri.Hal ini bukan hanya berpunca daripada sikap kaum itu sendiri yang ego dan mementingkan kaum serta gagal untuk menerima perubahan yang terdapat dalam dasar pendidikan. Sebagai contohnya, perlaksanaan dasar bahasa kebangsaan dan sekolah integrasi yang ditentang hebat oleh pelbagai kaum tanpa memikirkan kebaikan dan tujuan murni kerajaan untuk melahirkan generasi yang memahami dan peka terhadap kaum lain.  Corak politik yang sebegini akan menyumbang kepada perpecahan dan pertelingkahan dikalangan ahli-ahli politik dan para penyokongnya, seterusnya akan menghalang berlakunya perpaduan kaum di Malaysia.


1.3       Ekonomi
1.3.1    Dominasi sektor ekonomi
Menurut Mohd Amin Hassan (1992), terdapat dua perkara dari aspek ekonomi yang perlu dilihat.  Pertama ialah penguasaan ekonomi dan yang kedua ialah perbezaan pekerjaan berdasarkan sektor ekonomi. Pertama, penguasaan ekonomi memperlihatkan jurang yang luas bagi setiap etnik. Majoriti kaum Melayu menguasai sektor pertanian yang memerlukan banyak tenaga sumber manusia dan tahap teknologi yang rendah. Kaum cina yang umumnya menguasai perniagaan, perdagangan dan menggunakan teknologi moden. Manakala, kaum India pula banyak terlibat dengan perladangan di estet getah dan kelapa sawit. Kenyataan di sini sudah membolehkan kita membuat satu kesimpulan iaitu terdapatnya jurang pendapatan yang begitu ketara dan tidak seimbang dalam ekonomi negara Malaysia.  Semua golongan etnik sentiasa mencuba untuk bersaing dalam ekonomi ini untuk berusaha mendapatkan hak dan keuntungan yang lebih besar.


Penguasaan ekonomi yang berbeza serta jurang pendapatan yang tidak seimbang mengakibatkan ketidakstabilan dalam masyarakat majmuk.  Perkara ini memberi implikasi terhadap ketidakpuasan hati bagi semua golongan etnik terutamanya kaum Melayu yang terlibat dalam sektor pertanian. Kaum India juga berdepan dengan nasib yang sama di mana harga getah dan kelapa sawit adalah berlandaskan kepada keadaan ekonomi di dunia. Jika harga meningkat, maka, pulangannya tentu baik dan sebaliknya juga akan berlaku. Golongan etnik Cina pula akan terus mencari peluang-peluang keemasan dalam perniagaan dan mereka dapat hidup dalam hidup yang cukup mewah. Akan tetapi, mereka pasti berasa tidak puas hati yang di mana kebanyakan lubang perniagaan banyak diutamakan kepada kaum Bumiputera atau Melayu. Sudah tentu timbulnya persoalan di lubuk pemikiran mereka di mana hak mereka sedangkan selama ini mereka banyak menyumbang kepada ekonomi negara. Isu-isu sebegini merupakan perkara yang boleh menyebabkan negara kita bergolak. Justeru itu, di dalam Rancangan Malaysia Kedua ada menyatakan  perpaduan negara tidak akan tercapai sehinggalah wujud kesaksamaan dan keseimbangan yang lebih besar dalam kalangan kumpulan etnik di Malaysia melalui penyertaan mereka dalam membangunkan negara dan perkongsian manfaat hasil daripada pemodenan dan pertumbuhan ekonomi.  Perpaduan negara juga tidak boleh disemai sekiranya sebahagian penduduknya kekal miskin dan peluang pekerjaan yang tidak produktif. Fenomena kemiskinan ini bukan sahaja ada di kawasan bandar tetapi juga luar bandar. Keadaan ini boleh menggugat perpaduan negara kerana isu kemiskinan hanya terbelenggu dalam kelompok kaum etnik yang tertentu sahaja.

No comments:

Post a Comment