Saturday, February 3, 2018

IMPAK KERJASAMA ANTARA KAUM DALAM MENCAPAI KATA SEPAKAT (MALAYSIA)

Impak Kerjasama Antara Kaum

Untuk membina sebuah negara yang berdaulat dan merdeka bukanlah suatu perkara yang mudah. Tunku Abdul Rahman sendiri mengakui dan beliau berkata;
"...merdeka itu bukanlah suatu benda yang mudah boleh didapat, melainkan ialah dikehendaki untuk mendapatkannya itu iaitu pengorbanan yang sebenar pengorbanan. Dengan kerananya kita terpaksa mengorbankan, bukan sahaja wang ringgit dan usaha tenaga bahkan jiwa kita sendiri juga.’’ (JPM, 2015)
Latihan untuk berkerajaan sendiri terpaksa dilalui dalam memastikan rakyat tempatan mampu mentadbir negara sendiri pada masa hadapan.  Pada masa yang sama, rakyat juga harus turut serta berganding bahu dan bermuafakat agar kemerdekaan dapat digapai. Justeru itu, tidak dapat dinafikan bahawa kebijaksanaan pemimpin-pemimpin terdahulu telah berjaya melakukan rundingan dalam mencapai kemerdekaan tanpa berlaku pertumpahan darah sedikitpun. Perkara seperti inilah yang patut kita contohi dan hargai dalam usaha kita terus mengekalkan negara aman dan makmur agar kesenangan ini berkekalan dan dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

            Kesan Kerjasama Antara Kaum yang dilakukan oleh pemimpin terdahulu kepada negara selepas merdeka adalah melahirkan perpaduan di kalangan pemimpin-pemimpin negara. Semasa penubuhan UMNO oleh Dato’ Onn Jaafar, beliau telah membawa masuk kaum-kaum lain ke dalam persatuan ini untuk membincangkan masalah bersama. Seterusnya wujudlah persatuan MCA yang ahlinya terdiri dari orang Cina dan MIC orang India. Persatuan-persatuan ini bersama-sama membincangkan langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk mengatasi masalah perpaduan. Kerjasama Antara Kaum juga telah melahirkan pemimpin yang dapat memberi teladan kepada rakyat, memperlihatkan kepada mata dunia walaupun negara kita berbilang bangsa kita masih dapat duduk di bawah satu bumbung negara Malaysia. Penubuhan UMNO juga bertujuan untuk mencapai kemerdekaan Tanah Melayu ketika itu melalui jalinan bersama antara pertubuhan kaum di Tanah Melayu. Kesan daripada negara kita memperoleh kepercayaan oleh pihak British untuk mencapai kemerdekaan negara.

            Selain itu, pemimpin terdahulu telah merancang dengan teliti untuk meningkatkan kerjasama antara kaum melalui ekonomi. Hal ini disebabkan ekonomi setiap kaum di Tanah Melayu ketika itu berbeza menyebabkan rasa tidak puas hati sesetengah kaum. Oleh itu, pemimpin ketika itu telah melakukan beberapa dasar seperti merapatkan jurang ekonomi setiap kaum terutama Bumiputra. Kerjasama antara kaum untuk berkongsi ekonomi seperti pertanian, perladangan, perlombongan dan perniagaan telah melahirkan rasa perpaduan dalam hati setiap kaum kerana ekonomi dibahagikan secara adil oleh pemimpin tanpa mengira kaum. Hal ini menunjukkan betapa prihatinnya gabungan pemimpin dari pelbagai kaum untuk memajukan negara ke arah perpaduan dan kerjasama bersama. Pemimpin terdahulu juga telah menjalinkan usaha bersama antara pihak swasta untuk bersama-sama memajukan ekonomi. Oleh itu, tidak berlaku lagi perpecahan perpaduan di kalangan rakyat Tanah Melayu ketika itu dan penambahbaikan sentiasa dilakukan dan ekonomi negara berkembang pesat.

            Di samping itu, dalam aspek pendidikan pula pemimpin terdahulu telah merancang dengan teliti berkenaan perbezaan sistem pendidikan menyebabkan kurangnya interaksi antara kaum di Tanah Melayu. Kerajaan memainkan peranan utama dalam membentuk landskap masyarakat Malaysia. Melalui dasar-dasar  dan strategik yang dilaksanakan, perubahan demi perubahan telah kelihatan, malah menjadi agenda utama negara untuk membangunkan masyarakat. Selain itu, pemimpin terdahulu telah menjadi penghubung suara setiap kaum di Tanah Melayu ketika itu untuk menyampaikan hasrat mereka. Setiap apa yang tidak berkenan di hati setiap kaum telah disuarakan kepada pemimpin mengikut kaum dan dibawa ke meja bulat perbincangan antara kaum. Dasar-dasar telah dibina seiring dengan hubungan masyarakat yang harmoni.

RUMUSAN
Apabila direnung kembali kronologi bagaimana kemerdekaan Tanah Melayu dicapai, perkara yang perlu diberi perhatian semestinya bermula daripada usaha kearah perpaduan kaum diikuti oleh usaha kearah kerjasama pelbagai kaum yang seterusnya membawa kepada proses memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu. Justeru, jika diteliti berbagai-bagai usaha telah dilakukan agar Kemerdekaan yang diimpikan oleh penduduk Tanah Melayu bukan lagi sekadar “omong kosong” semata-mata. Di samping itu, tuntutan kemerdekaan yang lebih bersifat demokrasi tanpa pertumpahan darah merupakan sesuatu yang amat membanggakan dan harus dicontohi. Ini menunjukkan bahawa rundingan secara kerjasama merupakan suatu langkah yang amat produktif dalam mengetengahkan sesuatu tuntutan mahupun pendapat dan bukanlah melalui kekerasan semata-mata ataupun perjuangan yang bersifat agresif sehingga menimbulkan provokasi yang melampau yang akan mengorbankan nyawa.


            Konsep 1 Malaysia yang diketengahkan oleh Dato Sri Najib Razak yang berasaskan prinsip ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’’ menerangkan bahawa kerjasama kaum merupakan kunci dalam menghadapi segala cabaran dan dugaan dalam mencapai matlamat negara yang telah ditetapkan. Justeru, masyarakat perlu saling memahami dan menghayati lapan nilai 1 Malaysia iaitu budaya, kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti. Selain itu,  untuk mencapai negara yang maju, sikap penerimaan antara kaum membawa kepada perpaduan yang utuh perlu diamalkan. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara yang berjalan dengan lebih lancar. Malaysia pada hari ini berada dalam proses pembangunan yang menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan global yang besar. Dengan itu, negara ini amat memerlukan kesatuan dari semua golongan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa.

No comments:

Post a Comment