Saturday, February 3, 2018

PENDIDIKAN SEKSUALITI DI SEKOLAH (KEBAIKAN DAN KEBURUKAN)

1.0       PENGENALAN

Wawasan 2020 telah dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pada 28 Febuari 1991 yang akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara perindustrian dan negara maju menjelang tahun 2020. Wawasan 2020 sudah tidak asing lagi dalam diri masyarakat di negara Malaysia. Bermula dari sekarang (2016), hanya empat tahun sahaja masa yang ada untuk negara Malaysia menjadi negara maju. Cita-cita untuk menjadikan negara Malaysia negara yang maju menjelang tahun 2020 merupakan suata impian yang dinamik. Kejayaannya di masa hadapan banyak bergantung pada kefahaman dan amalan keagamaan, persefahaman antara kaum, keilmuan yang tinggi dan canggih, kesatuan nasional, keadilan sosioekonomi, kematangan politik, pembangunan ekonomi dan teknologi, perpaduan, perhubungan manusia dan pembentukan akhlak. Ini kerana untuk menjadi negara yang maju bukanlah memerlukan kemewahan dan kekayaan negara semata-mata tetapi juga berupaya mengembangkan kekuatan akidah dan kerohanian.

Oleh yang demikian, menularnya gejala sosial merupakan suatu tembok penghalang kepada mencapainya wawasan 2020. Sesetengah remaja sering bergelumang dan terhanyut dengan pelbagai gejala yang negatif dan penyakit sosial seperti vandalisme, penyalahgunaan dadah, perompakan, seks bebas, pelacuran dan sebagainya. Ini kerana zaman remaja merupakan suatu cabaran yang bukan sahaja perlu dihadapi oleh anak-anak tetapi juga ibu bapa. Mereka bukan sahaja mengalami perubahan pesat dari segi fizikal yang mula menampakkan ciri-ciri kelelakian dan kewanitaan, tetapi juga dari segi emosi, fikiran dan sosial. Remaja sebagai tonggak dan tiang negara harus mempunyai kekuatan dari segi fizikal, mental, rohani dan psikologi supaya menjadi insan yang proaktif, dinamik, berjiwa perintis dan berdaya maju agar dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

2.0       DEFINISI PENDIDIKAN SEKSUALITI
Pendidikan seksual merujuk kepada kursus formal tentang pengajaran pembiakan atau reproduktif yang diperkenalkan dalam kurikulum sekolah. Dinyatakan juga bahawa pendidikan seksual pada asasnya bertujuan untuk mengetahui diri sendiri dari aspek seksual dan membolehkan seseorang itu memahami apa proses yang berlaku dalam dirinya sejak dilahirkan sehinggalah menggapai alam dewasa. Menurut pandangan Islam pula, manusia yang dilahirkan di dunia telah dibekalkan dengan pelbagai fitrah termasuk fitrah seks. Fitrah manusia terhadap seks merupakan fitrah yang terpendam dalam diri manusia itu sejak lahir lagi. Seks dikenali sebagai nafsu syahwat iaitu suatu kekuatan pendorong hidup yang dimiliki manusia secara fitrah dan ianya merupakan kekuatan naluri yang paling dominan. Ini dapat dilihat melalui kitab al-Quran yang mana telah menjelaskan bahawa keinginan uatama dan pertama seorang lelaki adalah wanita. Kenyataan ini sesuai dengan firman Allah S.W.T yang bermaksud seperti berikut :
“Dihiaskan kepada manusia mencintai syahwat (keinginan nafsu) seperti  wanita-wanita, anak-anak dan harta-benda yang banyak dari emas, perak, kuda yang bagus, binatang ternakan dan tanam-tanaman. Demikian itulah kesukaan hidup di dunia dan di sisi  Allah tempat yang sebaik-baiknya.”
                                                                                                                           ( Ali-Imran: 14)

            Secara fitrahnya naluri seks manusia berkembang dalam usia yang tertentu iaitu bagi lelaki naluri seksnya timbul dalam lingkungan umur 16 tahun manakala perempuan pula dalam lingkungan usia 12 tahun. Ini jelas menunjukkan dalam hayat manusia, dorongan seksual memuncak pada zaman remaja. Kejahilan umat manusia dalam melestarikan keinginan dan keperluan seksual akan menimbulkan berbagai gejala yang menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam seperti hubungan seks sebelum berkahwin, pelacuran, kehamilan luar nikah dan sebagainya. Oleh yang demikian, dalam hal ini pendidikan seksualiti kepada golongan remaja khususnya amatlah penting untuk membimbing mereka ke jalan yang betul iaitu mengikut syariat Islam. Islam memandang pendidikan seks secara universal di mana pendidikan seks merupakan sebahagian daripada pendidikan akhlak iaitu mendidik manusia supaya mematuhi segala perintah Allah S.W.T dan menjauhi larangan-Nya. Jelas di sini Islam mementingkan pendidikan seks kepada anak-anak mereka agar mereka dapat membina peribadi yang mulia dan mengelakkan penyelewengan dalam hal-hal berkaitan seks.

            Pendidikan seks perlu didedahkan kepada anak-anak murid di sekolah bagi memperlihatkan akhlak yang terkandung di dalamnya dan institusi yang boleh menerapkan nilai ini adalah keluarga dan sekolah (Mohamad Shatar Sabran, 2003). Justeru itu, ibu bapa dan guru memainkan peranan yang penting sebagai ajen dalam menyampaikan maklumat kepada anak atau murid. Setiap ibu bapa dan guru juga haruslah melengkapkan diri dengan ilmu berkaitan pendidikan seks supaya mereka lebih yakin dan bersedia dalam menjalankan tugas mendidik. Pendidikan seks di Malaysia setakat ini telah dijalankan secara merentasi kurikulum dalam beberapa matapelajaran. Buat masa ini belum ada kurikulum atau modal pendidikan seks yang khas disediakan sebagai panduan guru-guru. Namun, dalam subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan terdapat banyak aspek pendidikan seks yang diajarkan contohnya isu perkahwinan, peranan dan tanggungjawab keluarga, masalah pembuangan bayi, isu-isu kekeluargaan, seks abnormal, penyakit kelamin dan lain-lain.


3.0       Pendidikan Seks di Kalangan Remaja dan Pelajar Sekolah
Zaman remaja merupakan masa paling rumit serta cabaran yang harus ditempuhi oleh anak-anak. Mereka bukan sahaja mengalami perubahan fizikal yang mula menampakkan sifat-sifat kewanitaan atau kelelakian, tetapi juga emosi, kognitif dan sosial. Dengan perubahan hormon dan dunia yang serba kompiten, mereka merasakan bahwa tidak ada sesiapapun yang memahami perasaan mereka termasuk ibu bapa. Ditambah pula dengan era globalisasi yang mendedahkan mereka dengan pelbagai pengaruh dari luar.

Oleh itu, untuk mengelakkan golongan remaja ini daripada terjerumus dalam kancah negatif, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah mencadangkan kepada kabinet agar pendidikan seks diperkenalkan dalam sistem pendidikan negara. Ini berikutan dengan peningkatan kes rogol, seks luar nikah, penderaan seksual, sumbang mahram, pengguguran dan pembuangan bayi serta penularan penyakit AIDS. Remaja sebagai tonggak dan tiang negara harus mempunyai kekuatan dari segi fizikal, mental, rohani dan psikologi. Remaja tidak seharusnya berada di takuk yang lama sebaliknya mereka harus cuba untuk melengkapi diri mereka terutamanya berkaitan dengan aspek-aspek di atas supaya menjadi insan yang proaktif, dinamik, berjiwa perintis dan berdaya saing agar dapat menyumbang kepada pembangunan negara.


3.1       Kebaikan Pendidikan Seks

3.1.1    Pelajar mendapat pemahaman yang lebih tepat dan cara didikan yang betul

Majoriti daripada remaja-remaja di Malaysia mempunyai idea yang tidak jelas atau kabur tentang perkembangan jasmani diri mereka sendiri. Terdapat juga remaja yang mempunyai pengetahuan yang salah mengenai satu aspek pusingan haid. Hal ini mungkin berpunca daripada sumber maklumat yang salah kerana menurut secara umumnya para remaja mencari maklumat berkaitan seks daripada sumber-sumber yang bukan peribadi seperti buku, majalah, filem dan sebagainya. Rasa inkuiri iaitu ingin untuk tahu dan ingin merasa sememangnya begitu mendalam pada usia remaja mungkin akan disalahgunakan akibat penyebaran cerita-cerita yang banyak merosakkan jiwa remaja.  Walaupun semua remaja berasal dari latar belakang agama yang berbeza yang melarang hubungan seks sebelum kawin, namun apa yang ditakutkan dengan pengetahuan yang kabur ini merek akan cuba untuk mempratikkannya. Kita juga tidak dapat menafikan kemungkinan bahawa terdapat sesetengah sumber yang kurang bertanggungjawab dan kadang-kala memperalatkan seks sebagai objek dagangan.
           
            Dalam pada itu, para remaja marcapada ini lebih menurut kehendak rakan sebaya daripada ibu bapa mereka sendiri. Sekiranya mereka tidak mendapat penerangan atau didikan seks daripada ibu bapa atau di sekolah maka mereka berbincang hal-hal berkaitan dengan seks dengan rakan sebaya. Ini semestinya akan menimbulkan kesan yang amat serius. Ini kerana rakan sebaya merupakan golongan yang belum mencapai kematangan dari segi kognitif mereka. Oleh yang demikian, maklumat mengenai seks yang diberi oleh mereka itu mungkin salah jika dibandingkan dengan maklumat yang disampaikan oleh golongan dewasa seperti ibu bapa atau guru-guru di sekolah yang lebih berpengalaman dan matang.

3.1.2    Membantu ibu bapa dalam mendidik anak tentang pendidikan seks
Ibu bapa merupakan orang yang terdekat dengan anak-anak. Sejak mereka dilahirkan ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk membesarkan dan mendidik anak mereka. Sepanjang perkembangan mental dan fizikal anak-anak, mereka menjadikan ibu bapa sebagai teladan dalam mempelajari cara bercakap, tingkah laku, tabiat dan nilai yang dipegang dan sebagainya. Berdasarkan keadaan ini, ibu bapa secara tidak langsung telah menjadi pendidik asas untuk anak-anak mereka. Ibu bapa bukan sahaja menumpukan tanggungjawab dalam memenuhi keperluan dari segi fisiologi sahaja iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal, malah keperluan keselamatan dan kasih sayang amat penting dalam mewujudkan suasana harmonis dan bahagia. Ini selaras dengan teori yang dikemukakan oleh Maslow dalam Teori Hirarki Keperluan Maslow. Oleh itu, ibu bapa bertanggungjawab untuk menjelaskan perkara-perkara mengenai seks kepada anak-anak mereka. Malangnya mungkin terdapat ibu bapa yang tidak mampu melaksanakan tanggungjawab ini. Beberapa kajian mendapati bahawa ibu bapa tidak rela untuk memberikan informasi atau maklumat yang berkaitan dengan seks kepada anak-anak mereka. Beberapa faktor yang menyebabkan ibu bapa gagal untuk mendidik anak mereka tentang seks adalah seperti yang berikut :

    a.     Ibu bapa tidak bersedia
Ibu bapa tidak bersedia berbincang mengenai seks secara terbuka dengan anak-anak menyebabkan mereka sering menangguhkan dan mengelak dari perbincangan . Keengganan ini menyebabkan anak-anak tertanya-tanya. Tambahan pula sikap inkuiri remaja yang membara di jiwa anak-anak muda. Ini mendorong mereka untuk mendapatkan maklumat  daripada rakan-rakan mereka. Ini kerana rakan-rakan lebih bersifat terbuka. Lama kelamaan, mereka akan mendapatkan info melalui pembacaan atau menonton video lucah secara sembunyi tanpa pengetahuan ibu bapa.

 Selain itu terdapat ramai ibu bapa beranggapan pendidikan seks terlalu peribadi dan mereka tidak sanggup membincangkan hal-hal ini dengan anak remaja mereka. Ibu bapa tidak sanggup menghadapi pertanyaan ‘bukan-bukan’ dari anak remaja mereka. Namun demikian, kajian menunjukkan bahawa sememangnya ibu bapa mempunyai sikap positif terhadap pendidikan seks. Ibu bapa mengakui yang anak-anak mereka harus didedahkan kepada pengetahuan dan maklumat seks yang jelas untuk menjamin keselamatan anak masing-masing. Ibu bapa juga menyokong pengenalan pendidikan seks di sekolah kerana mereka lebih suka orang lain untuk menyampaikan maklumat seks kepada anak mereka.

    b.    Ibu bapa sibuk
Tuntutan kehidupan semasa yang mementingkan status dan material menyebabkan ibu bapa lebih mementingkan kerjaya daripada keluarga sendiri. Urusan pejabat dan aktiviti sosial kadang kala mendapat perhatian lebih dalam kalangan ibu bapa. Ini menyebabkan mereka selalu pulang lewat malam dan mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Fenomena ini menyebabkan anak-anak mereka berasa tersisih dan beranggapan ibu bapa mereka tidak menyayangi mereka dan seterusnya merenggangkan hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak. Renggangnya hubungan ini menyebabkan anak-anak merasa malu untuk berkongsi masalah dengan ibu bapa mereka terutamanya berkaitan dengan seks. Sebaliknya mereka tidak berasa malu atau kurang selesa untuk mengadu dengan teman sebaya mereka.

Oleh yang demikian, melalui pendidikan seks di sekolah anak-anak remaja bukan sahaja boleh mendapatkan maklumat yang betul berkaitan seks malahan juga sekiranya anak remaja ini mempunyai sebarang masalah tentang seks, mereka boleh merujuk kepada guru yang mengajar mereka. Ini mungkin boleh meringankan beban yang dihadapi oleh anak-anak remaja kerana mereka merasakan ada tempat untuk mengadu sekiranya mereka menghadapi masalah.

3.1.3    Pelajar lebih yakin mengenai isu-isu seksualiti
Dengan pengetahuan yang diperoleh secara formal, pelajar lebih berkeyakinan membincangkan isu seks dan mengadu masalah yang mereka hadapi dan berusaha mencari penyelesaiannya. Dalam pada itu, mereka juga diandaikan tidak mudah terpengaruh dan terbabit dengan kegiatan maksiat. Oleh itu, institusi pendidikan sememangnya amat sesuai melaksanakan pendidikan seks dari perspektif pembangunan manusia. Jika pendidikan  seksual dapat dilaksanakan dengan bijaksana, ia boleh memberi sumbangan yang positif kepada matlamat melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, rohani, emosi dan intelek seperti yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara.

            Proses pendidikan yang bersepadu dan berterusan merangsang remaja mengenalpasti dan membezakan nilai murni kemanusiaan dan kehidupan dengan lebih rasional dan mampu menghayati nilai ini dengan bijaksana dan berhemah, khususnya berkaitan dengan seks. Bukan jua mustahil bahawa melalui pengajaran dan pembelajaran yang terancang, kefahaman seks dapat diterapkan untuk meningkatkan keprihatinan remaja terhadap gejala negatif seks. Oleh yang demikian, penulis dalam hal ini mencadangkan kepada setiap individu pelajar memahami nilai keagamaan dan menanamnya dalam sanubari agar pembentukan akhlak masyarakat berasaskan agama akan menjamin kualiti insan yang lebih beretika dan berakhlak tinggi.

3.2       Keburukan Pendidikan Seks
3.2.1    Membebankan pelajar
Apa yang menarik perhatian penulis dan ingin dikritik menerusi penulisan ini ialah isu pendidikan seks yang terdapat suara mewar-warkan ia bakal dilaksanakan di negara kita tidak lama lagi. Tetapi dasar kerajaan ini masih berada di tahap penyelidikan dan belum tentu lagi ia akan dilaksanakan. Mereka akan menilai terlebih dahulu dan sebarang pandangan akan diselidik sebaik mungkin. Ini membuktikan bahawa kerajaan Malaysia begitu prihatin tentang pendidikan di Malaysia.  Hal ini kerana ia bukanlah sesuatu isu yang remeh tetapi melibatkan masa depan rakyat sekaligus pencorak pembangunan negara di masa hadapan.

Pada masa kini, bilangan matapelajaran yang diambil oleh pelajar sememangnya sudah sedia banyak. Sekiranya pendidikan seksual ini dijadikan mata pelajaran wajib dipelajari, maka ianya akan membebankan pelajar. Pada pendapat penulis, pendidikan seksual yang dijalankan sekarang iaitu disepadukan dengan mata pelajaran lain seperti agama, pengajian moral dan sains harus dikekalkan seperti yang sedia ada. Kementerian Pelajaran hanya perlu menjalankan kajian mengenai perlaksanaan kurikulum tersebut. Tindakan yang perlu mungkin boleh diambil untuk memperkemaskan dari segi perlaksanaannya. Selain itu, pemantauan terhadap perlaksaan perlu dijalankan dari masa ke semasa untuk memastikan objektif dan matlamat kurikulum pendidikan seksual itu tercapai.

3.2.2    Menimbulkan kesan buruk
Mata pelajaran pendidikan seksual bukan penyelesaian masalah gejala sosial, malah boleh menyubur dan menambah masalah sosial dalam kalangan remaja. Ini kerana apabila mereka disogokkan dengan mata pelajaran tersebut maka remaja akan lebih cenderung menggunakan daya imaginasi mereka ke arah menyelami dunia seks sebenar. Ia akan mengundang bahaya yang lebih besar kerana peringkat umur remaja adalah peringkat proaktif, iaitu mahu mencuba. Kurangnya pengetahuan tentang seks menyebabkan mereka melakukan perbuatan tercela itu kerana tidak dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk.

Laporan kajian mendapati lebih daripada 50% remaja pernah berbincang dengan rakan-rakan mengenai seks, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dalam permasalahan mereka. Tambahan pula, sebanyak 64.4% remaja dan pelajar sekolah pernah membaca dan menonton gambar atau video lucah dan ingin mencuba selepas menontonnya. Aktiviti ini mungkin ada kaitan dengan perkembangan akil baligh dan kematangan seksual. Kebanyakan ibu bapa beranggapan bahwa apabila sampai masanya maka anak-anak akan tahu sendiri. Namun kita alpa akan kemajuan negara yang mendewasakan mereka sebelum waktunya. Remaja sentiasa ingin tahu dan ingin mencuba. Jika tidak diberi maklumat yang betul, mereka akan berusaha untuk mendapatkan maklumat tersebut dengan cara yang lain. Dalam dunia sekarang, banyak anasir negatif hanya menunggu masa untuk mengambil kesempatan terhadap remaja yang jahil mengenai seks.
                       
3.2.3    Kelemahan perlaksanaan kurikulum sedia ada
Di Malaysia, walaupun pendidikan seksualiti telah dilaksanakan secara merentas kurikulum perdana sejak 1989, namun menurut Rahil Mahyuddin, Marina Abdullah & Habibah Elias (2000) menyatakan bahawa penyampaian pendidikan seksualiti sekarang tidak membawa apa-apa kesan dalam memerangi gejala seksual remaja Malaysia hari ini. Majoriti sarjana berpendapat bahawa kegagalan membekalkan pendidikan seksualiti kepada kanak-kanak sekolah khususnya Kanak-Kanak Bermasalah Pembelajaran (KKBP) itu berpunca daripada aspek kelemahan perlaksanaan kurikulum Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP) sedia ada. Kekaburan elemen seksualiti di dalam kurikulum PKBP sedia ada telah menyebabkan guru PKBP tidak menyedari akan kepentingan pendidikan seksualiti untuk murid mereka. Ini secara langsung menyebabkan murid mereka kekurangan pengetahuan seksualiti dan seterusnya amat mudah terjerat menjadi mangsa jenayah seksual. Penyediaan bahan pengajaran atau modul pendidikan seksualiti merupakan satu cara untuk mengatasi kelemahan yang ada ini.


         Pendapat penulis mengenai masalah ini akan pasti bertambah serius memandangkan belum terdapat latihan atau bahan sokongan (modul) diberi kepada guru-guru PKBP pra perkhidmatan atau dalam perkhidmatan oleh mana-mana institusi latihan perguruan kita. Memandangkan sumber utama pengetahuan seksualiti kebanyakan kanak-kanak sekolah menengah ialah daripada guru mereka berbanding dengan ibu bapa dan media massa. Ini bermakna selain ibu bapa, peranan guru sebagai pembekal pengetahuan seksualiti tidak dapat dipertikaikan. Ini sesungguhnya benar dalam dunia pendidikan khas hari ini kerana sebahagian besar masa KKBP dihabiskan di sekolah. Oleh sebab itu, kajian perlu melibatkan ibu bapa dan guru agar memperolehi input berguna bagi membolehkan pembinaan modul pendidikan seksualiti masalah pembelajaran. Seterusnya modul yang telah dibina perlu dinilai bukan sahaja dari segi kualiti tetapi juga dari segi penerimaan sosial. Penilaian tambahan dari segi penerimaan sosial perlu dilaksanakan di dalam kajian ini memandangkan pendidikan seksualiti merupakan suatu isu yang hangat dan kontroversi.


4.0       KESIMPULAN

Pendidikan seksual adalah perlu didedahkan kepada golongan remaja sejak di bangku sekolah supaya mereka tidak mendapatkan maklumat mengenai naluri seksual daripada sumber yang salah dan menganggap bahawa remaja yang cemerlang dalam bidang akademik juga akan cemerlang dalam pembentukan sahsiah. Golongan mahasiswa juga tidak terlepas daripada gejala yang tidak bermoral ini kerana kurang yang  ilmu pengetahuan dan masyarakat haruslah membuka minda dan tidak hanya berfikiran konservatif kerana apa yang berlaku pada hari ini golongan remaja matang sebelum sampai masanya disebabkan oleh pengaruh persekitaran yang banyak menekan.


Dengan demikian, peranan sekolah dalam memberikan pendidikan seks merupakan  suatu tanggung jawab moral bagi perkembangan anak didik. Peranan sekolah haruslah  diberikan satu sokongan bahawa sekolah merupakan suatu institusi yang bersifat komplementeri  dan membantu para ibubapa dalam melancarkan  tugas dan peranan para ibubapa  terutama  dalam menanamkan sikap dan perilaku seksual anak terhadap hakikat seksualiti  manusia.

No comments:

Post a Comment