Saturday, February 3, 2018

PEMBINAAN NEGARA BANGSA MALAYSIA

1.0          1.0        PENGENALAN

Pembinaan negara bangsa merupakan suatu matlamat utama sesebuah negara dan boleh dianggap sebagai kemuncak kejayaan bagi sesebuah negara, pentadbiran dan penduduknya. Merujuk kepada Malaysia, proses awal pembinaan negara bangsa lebih tertumpu kepada keperluan politik. Usaha-usaha secara intensif bagi mencapai matlamat mula dilaksanakan selepas peristiwa 13 Mei 1969 khususnya menerusi rancangan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Matlamat yang lebih jelas pula hanya muncul ekoran pengenalan Wawasan 2020 oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed pada tahun 1991.

            Walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan dan pemimpin namun unsur-unsur penghalang kebanyakannya berakar umbikan sentimen perkauman masih mengepompongi sebahagian rakyat negara ini termasuklah pemimpin-pemimpin politik yang sepatutnya berperanan sebagai role model bagi mencapai matlamat tesebut. 1 Malaysia umpamanya, merupakan antara agenda di bawah kepimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk membentuk sebuah negara yang dikongsi bersama atau dianggap sepunya.

            Keupayaan membinan negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai serta semangat patriotisme, lingua franca, integrasi, kewarganegaraan dan demokrasi. Keupayaan membina sebuah negara bangsa merupakan kemuncak kejayaan sesebuah negara. Hal ini kerana tanpa perpaduan dan rasa kekitaan dalam masyarakat perlbagai kaum akan menyebabkan berlakunya ketidakstabilan politik. Pembinaan negara bangsa bagi sesebuah negara berbilang kaum seperti di Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan daripada pelbagai negara.



2.0          PEMBINAAN NEGARA BANGSA DI MALAYSIA

2.1       Konsep dan Pengertian Negara Bangsa
Konsep negara bangsa merupakan bangsa idaman yang ingin dijelmakan oleh sesebuah negara. Konsep negara bangsa menjurus kepada sebuah negara yang berdaulat dengan rakyatnya hidup bersatu-padu tanpa sentimen perkauman, keturunan, agama, bahasa, budaya, semangat kedaerahan yang boleh menghalang kepada pembentukan negara bangsa. Usaha kearah pembinaan negara bangsa ini bukan mudah kerana pembentukan negara bangsa sukar berlaku melalui perancangan dan program tetapi ia terbina hasil daripada proses semula jadi di bawah asas sejarah yang terbina sejak dahulu.

Terdapat tiga takrifan tentang ‘bangsa’. Pertama, bangsa boleh dilihat dari sudut perundangan. Dalam konteks ini, konsep warganegara yang menakrifkan bangsa Malaysia boleh terbentuk dengan tiga syarat iaitu menjadi warga Malaysia, mengamal cara hidup Malaysia berlandaskan kebudayaan Melayu dan menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa harian. Kedua, pengertian ‘bangsa’ boleh dihurai berlandaskan keturunan darah yang menakrifkan manusia berdasarkan ciri (biologi) dan budaya yang diwarisinya. Bangsa dalam pengertian ini membawa maksud kaum, ras dan etnik. Ketiga, ‘bangsa’ dirujuk sebagai satu ‘nation’ yang membawa maksud komuniti politik dalam wilayah tertentu. Konsep ini diperkuatkan lagi melalui ‘identiti sepunya’ seperti perkongsian wilayah bersama, perkongsian ekonomi, perkongsian masa hadapan bersama serta unsur-unsur subjektif yang dikongsi bersama merangkumi bahasa, budaya dan sastera.

            Menurut Tun Dr. Mahathir Mohamad (1991) iaitu mantan Perdana Menteri Malaysia turut menakrifkan ‘negara bangsa’ dibina dan dibangunkan dengan rakyat yang menyanjung masa depan yang  dikongsi bersama, berintegrasi seluruh wilayah dan kelompoknya, menikmati kehidupan bersama berasaskan persamaan hak dan keadilan, menumpukan taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah-bahagi terhadap bangsa dan negara mereka. Jika diteliti pemyataan Tun Dr. Mahathir ini,  sesebuah negara itu diibaratkan sebagai sebuah keluarga yang setiap rakyatnya adalah ahli dalam keluarga tersebut. Sebagaimana anak-anak diberikan keadilan dan hak, rakyat dalam sesebuah negara juga harus merasakan bahawa mereka diperintah secara adil dan diberikan hak masing-masing.

2.2       Proses Pembinaan Negara Bangsa
2.2.1    Bina Negara
Proses pembinaan negara bagi sesebuah negara adalah tidak sama antara satu negara dengan negara yang lain. Proses pembinaan negara ini dipengaruhi oleh faktor persekitaran. Ada sesetengah negara pernah menjadi tanah jajahan manakala sebahagian negara pula merupakan negara merdeka sejak awal penubuhannya. Justeru itu, ada negara yang mencapai tahap perubahan yang cepat dan ada juga yang agak lewat. Hanya selepas perang Dunia Kedua berakhir, wajah pembinaan negara berasaskan pelbagai kaum mula tergambar. Sebelum tarikh tersebut, pembinaan negara bangsa hanya berkisar antara orang-orang Melayu sahaja.

Bermula dengan rancangan Malayan Union pada tahun 1946 dan kemudiannya pada tahun 1948, barulah Persekutuan yang dicadangkan British  memberi wajah pelbagai kaum di negara ini yang sebenar apabila Persekutuan Tanah Melayu yang ditubuhkan mula melonggarkan pemberian kerakyatan bersyarat kepada penduduk bukan Melayu (Ismail Said, 2010). Akhirnya, pembinaan negara menjadi realiti apabila kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957 diperoleh daripada Inggeris.

Sebagai mengukuhkan lagi asas bina negara yang sudah dilakukan, ia diikuti pula dengan pelaksanaan penubuhan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Hasilnya, Malaysia wujud sebagai sebuah negara berdaulat dan bebas daripada cengkaman penjajahan. Biarpun begitu pada saat itu apa yang ada ialah hanya sebuah pembinaan negara sahaja.

2.2.2    Bina Bangsa
Perkembangan pada tahap kedua dimulakan selepas kemerdekaan 1957 dengan memperlihatkan bentuk perhubungan awal yang longgar antara kaum. Dasar Pecah dan Perintah British telah menambah sukarkan lagi proses ini, begitu juga kesan Perang Dunia Kedua yang merenggangkan hubungan kaum Melayu dan Cina.
Interaksi antara anggota masyarakat pada tahap ini berada dalam paras yang minimum sebagai contoh mereka hanya bermasyarakat dalam bentuk pertemuan ketika menjalankan urusan perniagaan ataupun urusan harian seperti pekerjaan dan lain-lain. Secara keseluruhannya, tahap ini adalah tidak memuaskan hati kerajaan dan jelas amat minimum dalam usaha menyatukan semua warganegara pelbagai kaum sebagai suatu bangsa.

2.2.3    Penyertaan Rakyat
Berdasarkan perkembangan tahap Kedua, adalah jelas proses pembinaan negara bangsa tidak akan tercapai tanpa penyertaan menyeluruh daripada keseluruhan rakyatnya. Ini bermaksud setiap anggota masyarakat mestilah berganding bahu dalam mewujudkan suasana yang dapat membantu wujudnya kesatuan yang dicari. Pada tahap ini perhubungan antara kaum menjadi rencam dan wujud kepelbagaian.

Konfrontasi dengan negara jiran Indonesia, begitu juga dengan peristiwa 13 Mei 1969 yang mewujudkan situasi saling bergantungan antara anggota masyarakat. Jurang perbezaan yang wujud antara mereka cuba dirapatkan, nilai persamaan dan kerjasama kaum dicari serta diperluaskan sebagai usaha mewujudkan perpaduan dan integrasi nasional. Pada tahap ini, masyarakat sudah diintegrasikan ke dalam suatu bangsa yang memiliki nilai-nilai identiti yang sama dan mula membentuk sebuah negara bangsa Malaysia.

2.2.4    Pengagihan Nilai-Nilai Masyarakat
Proses pembinaan negara bangsa Malaysia semakin hampir menjadi kenyataan. Toleransi, saling membantu dan persefahaman banyak meningkatkan tahap integrasi antara kaum di Malaysia. Biarpun begitu tanpa usaha-usaha selanjutnya proses mengekalkan momentum kearah bangsa Malaysia yang satu seperti yang sedia ada akan menjadi kendur.

Pengekalan yang dimaksudkan ialah memastikan rakyat berpuas hati dengan usaha yang dijalankan kerajaan dan terdapat pengagihan nilai-nilai masyarakat yang sama adil dan sama rata. Kepuasan hati anggota masyarakat itu kemudiannya diterjemahkan kepada kesediaan mereka tolong menolong, bersatu hati dan bersama mewujudkan negara bangsa Malaysia. Maksud pengagihan pula meliputi semua aspek sosial, ekonomi dan politik. Walau bagaimanapun proses pengagihan yang adil ini tidak harus disalah ertikan dan dilakukan mengikut satu cara sahaja. Pengagihan yang adil itu haruslah mengambil kira dan menimbangkan keadaan perkembangan negara sejak sebelum merdeka dan sehinggalah kepada hari ini.

3.0          Pengertian dan Konsep Perlembagaan
Perlembagaan merupakan satu dokumen yang mengandungi semua susunan peraturan dan undang-dasar yang dianggap penting bagi menjalankan pentadbiran dan pemerintahan  sesebuah negara. Perlembagaan merupakan satu dokumen yang mengandungi semua undang-undang asas negara. Perlembagaan ini wujud hasil daripada kehendak keadaan semasa dan diasaskan atas kebolehan kerajaan untuk menjamin kesemua yang terkandung di dalam perlembagaan itu. Jika undang-undang yang dikanunkan tidak dapat dilaksanakan maka perlembagaan itu tidak bermakna. Oleh yang demikian, perlembagaan mestilah dipegang teguh dan seimbang dengan hasrat orang ramai.

            Secara ringkasnya dapatlah kita simpulkan bahawa perlembagaan ialah undang-undang yang mengandungi prinsip serta peraturan yang menjadi tunjang kepada pembentukan kerajaan dan juga menjadi panduan kerajaan untuk melaksanakan dasar dan mentadbir negara. Perlembagaan menjadi asas penting untuk menjamin kesinambungan pentadbiran dan kestabilan politik bagi menjamin pentadbiran yang jujur, telus, amanah dan adil serta menjamin taat setia rakyat kepada negara.

3.1       Unsur-unsur Tradisi dalam Perlembagaan
Kebanyakan Perlembagaan Persekutuan mengandungi amalan yang diwarisi daripada zaman penjajahan British kecuali peruntukan mengenai pentadbiran, parlimen dan kewarganegaraan. Terdapat juga fasal-fasal yang diwarisi sejak zaman penjajahan dan sehingga kini masih dikekalkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Unsur-unsur tradisi sebenarnya telah wujud sejak ratusan tahun yang lalu sebelum pembentukan perlembagaan pada tahun 1957. Unsur-unsur tradisi ini dianggap sebagai satu kontrak sosial yang meliputi empat aspek iaitu institusi beraja, agama Islam, bahas Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu.

            Keempat-empat unsur tradisi ini diserap sebagai sebahagian kandungan penting dalam perlembagaan persekutuan. Ia berperanan menstabilkan sistem politik negara dan menjamin kesejahteraan rakyat. Suruhanjaya Reid membuat laporan yang menekankan bahawa betapa pentingnya perlembagaan yang mengambil kira faktor-faktor sejarah, tradisi, ekonomi dan sosial yang wujud sebelum tahun 1957. Ini telah menunjukkan bahawa betapa pentingnya unsur-unsur tradisi sehingga dilindungi di bawah Akta Hasutan dan dianggap sebagai isu-isu sensitif sekiranya dijadikan isu perbincangan awam. Ia juga merupakan satu pra-syarat dan permuafakatan yang telah dipersetujui bersama dan sama-sama diterima orang Melayu dan bukan Melayu. Ini bermakna bahawa orang Melayu diberikan hak keistimewaan, Islam menjadi agama rasmi persekutuan dan bahasa Melayu diterima sebagai bahasa kebangsaan sebagai pra-syarat penerimaan hak kewarganegaraan oleh etnik bukan Melayu.

3.1.1    Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera
Unsur tradisi yang pertama adalah kedudukan istimewa orang Melayu yang telah termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Di bawah peruntukan ini, Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab untuk memelihara kedudukan istimewa yang dimiliki oleh orang Melayu dan kaum Bumiputera di negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain.
Orang Melayu menurut tafsiran Perlembagaan Persekutuan, Perkara 160, membawa erti seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari Merdekadan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura, atau ialah zuriat seseorang yang demikian.
Bumiputera di Sabah dan Sartawak pula ialah:
1.    Di Sarawak :  mana-mana suku kaum asli iaitu Bukitan, Bidayuh, Dusun, Dayak Laut, Dayak Darat, Kadazan, Kelabit, Kayan, Kenyah,Kajang,Lugat, Lisum, Melayu, Melanau, Murut, Penan, Sian, Tagal, Tabun dan Ukit atau dia berketurunan campuran daripada kaum tersebut.
2.    Di Sabah : anak atau cucu kepada seorang daripada suatu kaum asli Sabah dan dia telah dilahirkan di Sabah.
Menurut Wu Min Aun (1981), dalam Perlembagaan Persekutuan, hak-hak orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak ada dinyatakan dalam Perkara 153. Hak Istemewa Orang Melayu dan bumiputera meliputi: Bidang Perkhidmatan Awam – Perkara 153 (2, 3 dan 4); Bidang Ekonomi – Perkara 153 (6) dan Bidang Pelajaran – Perkara 153 (2, 3 dan 4). Selain itu, kedudukan istemewa orang Melayu dan bumiputera yang lain juga terdapat dalam peruntukan Perkara 89 dan 90, iaitu berhubung dengan tanah rizab Melayu; dan Perkara 8(5)(f) berkenaan kemasukan orang Melayu dalam Rejimen Askar Melayu dengan pengecualian orang bukan Melayu sebagaimana dikuatkuasakan. Hak-hak ini tidak boleh dipertikaikan dan ia dilindungi di bawah Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1971).

3.1.2    Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
Unsur tradisi seterusnya yang disentuh dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 melalui Perkara 152 adalah bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan. Dalam fasal tersebut telah disebutkan bahawa,‘bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu dan akan kekal seperti itu seperti yang diperuntukkan oleh Parlimen, dengan peruntukan bahawa (a) tidak ada seseorang pun yang akan dihalang dari menggunakan (kecuali hal-hal rasmi), atau mengajar atau mempelajari bahasa-bahasa lain dan (b) tidak ada sebarang peruntukan dalam fasal ini yang boleh mengganggu hak kerajaan persekutuan atau sebarang kerajaan negeri untuk memelihara dan memperkembangkan dan pengkajian bahasa komuniti lain.

Bahasa Melayu telah digunakan secara meluas untuk tujuan-tujuan rasmi seperti dalam mesyuarat, urusan surat menyurat dan prosiding perundangan negeri-negeri Melayu dalam kebanyakan negeri Melayu terutamanya Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu sebelum Perang dunia kedua lagi. Namun selepas perang, keadaan mula berubah hasil daripada penerimaan sistem perundangan British. Namun begitu, setelah Malayan Union dimansuhkan, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tetap mengekalkan bahasa Melayu dan Inggeris sebagai bahasa rasmi dalam Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan kecuali catatan dalam bentuk penulisan mestilah dibuat di dalam bahasa Inggeris.
Penghakisan sedikit demi sedikit penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi mula membimbangkan para golongan cendekiawan pada masa itu termasuklah Dato Onn Jaafar dan Abdul Rahim Kajai yang berpendapat bahawa ini merupakan tanda penjajahan British yang sangat ketara ke atas negeri-negeri Melayu dan masyarakat Melayu. Pencapaian kemerdekaan pada tahun 1957 telah membawa satu sinar baru kepada bahasa Melayu di bawah Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan.

3.1.3    Agama Islam sebagai agama rasmi
Agama Islam menjadi agama anutan orang Melayu sejak lebih 600 tahun lalu. Walaupun dijajah oleh tiga kuasa asing, iaitu Portugis, Belanda dan British, orang Melayu masih kuat berpegang kepada ajaran Islam. Selepas merdeka, kedudukan agama Islam terus terpelihara dan menjadi agama rasmi persekutuan. Namun, agama-agama lain masih boleh diamalkan dengan bebas dalam mana-mana bahagian Persekutuan. Ini telah dijelaskan dalam Perkara 3 bahawa bahawa agama Islam ialah agama rasmi bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas.
Selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, kerajaan pusat diberi kuasa untuk membelanjakan wang bagi tujuan pentadbiran agama islam dan  undang-undang Syariah. Penerimaan Islam sebagai agama Persekutuan membolehkan kerajaan pusat atau negeri menubuh, menyelenggara dan membantu pertubuhan-pertubuhan Islam. Pelbagai bantuan disediakan untuk tujuan ini seperti peruntukan perbelanjaan bagi keperluan majlis-majlis keagamaan.

3.1.4    Pemerintahan Beraja
Sebelum kedatangan penjajah, negeri-negeri Melayu telah berabad-abad amalkan sistem pemerintahan beraja. Raja berkuasa secara mutlak dalam semua urusan pemerintahan dan pentadbiran negeri. Baginda dibantu oleh para pembesar negeri. Selepas pendudukan Jepun, kerajaan British bercadang untuk menubuhkan satu bentuk pemerintahan bercorak kesatuan yang dikenali sebagai Malayan Union. Melalui cadangan Malayan Union ini, raja-raja kekal sebagai pemerintah atas nama dan kuasa mereka dihadkan kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja.

Setelah mendapat bantahan hebat daripada orang Melayu, Malayan Union dibubar dan gantikan dengan satu perlembagaan baharu yang dikenali sebagai Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Perlembagaan baharu ini sedikit sebanyak telah memulihkan semula kedudukan raja-raja Melayu. Seiring dengan itu, beberapa perubahan telah dilakukan ke atas institusi beraja untuk disesuaikan dengan amalan demokrasi berparlimen.


4.0       PERISTIWA PENTING
4.1       PERISTIWA BERDARAH 13 MEI 1969
Tragedi berdarah 13 Mei 1969 merupakan satu detik hitam dalam lipatan sejarah negara. Usaha pembentukan gagasan Malaysia pada tahun 1963 bermatlamat kearah membina sebuah negara bangsa namun terbantut kerana akibat peristiwa ini. Pertelingkahan kaum yang terjadi ini telah mengakibatkan negara telah kehilangan banyak nyawa dan juga kerugian harta benda. Ia berkait rapat dengan Pilihanraya Umum 1969 dan merupakan puncak manifestasi masalah perpduan kaum di Malaysia. Dalam pilihanraya pada tahun tersebut, banyak isu sensitif telah dibangkitkan dan ditimbulkan seperti bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan hak kerakyatan orang bukan Melayu. Dalam pilihanraya tahun 1969, Parti Perikatan gagal memporelah dua per tiga dalam Dewan Rakyat manakala Parti Gerakan dan DAP yang berjaya memporolehi sebanyak 25 kerusi telah mengadakan perarakan di Kuala Lumpur sambal menghina bangsa Melayu.

Oleh yang demikian, hal ini telah memberikan tamparan hebat kepada orang Melayu dan akhirnya UMNO telah mengadakan perarakan balas sebagai tanda bantahan terhadap penghinaan yang dilakukan oleh parti DAP dan Gerakan. Dalam suasana yang tegang dan penuh emosi itu, maka tercetuslah perisitiwa 13 Mei 1969. Peristiwa tersebut telah mengorbankan ramai orang dan menyebabkan banyak kerosakan harta benda (Abu Bakar Hamzah, 1970). Ia juga telah menyebabkan negara kita telah menjadi tumpuan seluruh dunia. Sebenarnya, peristiwa ini merupakan masalah perpaduan yang memang telah lama berakar umbi disebabkan oleh British yang telah memainkan peranan yang cukup besar untuk mewujudkan keadaan sedemikian rupa. Rusuhan kaum 13 Mei telah mendorong kerajaan untuk lebih aktif dan lebih agresif dalam usaha mengatasi permasalahan kaum yang telah wujud berabad lamanya.

4.1.1    Sosioekonomi Antara Budaya Etnik
Dasar pecah perintah dilaksanakan oleh British telah meninggalkan kesan negatif pada negara. Pada zaman pemerintahan British, British telah mengasingkan kelompok-kelompok kaum etnik berdasarkan kegiatan ekonomi. Ini dilakukan oleh mereka kerana demi menjaga kepentingan mereka agar tidak terjejas dengan kewujudan perpaduan kaum kerana mereka mahu mengeksploitasi semaksima mungkin kekayaan semulajadi yang terdapat di Malaysia. Justeru itu, mereka telah menetapkan status dan peranan yang berbeza bagi setiap kaum seperti orang Melayu digalakkan tinggal di kampung, kaum Cina digalakkan untuk tinggal di bandar manakala kaum India pula digalakkan untuk tinggal di kawasan-kawasan estet.

            Dasar ini telah berjaya direalisasikan oleh dan kesannya interaksi antara kaum hanya berlaku di pejabat dan di pasar sahaja. Apabila ini berlaku, maka lahirlah perasaan syak wasangka antara satu kaum dengan kaum yang lain. Kemarahan orang Melayu terhadap ketidakadilan ekonomi mendorong kepada perpecahan kaum. Namun jika diperhalusi isu ini, orang Melayu tidak patut marah kerana mereka tidak cuba berusaha untuk bersaing dengan kaum-kaum lain untuk lebih maju dan bukannya sentiasa menyalahkan takdir.

5.0       Dasar-dasar Kerajaan ke Arah Perpaduan Masyarakat Majmuk di Malaysia
5.1       Dasar Pendidikan Kebangsaan
Dasar Pendidikan Kebangsaan adalah hasil daripada Akta Pelajaran 1961 yang berdasarkan syor laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960. Ia telah dimaktubkan dalam Ordinan Pendidikan 1957. Pada amnya, dasar ini bertujuan untuk membantu menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan kaum melalui satu sistem pendidikan yang menitikberatkan penggunaan Bahasa Melayu dalam pembelajaran. Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar yang utama serta berasaskan kokurikulum, peperiksaan dan kegiatan kokurikulum yang sama. Antara langkah yang telah diambil ialah Bahasa Inggeris diwajibkan di semua sekolah rendah. Selain itu, Bahasa Melayu dan Inggeris diwajibkan di semua sekolah peringkat menengah.  Kurikulum yang disediakan juga mempunyai sukatan pelajaran yang sama. Aktiviti kokurikulum yang dapat memupuk disiplin dan perpaduan juga digalakkan.

Dasar pendidikan ini penting bagi memupuk perpaduan tertumanya langkah yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang utama. Ini memberikan kefahaman dan rasa saling memahami sambal menghindarkan rasa syak wasangka antara satu sama lain kerana mereka dapat berkomunikasi menggunakan bahasa tunggal  iaitu Bahasa Melayu. Melalui aktiviti kokurikulum pula ia akan dapat melahirkan insan generasi yang dapat menghargai perpaduan dan bermoral tinggi agar tidak berlaku peristiwa 13 Mei 1969. Ia juga boleh dihayati menerusi falsafah pendidikan negara yang telah ditetapkan seperti yang berikut:

‘‘Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi  potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”.

5.2       Dasar Kebudayaan Kebangsaan
Dasar Kebudayaan Kebangsaan penting bagi memenuhi hasrat dan aspirasi negara membangun yang mempunyai penduduk berbilang kaum seperti Malaysia. Pengalaman Malaysia telah membuktikan kepada dunia luar bahawa penduduk berbilang kaum dan agama boleh berpegang kepada  satu fahaman budaya yang sama. Maka daripada itu, identiti dan keperibadian kebudayaan Malaysia boleh dianggap unik. Dasar ini menjadi garis panduan dalam membentuk, mewujudkan dan mengekalkan identiti negara di kalangan dunia antarabangsa. Dasar Kebudayaan Kebangsaan telah dirangka berteraskan tiga prinsip utama yang telah ditetapkan oleh Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971 iaitu:
a)         Kebudayaan Kebangsaan Malaysia hendaklah berteraskan kebudayaan rakyat asal   rantau ini;
b)         Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima menjadi unsur Kebudayaan Kebangsaan.
c)         Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan.

Dasar ini penting kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan mempunyai kebudayaan yang berbeza kerana ia dapat saling memberi kefahaman tentang budaya masing-masing agar perasaan prasangka antara satu sama lain dapat dihindari. Selain itu, dasar ini juga menolak unsur-unsur Barat yang tidak sesuai dengan kebudayaan yang terdapat di Malaysia (Mohd Ayop Abd Razid, 2009). Ini kerana matlamat Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah untuk memupuk dan menjamin keutuhan identiti kebangsaan. Di samping itu, dasar ini juga ialah untuk memperkayakan dan meningkatkan mutu kehidupan dan menanam sikap kerohanian yang seimbang dengan pembangunan kebendaan di Malaysia.

5.3       Rukun Negara
Menyedari masyarakat berbilang kaum di Malaysia tidak mempunyai matlamat yang jelas maka kerajaan memperkenalkan Rukun Negara untuk memberi garis panduan yang lebih jelas kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini. Rukun Negara juga menjadi hasrat bagi mencapai dasar pembangunan perpaduan.
Prinsip-prinsip Rukun Negara dapat dilihat seperti yang berikut:
a)    Kepercayaan  kepada Tuhan
b)    Kesetiaan kepada Raja dan Negara
c)    Keluhuran Perlembagaan
d)    Kedaulatan Undang-undang
e)    Kesopanan dan Kesusilaan

Rukun Negara dicipta ekoran daripada rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Tragedi ini telah menyedarkan pihak kerajaan bahawa perpaduan kaum dan integrasi nasional di Malaysia merupakan suatu masalah yang sudah lama terpendam. Rukun Negara bertujuan mewujudkan perpaduan antara kaum melalui amalan unsur-unsur kemanusiaan sejagat seperti kepercayaan kepada Tuhan, kedaulatan undang-undang dan pemupukan sifat-sifat keperibadian yang tinggi.

6.0       RUMUSAN
Secara keseluruhannya, konsep pembinaan negara bangsa adalah sesuatu yang melibatkan proses yang panjang. Namun begitu, walaupun ia merupakan proses yang sukar, pembinaan negara bangsa amat penting dalam sesebuah negara masyarakat majmuk seperti di Malaysia. Pembinaan negara bangsa yang mantap memerlukan penyertaan menyeluruh dari setiap anggota masyarakat dan jentera kerajaan.

Ancaman luar akan datang tanpa mengira masa dalam pelbagai bentuk sama ada secara langsung atau tidak langsung. Justeru itu, Malaysia harus bersedia dengan asas pegangan nasionalisme yang betul iaitu nasionalisme yang dimiliki oleh sebuah kumpulan. Tetapi jika nasionalisme yang dipegang itu masih lagi berasaskan semangat assabiyah, maka negara tidak akan maju kerana banyak masa dan kos terbuang begitu sahaja.


Kerajaan telah berusaha menyusun semula masyarakat melalui dasar-dasar yang dijalankan sejak berlakunya peristiwa 13 Mei 1969. Kerana itu generasi hari ini harus memahami kedudukan masyarakat pada masa dahulu dan menjadikannya iktibar dan panduan di masa hadapan dalam membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu.

6 comments: